Nak Pilih Pengapit, Biarlah Yang Kurang Menonjol. Takut Hilang Spotlight Pengantin!

Share

Tak lemngkap rasanya bila berkahwin, duduk di atas pelamin tapi tak ada pengapit. Zaman sekarang ni, pembawa dulang pun dah bersusun apatah lagi pengapit. Mana yang ada kawan baik, jenuh juga nak pilih kawan yang akan jadi pengapit. Takut kawan-kawan lain terasa hati pula.

 

Namun, sebagai bakal pengantin, jangan pening kepala ok. Berikut disenaraikan 5 perkara yang perlu anda pertimbangkan untuk memilih pengapit di hari bahagia nanti.

 

1. Keselesaan

Pengapit bukan sekadar peneman kepada pengantin. Pengapit juga boleh berperanan sebagai pemberi semangat, penenang dan juga pembantu kepada pengantin. Ada sesetengah pengapit memulakan ‘tugas’ lebih awal iaitu ketika majlis pernikahan dan kebanyakan kita, terutama yang lelaki, sedia maklum bahawa tempoh waktu ini (majlis akad) merupakan waktu yang paling menguji di mana waktu ini ada sesetengah pengantin lelaki yang ‘darah gemuruh’ maka di sinilah perlunya pengapit yang bijak memainkan peranannya menenangkan si pengantin.

Selain itu juga, kebiasannya pengapit bertanggungjawab memastikan pengantin dalam keadaan kemas dan terbaik. Maksud di sini ialah, kemungkinan disebabkan pergerakan, kalung pengantin beralih kedudukan dan senget, atau mungkin tanjak dipakai tidak kemas dan sebagainya, atau pengantin mukanya agak berminyak kerana berpeluh menunggu di panas hari menunggu pasukan kompang tak kunjung tiba dan memerlukan peluhnya dilap.

 

Sekiranya pengapit dan pengantin itu kenal rapat dan wujud keselesaan diantara keduanya, makanya momen ‘janggal’ dapat dielakkan. Terdapat kes yang biasa kita dengar tanjak pengantin lelaki dipakai senget atau terbalik tetapi dibiarkan sahaja oleh pengapit walaupun sedar akannya kerana segan dan tidak kenal rapat dengan pengantin untuk menegur.

 

2. ‘Bujang’

Bujang merupakan satu kriteria yang agak kritikal dalam memilih seorang pengapit. Maksud bujang disini bukanlah semestinya bermaksud bahawa pengapit itu seorang yang belum berkahwin tetapi lebih kepada beliau bebas dari komitmen lain di waktu majlis sedang berlangsung.

 

Anda sudah tentu tidak mahu pengapit perempuan anda yang terpaksa meninggalkan anda sebentar kerana ingin melayan suami makan atau pengapit lelaki yang sedang risau kerana anaknya hilang dari pandangan atau mungkin juga pengapit yang terpaksa meninggalkan anda walaupun majlis belum tamat kerana mempunyai komitmen lain yang perlu beliau hadiri.

 

3. Matang

Kami pernah menyaksikan beberapa majlis yang pengapitnya adalah remaja belasan tahun malah ada juga yang pengapitnya masih di bangku sekolah. Dari pemerhatian kami, memilih pengapit yang ‘matang’ merupakan satu keperluan dan kami mengambil keputusan memasukkan kriteria ini di dalam senarai kami. Bukanlah kami tidak menggalakkan tugas pengapit diberi kepada remaja – remaja ataupun belia kerana matang itu subjektif dan tidak terikat dengan umur.

 

Antara kejadian yang pernah kami lihat atau diadukan kepada kami contohnya seperti pengapit asyik bergambar, pengapit sibuk melayan rakan-rakan dan kenalan lama yang hadir meraikan pengantin sehingga mengabaikan pengantin, tidak tahu tugas pengapit, bersikap keanak- anakan dengan menjerit dan sebagainya serta lain-lain.

 

4. Tahu Tugas Pengapit

Ini sebagai tambahan kerana ada sesetengah pengapit yang tidak pasti apakah tugas pengapit. Ini bukanlah satu masalah yang rumit kerana sekiranya anda diminta menjadi pengapit, anda mempunyai masa untuk melakukan sedikit carian internet atau bertanya kepada orang lain yang berpengalaman atau sekiranya anda sebagai pengantin, anda sendiri boleh memberi panduan kepada bakal pengapit anda tentang tugas pengapit yang anda harapkan dari beliau.

 

5. Kurang ‘Menonjol’ Berbanding Pengantin

Bukanlah satu kemestian tetapi mempunyai pengapit yang sangat cantik atau tampan serta berpakaian seksi, berpakaian mengalahkan pengantin, atau diringkaskan kata, berketerampilan melebihi pengantin akan membuatkan anda sebagai pengantin kurang berseri dan menonjol.

Published by
Anis Nor