Dalam Islam, adalah digalakkan untuk mengadakan kenduri atau majlis perkahwinan untuk menghebahkan perkahwinan yang dilangsungkan.
Malah, majlis perkahwinan juga merupakan peluang untuk mengzahirkan rasa kesyukuran dan berkongsi rezeki dengan menjamu tetamu yang hadir.
Jadi, amat rugilah jika majlis yang baik ini dicemari dengan pembaziran serta perasaan riak dan menunjuk-nunjuk.
Tip #1 – Tetapkan perbelanjaan yang penting dahulu
Resepsi (majlis kenduri, lokasi majlis, kek) = 42% (RM 21,000)
Fotografi & videografi = 13% (RM 6,500)
Pelamin, bunga & dekorasi = 10% (RM 5,000)
Baju pengantin, aksesori, solekan = 10% (RM 5,000)
Hiburan (DJ, lagu, PA sistem) = 6% (RM 3,000)
Majlis akad nikah = 6% (RM 3,000)
Jemputan (kad jemputan kahwin, setem, bunting, banner) = 3% (RM 1,500)
Perbelanjaan-perbelanjaan lain (goodies, door gift, barang hantaran) = 10% (RM 5,000)
Kalau berkemampuan, memang tidak menjadi masalah untuk menampung semua perbelanjaan kahwin di atas.
Tetapi, jika tak mampu, sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan untuk memotong dan mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan di atas.
Sebagai contoh:
Pilih lokasi majlis yang tidak memerlukan kos tinggi. Dewan serbaguna dan rumah sendiri (jika ada ruang luas) adalah pilihan lebih murah berbanding hotel dan restoran mewah.
Hadkan bilangan menu makanan kenduri. Yang penting adalah menu utama iaitu nasi, lauk pauk dan air minuman. Menu-menu tambahan lain seperti burger, murtabak, cendol, roti john, kambing bakar; pilih jika berkemampuan sahaja.
Pilih pakej fotografi dan videografi yang asas pun sudah memadai. Tak perlu nak pilih pakej advance yang complete 3 hari 3 malam, nanti macam nak buat filem pula.
Pelamin juga boleh pilih pakej yang simple. Saya dulu pun pilih pakej mini pelamin bertunang untuk majlis perkahwinan, memang lebih jimat. Untuk hiasan bunga dan dekorasi pula, sewa sekali dengan pakej pelamin. Lebih jimat berbanding beli.
Untuk baju pengantin, menyewa dengan butik pengantin adalah lebih murah berbanding menempah khas. Kalau nak tempah juga, pastikan baju pengantin tersebut boleh digunakan juga pada waktu dan majlis lain, bukan sekadar pada hari majlis perkahwinan sahaja.
DJ dan PA sistem jika tidak ada pun tidak mengapa. Boleh sahaja pasang lagu dan muzik daripada komputer atau pun laptop. Bukan semua tetamu suka muzik yang kuat dan bingit.
Pilih barang hantaran kahwin yang berpatutan dan praktikal. Menghadiahkan set perfume mahal kepada orang yang memang tak suka pakai perfume adalah satu pembaziran. Last-last, dibiarkan sahaja nanti sampai hilang wanginya.
Kad jemputan kahwin, kalau boleh buat satu untuk kedua-dua belah majlis pihak lelaki dan perempuan. Lebih jimat berbanding buat berasingan sebab kuantiti lebih banyak.
Dan banyak lagi yang boleh dilakukan untuk kurangkan bajet, cuma perlu ikut kemampuan, kehendak dan kreativiti sendiri.
Jadi, sekarang sepatutnya anda dah senarai pendekkan perbelanjaan-perbelanjaan penting untuk majlis perkahwinan nanti.
Kalau boleh, letakkan sekali anggaran kos yang mampu bagi setiap perkara tersebut, kemudian kira jumlah keseluruhan kos.
Kalau rasa mampu dengan jumlah kos tersebut, boleh teruskan.
Kalau rasa tak mampu, cuba ubah lagi sehingga dalam lingkungan kemampuan.
Tip #2 – Berbincang dengan bakal pasangan
Kalau ada ruang dan peluang, berbincanglah dengan bakal pasangan tentang bajet majlis perkahwinan.
Penting untuk kedua-dua bakal pasangan faham tentang tahap kewangan sendiri dan buat perbelanjaan persiapan majlis perkahwinan mengikut kemampuan.
Perlu bersama-sama fikir dan pikul beban untuk majlis perkahwinan sendiri.
Jangan diharapkan kepada sebelah pihak sahaja.
Apa-apa yang boleh dikongsi kosnya, berkongsilah.
Bincangkan juga tentang jumlah wang hantaran kahwin dan juga barang-barang hantaran,yang penting jangan sampai membazir dan membebankan.
Jangan demand yang bukan-bukan, kasihan nanti bakal pasangan nak sediakan semuanya.
Kata nak sehidup semati till jannah, jadi perlulah lepasi cabaran persiapan majlis perkahwinan ini terlebih dahulu.
Pesan pada bakal pasangan, majlis kahwin sehari dua sahaja, tak perlu nak habiskan banyak duit.
Nanti, lagi banyak duit diperlukan untuk teruskan kehidupan selepas berkahwin.
Tip #3 – Berterus-terang dengan ahli keluarga
Bakal pasangan dah bersepakat untuk mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana mengikut kemampuan masing-masing, tetapi apabila dikhabarkan kepada ahli keluarga terdekat, mereka meminta lebih lagi.
Alasan biasa, takut malu dengan jiran tetangga, rakan taulan dan saudara mara lain sebab majlis ringkas dan sederhana.
Inilah dilema ramai bakal pasangan pengantin sekarang.
Nak diikut kehendak sendiri, tak memenuhi kehendak keluarga.
Nak diikut kehendak keluarga, tak sepadan pula dengan kemampuan sendiri.
Antara penyelesaiannya, berterus-teranglah dengan ahli keluarga tentang kemampuan kewangan sendiri.
Tunjukkan jumlah duit simpanan yang mampu diperuntukkan untuk majlis kahwin.
Berbincang baik-baik dengan ahli keluarga tentang persiapan majlis perkahwinan supaya sesuai dengan kemampuan.
Di sinilah pentingnya sikap toleransi dengan kehendak ahli keluarga, dan pada masa sama tegas dengan had kemampuan sendiri.
Kalau tak berjaya juga, boleh dapatkan bantuan orang berpengaruh ke atas keluarga anda, contohnya tok imam, tuan guru, pakcik, makcik atau sesiapa sahaja.
InsyaAllah, ahli keluarga akan dapat memahami.
Untung-untung, mereka turut sama-sama menghulurkan duit untuk menanggung kos majlis kahwin nanti.
Tip #4 – Buat bajet dan cuba patuhinya
Selepas puas berfikir, berbincang dan mendapatkan maklumat, sekarang boleh sediakan bajet majlis perkahwinan sendiri.
Senaraikan semua perkara yang diperlukan berserta anggaran kos.Patuhi bajet yang dibuat ini, dan pastikan kos sebenar tidak jauh beza dengan kos anggaran.
Setiap kali keluarkan duit untuk perbelanjaan perkara-perkara yang disenaraikan, catat dan lihat perbezaan dengan anggaran yang ditetapkan.
Dengan cara sebegini, keseluruhan bajet majlis perkahwinan anda nanti tidak akan jauh berbeza dengan kemampuan yang ditetapkan.
Tip #5 – Rajinkan diri ke ekspo perkahwinan
Kalau ada ekspo perkahwinan yang dianjurkan berdekatan dengan tempat anda, rajin-rajinkan diri untuk hadir.
Senang, ramai perancang perkahwinan, penjual dan vendor berkumpul di bawah satu bumbung, jadi mudah untuk merancang persiapan majlis perkahwinan.
Boleh survey harga, boleh survey pakej-pakej yang sesuai.
Mana tahu, boleh dapat tawaran menarik pada harga berpatutan, jadi boleh jimat banyak.
Cuma, apabila berurusan di ekspo, pastikan berurusan dengan penjual atau vendor yang betul-betul wujud dan ada kedai atau butik sendiri.
Kalau buat apa-apa bayaran, pastikan ada resit bayaran yang sah dan lebih baik lagi jika ada perjanjian bertulis.
Bukan apa, sebab ada juga terdengar ramai bakal pengantin tertipu apabila berurusan di ekspo perkahwinan.
Tawaran yang diberikan memang menarik, tetapi rupa-rupanya penjual menipu.
Jadi, hati-hati apabila berurusan di ekspo perkahwinan.
Tip #6 – Perbanyakkan D.I.Y.
Kalau nak kawal dan jimat kos majlis perkahwinan, perbanyakkan Do-It-Yourself (D.I.Y.)
Contohnya, boleh gubah barang hantaran kahwin sendiri, jadi tak perlu upah orang lain untuk gubah.
Kalau pandai menjahit, boleh jahit sendiri baju pengantin.
Kalau pandai graphic design, boleh buat sendiri kad jemputan kahwin.
Boleh buat kek sendiri sebagai kek pengantin, atau pun buat tart atau kuih-muih untuk dijadikan goodies kepada tetamu.
Boleh juga buat aiskrim Malaysia untuk diberikan kepada tetamu kanak-kanak nanti.
Gunakan kreativiti untuk buat dekorasi pada majlis perkahwinan nanti, contohnya gunakan belon, kain renda atau pun barang-barang terpakai.
Ini contoh majlis perkahwinan yang banyak gunakan elemen D.I.Y., memang boleh jimat banyak:
Tetapi, harus diingat, jangan pula nanti nak buat semua sendiri sahaja.
Nanti, penat pula, dah tak berseri muka nanti pada hari perkahwinan.
Dapatkan juga bantuan daripada hali keluaga dan juga kawan-kawan yang sudi membantu.
Hari majlis anda, orang lain yang tolong, nanti apabila majlis orang lain pula, jangan lupa untuk balas budi ya.
Tip #7 – Gabungkan majlis
Kalau pengantin lelaki dan perempuan tinggal berdekatan, boleh bincang dengan ahli keluarga untuk gabungkan majlis dan buat satu sahaja.
Bukan itu sahaja, kalau ada adik-beradik yang turut sama nak berkahwin dalam masa terdekat, boleh turut bergabung sekali.
Memang banyak boleh jimat, malah boleh buat lebih meriah dengan bajet lebih rendah.