Berbadan gempal dengan berat badan melebihi 100 kilogram (kg), sedangkan saiz ketinggian 152 sentimeter (sm) dianggap tidak seimbang dari segi penampilan sehingga sebilangan individu kurang yakin dengan dirinya.
Dalam keadaan itu mereka malu untuk menunjukkan tubuh, apatah lagi berswafoto dan dikongsi dalam Facebook atau Instagram. Jika teringin berswafoto selalunya akan berdiri di belakang subjek lain.
Situasi sama dilalui pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Pulau Pinang, Zulaikha Zulkifli, 28, yang sebelum ini mempunyai berat badan 104 kg dengan ketinggian 152 sm rasa tidak yakin dengan diri sendiri.
Bagaimanapun, beliau yang sentiasa berselera makan sehingga menjadi obes sehingga pergerakan sukar dan sudah memilih pakaian sesuai, kemudiannya mengubah persepsi negatif itu dengan menggunakan swafoto sebagai terapi, selain mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam untuk mendapatkan saiz badan ideal.
Dalam tempoh setahun dua bulan, beliau melihat banyak perubahan diri secara ketara dan semakin kerap merakam gambar menyerlah sisi tubuh.
“Sebelum ini, setiap kali bergambar saya menyorok ke belakang kerana malu keadaan tubuh gemuk sehingga 104 kg. Ada kalanya saya langsung tidak mahu mengambil gambar sehingga mempunyai keyakinan selepas mendapati diri semakin ringan selepas melihat cermin badan sudah makin mengecil,” katanya.
Gembira saksikan perubahan
Beliau juga berusaha bersungguh-sungguh mengurangkan berat badan dan semakin hari dirinya semakin positif dengan melihat perkembangan tubuhnya.
“Ini memberi motivasi dan menjadikan aktiviti swafoto sebagai pembakar semangat mencabar diri mendapatkan bentuk badan idaman.
“Menatap gambar sendiri dan menyaksikan perubahan adalah sebahagian terapi yang menggembirakan setiap hari. Kegembiraan itu menghilangkan segala kerisauan.
“Niat bukan menunjuk-nunjuk sebaliknya, sekadar mendapat kekuatan menatap perubahan diri yang melihat apa sahaja perubahan,” katanya.
Zulaikha berkata, ada pihak mendakwa berswafoto tanda individu itu obses dengan diri, bagaimanapun, beliau tidak berfikiran begitu.
Kira-kira 20 tahun hidupnya sebagai individu gemuk dan ada yang mentertawakan menyebabkan rasa cukup menyeksakan.
Selama itu beliau yang graduan sarjana seorang pelajar Sarjana Pengurusan Hotel dan Pelancongan IMI Universiti Centre Switzerland tidak pernah mengambil pusing mengenai berat badannya.
Bimbang risiko penyakit
Malah, beliau mula merasa tidak selesa apabila berat berlebihan secara keterlaluan hingga menghantui diri bimbang berisiko mendapat penyakit berbahaya, selain enggan menyusahkan keluarga jika ditimpa masalah.
“Saya bertekad menurunkan berat badan sehingga 62 kg. Saya mula memikirkan untuk mencari kerja selepas tamat belajar. Ketika terfikir mahu menyertai tetapi berpendapat dengan penampilan tak sempurna sukar mendapat pekerjaan itu.
“Sejak itu saya mula berusaha menurunkan berat sehingga 70 kilogram dan terus berazam untuk turunkan lebih lagi,” katanya.
Berkongsi mengenai kisahnya, beliau selalu tidak selesa, sakit kaki selain sukar memandu disebabkan keadaan perut besar dan terlalu rapat dengan stereng hingga menyukarkan pemanduan.
“Ada ketika saya menjadi malu memanggil pelayan untuk memesan makanan. Kulit menjadi kusam kesan pengambilan makanan tidak sihat, sebaliknya lebih gemar kepada pilihan makanan manis,” katanya.
Dulu ketika di sekolah beliau tidak aktif bersukan dan menyertai aktiviti riadah termasuk merentas desa dan perkhemahan.
“Sejak berusia lapan tahun saya sudah gemuk kerana sentiasa berselera menikmati sajian. Saya berharap individu yang bertubuh besar jangan salahkan faktor genetik jika berat badan berlebihan. Ini kerana faktor itu hanya menyumbang empat peratus untuk potensi gemuk.
“Gemuk berpunca dari anda sendiri, pemilihan sajian tidak seimbang dan kurang bersenam antara faktor utama,” katanya.
Zulaikha tidak pernah mengambil ubat atau makanan kesihatan tambahan kerana khuatir kesan sampingan.
“Cuma keluarga pernah hantar saya ke pusat kecantikan untuk sesi balut tubuh dan urutan, selain.
“Tetapi tidak berkesan dan tubuh tetap tidak langsing,” katanya.
Panduan kurus sihat
* Kuatkan disiplin untuk dapatkan berat badan ideal
* Yakin penurunan berat penting untuk kesihatan lebih baik hindari penyakit bahaya.
* Mulakan dengan diri, jangan menunggu rakan yang akhirnya usaha anda untuk mendapat berat badan sihat tidak tercapai.
* Lakukan rujukan mengenai amalan gaya hidup sihat dan pemilihan sajian seimbang.
* Perbanyak ilmu kaedah pemakanan sihat, maklumat membantu anda merancang menu sajian sesuai