Diam-diam ubi berisi. Begitulah perumpamaan bagi pasangan pelakon Nad Zainal dan Ungku Ismail yang akhirnya selamat bergelar suami isteri.
Kisah cinta mereka tidak diwar-warkan. Sama ada Nad Zainal mahupun Ungku Ismail, lebih selesa mendiamkan diri. Semuanya terungkai apabila masing-masing memuat naik status tentang pernikahan mereka.
Menerusi Instagram miliknya, Nad Zainal memuat naik beberapa keping foto bersama Ungku Ismail dalam persalinan serba putih.
Melalui satu video yang juga dikongsi di Instagram, Nad juga berkongsi momen indah bersama Ungku Ismail.
Nad atau nama lengkapnya Farah Nadia Zainal Abidin, 32, menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 berserta gelang tangan emas daripada pengantin lelaki. Kedua-duanya disatukan sebagai suami isteri iaitu pada 23 Januari lalu bersamaan dengan 1 Rejab 1444 Hijrah.
Keintiman Nad Zainal dan Ungku Ismail semakin dapat ‘dihidu’ apabila Ungku Ismail dilihat setia di sisi Nad sepanjang dramatis itu berada dalam situasi kesihatan kritikal akibat masalah paru-paru pada November tahun lalu.
Nad turut mengakui menyayangi lelaki itu apabila memuat naik satu hantaran berbaur cinta ingin kekal selama-lamanya mencintai Ungku Ismail.
Sumber: Instagram Nad Zainal