Tengok pelbagai tema majlis kahwin yang unik-unik pasti boleh buat anda teruja nak adakan majlis kahwin macam mereka. Apa kata berikan sentuhan kreatif di majlis meraikan cinta dengan pelaminan ala rimba agar setiap tetamu yang hadir terkesima.
Umpama berada dalam rimba yang penuh dengan elemen semula jadi, pelamin dengan elemen ini tentu sahaja mampu mencetuskan kedamaian selain meninggalkan momen indah dalam ingatan.
Ok, dah dapat serba sedikit idea untuk perkahwinan ala rimba ni kan? Jadi apa kata anda tenangkan minda anda dan ikuti pula filem tentang dunia rimba Tombiruo: Penunggu Rimba.
Dari Kegelapan Bangkitnya Penunggu Rimba… Penantian buat kaki wayang serta peminat karya Tombiruo untuk menyaksikan filem adaptasi karya novelis thriller nombor satu di Malaysia, Ramlee Awang Murshid di layar perak kini berakhir!
Menampilkan buat julung kalinya kerjasama hebat daripada empat penerbit iaitu Astro Shaw, Grup Buku Karangkraf, Ideate Media dan Layar Sunan, filem dengan genre aksi drama ini pastinya mampu menarik minat penonton.
Skrip filem hasil gabungan kerjasama Yasmin Yaacob dan Choong Chi-Ren bersama input kreatif daripada Ramlee Awang Murshid ini membariskan pelakon-pelakon berkarisma seperti Zul Ariffin (Tombiruo/Ejim), Farida Kamil (Amiruddin), Nabila Huda (Wan Suraya), Faizal Hussein (Pondolou), Hasnul Rahmat (Juslan), Michael Chen (Wong), Farah Ahmad (Monsiroi), Dato’ M. Nasir (Tan Sri Berham), Datin Marlia Musa (Bonda), Faye Kusairi (Salina), Dynas Mokhtar (Baizura), Artu (Ondu) dan Muhammad Al-Rayyan (Ejim dan Amirul sewaktu kecil).
Penerbit Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Puan Firdaus Hussamuddin menjelaskan bahawa ini merupakan kali pertama mereka terlibat dalam menerbitkan filem. Kejayaan novel Tombiruo yang diulang cetak sehingga 18 kali sejak tahun 1998 menjadikan penanda aras bahawa filem ini mampu mendapat sambutan hebat di kalangan peminat filem tempatan.
Tombiruo yang memaparkan kisah aksi ini menceritakan tentang Ejim, lelaki bertopeng yang digelar sebagai Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai penunggu rimba. Kehadiran Tombiruo nyata penuh misteri dan sering ditakuti, malah turut dicaci oleh penduduk kampung. Apabila Wong dan kuncu-kuncunya membuat kacau di kampung untuk meneruskan aktiviti empangan, satu insiden telah berlaku dan menimbulkan kemarahan Tombiruo.
Amiruddin yang menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya, mula menjejakinya. Wartawan Wan Suraya yang mengikuti perkembangan isu syarikat Tan Sri Berham turut mengikuti jejak Tombiruo. Wan Suraya dapat rasakan Tombiruo tidak membahayakan seperti yang diperkatakan.
Namun apabila Amiruddin dan Tombiruo bertemu, mereka bertarung demi membela nasib orang-orang yang mereka sayangi. Semangat dari hutan telah mengiringi kekuatan Tombiruo. Ada sebuah rahsia di antara mereka berdua yang sudah lama tersimpan bakal terbongkar. Apakah kaitan antara mereka berdua sebenarnya? Siapakah dalang di sebalik insiden yang berlaku selama ini?
Nak tahu kisah kesudahan, jangan lupa tonton filem ini di pawagam bermula 12 OKTOBER 2017 ini. Rasaikan sendiri kelainan yang dibawakan oleh filem Tombiruo: Penunggu Rimba!