Siapa yang tidak teruja nak kurus? Pelbagai cara diusahakan demi mendapat bentuk badan impian. Buat bakal pengantin pastinya dilanda dilema di saat menghitung hari untuk menempuh hari bahagia. Mana mungkin berbadan gempal dengan mudah menyarung persalinan pengantin yang mengikut figura badan. Takut pula dilabel sudahlah tidak cantik, gemuk pula. Aduhai bagaimana ye?
Maka dengan itu ada yang mengambil jalan mudah mencuba ubat atau suplemen kerana tergoda untuk kurus segera. Logik pada akal, mana ada perkara yang berhasil tanpa usaha yang berpanjangan. Inilah bahaya jika tindakan anda berasaskan nafsu dan emosi.
Jika anda ingin menurunkan berat badan secara kekal, amalan diet sihat dan senaman yang konsisten merupakan pilihan terbaik. Diet yang seimbang memberikan hasil yang lebih berkesan. “You are what you eat” – ingat frasa ini supaya anda tidak tersasar dari sewajarnya.
Dr Rafidah Abdullah, Pakar Buah Pinggang (Pakar Perunding Perubatan) berkongsi pengalaman peribadinya sendiri bagaimana beliau melakukan perubahan pada diri sendiri untuk mendapatkan bentuk badan yang sewajarnya. Dalam masa yang sama, beliau tetap memastikan tahap kesihatan yang memuaskan.
Ramai yang tanya apa panduan nak menguruskan badan. Beginilah, kesedaran diri saya bermula dalam tahun 2008. Gambar saya di bawah (kiri) masa itu BMI 29 ++.
Ads
Sebab? Cermin rumah saya berfungsi. Nampak dah yang segalanya dah tembam. Saya tahu, ibu bapa saya ada kencing manis. Nak tak nak, kalau saya teruskan kehidupan sebegini, kejap lagi saya akan dapat penyakit. Jadi, saya tekad, dan dengan semangat dan keyakinan diri, saya mula berjuang.
Alhamdulillah saya dapat turun dan maintain BMI 21-22. Turun dalam beberapa bulan; turun banyak sekali gus tidak sihat. Cukup 1-2 kg seminggu, itu pun dah banyak. Lebih dari itu, anda mungkin tidak sihat.
Antara tips penting yang saya praktikkan
1. Minum air kosong sahaja. Elakkan air bergula, berkarbonat dan bersusu pekat manis. Seksa juga sebab dulu favourite saya teh tarik.
2. Kurang kan nasi. Akan tetapi bukan Atkins ya. Sumber karbohidrat mesti ada; ianya punca tenaga. Saya ganti kan dengan roti gandum, chapati, naan, spaghetti dan sebagainya. Untuk saya sendiri, saya sangat kurang karbohidrat semasa malam kecuali esok nak lari lebih 20km?.
Ads
Saya? Makan nasi sekali seminggu saja.
3. Kurang kan makan luar. JANGAN makan fast-food langsung. Bahaya. Masak sendiri. Kurang kan garam, sos dan perasa tambahan. Benda-benda ini tiada di rumah saya!
4. Senaman. Minima untuk kesihatan: 150min seminggu atau 30 min 5 x seminggu. Akan tetapi jika mahu kurang kan berat badan intensiti senaman mesti ditingkatkan. Takat berlenggang-lenggang kat taman 10jam sehari pun tak cukup rasanya.
5. Kena tahu kalori masuk dan kalori keluar/digunakan. Banyak panduan kalori makanan yang saya guna kan MyNutriDiari. Boleh download program ini (gambar kedua). Saya bagi contoh berapa kalori setiap hidangan yang ada. Contoh: Nasi Goreng USA banyak kalori; lari 10km pun tak habis bakar yang ini. Juga ada panduan bagaimana nak kurang kan berat badan dalam ini.
Ads
6. Diet mesti SEIMBANG dan sesuai kan dengan aktiviti anda. Kesemua komponen makanan ada fungsinya!
Saya tak perlu buat hashtag #dietrafidah sebab keperluan setiap orang adalah berlainan. Elok kalau setiap seorang anda diberikan “empowerment” diri untuk membentuk kehidupan anda sendiri. Kalau tak, setiap kali nak makan, kena tanya kami.
Saya percaya, anda semua BOLEH!
Saya juga manusia biasa. #cheatdays tetap ada tetapi BUKAN hari-hari!
Yang tentunya, suplemen tak perlu; boleh baca panduan Pegawai Pemakanan Jazlina Syahrul yang mengingatkan Pinggan Sihat anda iaitu #sukusukuseparuh.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cinta akan lebih dirahmati dan menjadi ibadah apabila ia diletakkan di tempat yang sebaiknya. Namun jika cinta itu tidak diletakkan sesuai dengan reda Allah SWT maka ia akan menjadi sesuatu yang boleh membawa keburukan.
Dalam Al-Quran, Allah SWT ada memberi petunjuk yang menyingkap tentang cinta. Ini termasuklah cinta yang membawa kepada kebaikan, begitu juga jenis cinta yang boleh membawa kepada keburukan.
Ibnul Qayyim pernah mengatakan bahawa: “Cinta tidak bisa didefinisikan dengan jelas, bahkan apabila didefinisikan tidak menghasilkan (sesuatu) melainkan menambahkan kabur dan tidak jelas, (bererti) definisinya ialah adanya cinta itu sendiri.”
1. Cinta Mawaddah
Sejenis cinta yang sentiasa membara dan ingin memonopoli cintanya sehingga membuatkan orang yang mengalaminya akan sentiasa memikirkan tentang cintanya. Pemilik cinta jenis ini juga selalunya ingin bersama dan tidak mahu berpisah, malah ingin selalu memuaskan rasa cintanya.
Ia ada disebut dalam surah Ar-Rum ayat 21:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
2. Cinta Rahmah
Sebuah cinta yang penuh dengan kelembutan, kasih sayang serta sanggup berkorban dan melindungi orang yang dicintainya. Bagi pemilik cinta ini, kegembiraan dan kebahagiaan orang yang dicintainya adalah lebih penting walaupun dia sanggup menderita. Malah pencinta ini begitu memahami segala kekurangan dan sentiasa memaafkan kesalahan pasangannya.
Cinta ini termasuk cinta yang ada pertalian darah seperti cinta orang tua terhadap anaknya, cinta terhadap pasangan yang halal dan sebagainya. Dalam Al-Quran, kerabat disebut al-arham, dzawi al-arham iaitu orang yang memiliki hubungan kasih sayang secara fitri, kasih sayang ibu disebut rahim (dari kata rahmah) dan kasih sayang suami isteri yang diikat dengan cinta mawaddah dan rahman.
Ia ada disebut dalam surah Al-Kahfi ayat 81:
“Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya (rahmahnya).”
3. Cinta Syaghaf
Merupakan cinta yang sangat mendalam dan mengasyikkan sehingga membuatkan pencinta jenis ini (qad syaghafaha hubba) seperti lupa diri dan seolah-olah tidak menyedari apa yang dilakukannya. Al-Quran menggunakan terma syaghaf ketika menceritakan kisah cinta Zulaikha iaitu isteri pembesar Mesir terhadap Nabi Yusuf.
Ia ada disebut dalam surah Yusuf ayat 30:
“Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.”
* Cinta seperti ini merupakan cinta yang tidak dibenarkan dalam Islam kerana ia membuatkan pelakunya keterlaluan mencintai pasangannya sehingga melupakan tugasan hakikinya di dunia.
4. Cinta Mail
Sejenis cinta sementara yang membara sehingga terlalu menumpukan pada cintanya hinggakan perkara lain tidak diberi perhatian. Dalam Al-Quran, cinta jenis ini disebut dalam konteks poligami di mana ketika orang tersebut jatuh cinta pada pasangan yang muda (an tamilu kulla al mail) dan cenderung mengabaikan pasangannya yang tua.
Ia ada disebut dalam surah An-Nisaa ayat 129:
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
5. Cinta Ro’fah
Cinta jenis ini melahirkan rasa kasihan, tidak sampai hati, sanggup mengetepikan norma-norma kebenaran dan membela orang yang disayangi walaupun hakikatnya. Dia juga meletakkan cintanya kepada makhluk lebih tinggi daripada cintanya kepada Allah SWT sehingga sanggup melonggarkan peraturan Allah SWT. Misalnya, kerana terlalu kasihankan anak yang mengantuk sanggup tidak mengejutkan anak untuk bangun bersolat.
Ia ada disebut dalam surah An-Nur ayat 2:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan (Ro’fah) terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”
6. Cinta Shobwah
Sejenis cinta buta yang mendorong pencintanya menyimpang daripada agama dan norma kehidupan tanpa sanggup mengelak. Misalnya pasangan yang bercinta berniat pada mulanya untuk berborak santai tetapi atas dasar cinta, apabila digoda pasangan ini sanggup melakukan kemungkaran.
Cinta sebegini ada disebut dalam Al-Quran ketika kisah Nabi Yusuf berdoa kepada Allah SWT agar dihindarkan daripada Zulaikha yang ketika itu menggodanya setiap hari. Ketika itu, Nabi Yusuf bermohon agar dimasukkan ke penjara kerana bimbang imannya akan tergugat.
Ia ada disebut dalam surah Yusuf ayat 33:
“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.”
7. Cinta Al-Hub
Dr ‘Aidh al-Qarni mengatakan bahawa tidak ada ertinya cinta dalam bahasa Arab melainkan kata ‘Al-Hub yang terdiri daripada kata ‘ha’ dan ‘ba’. Huruf ‘ha’ keluar dengan mulut membuka hingga akhirnya menutup dan menyatukannya kembali. Kata Hub merupakan kata yang umum digunakan sebagai erti pada kata cinta. Kita sering mendengar Hubbudunya yang bererti cinta dunia atau uhibbuka yang bererti “Aku cinta padamu”.
Ia ada disebut dalam surah Al-Fajr ayat 20:
“Serta kamu pula mencintai (Hub) harta dengan kecintaan (Hub) yang berlebihan.”
8. Cinta Sakinah
Sakinah berasal dari sakana-yaskunu yang membawa maksud sesuatu yang menenangkan. Semua pasangan yang berkahwin pasti inginkan ketenteraman dalam rumah tangga, malah lebih produktif berbanding sebelum kahwin. Oleh itu carilah pasangan yang boleh memberikan kedamaian iaitu melalui agamanya.
Ia ada disebut dalam surah Al-A’raaf ayat 189:
“Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua daripada (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain…”
9. Cinta Syauq (Rindu)
Cinta jenis ini diambil daripada hadis yang mentafsirkan Al-Quran.
Ia ada disebut dalam surah Al-‘Ankabuut ayat 5:
“Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah (untuk menerima balasan), maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba (dengan tidak syak lagi); dan Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Malah kalimat kerinduan ini turut diungkapkan dalam doa ma’tsur daripada hadis riwayat Ahmad:
“Aku mohon dapat merasakan nikmatnya memandang wajah-Mu dan nikmatnya kerinduan untuk berjumpa dengan-Mu.”
Pasangan yang dilanda dengan cinta Syauq ini merupakan pasangan yang mampu mempertahankan cintanya walaupun menjalinkan hubungan jarak yang jauh.
10. Cinta Kulfah
Merupakan perasaan cinta yang disertai dengan kesedaran dalam mendidik perkara-perkara positif. Dalam Al-Quran disebut bahawa Allah SWT tidak akan membebani seseorang melainkan dengan kemampuannya.
Ia ada disebut dalam surah Al-BAQARAH AYAT 2:
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…”
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur; 24:32)
Memiliki pasangan yang sesuai dan serasi dengan diri merupakan dambaan diri seseorang. Walaupun begitu, bagaimana cara untuk meminang si dia yang bersuri di hati? Adakah masih sesuai dengan surat cinta dan mesej dengan nama yang tidak diketahui?
Antara tips mudah untuk mendapatkan hasrat yang sudah lama diimpikan adalah dengan menggunakan orang tengah sebagai perunding bicara. Merekalah seperti utusan-utusan yang memegang amanah yang akan melamar si puteri yang tercinta. Dengan cara tulus dan sopan, orang tengah ini memainkan peranan membicarakan isi hati yang terkandung di sebalik hasrat seorang putera.
Cara ini sebenarnya banyak dilakukan oleh mahasiswa-mahasiswa di universiti dan kolej apabila sudah berkenan dengan seseorang di tempat yang sama mereka belajar. Mereka akan mengajukan kepada pensyarah tertentu tentang hasrat yang terbuku. Sebagai mengikut sunnah Rasulullah dan menjunjung keimanan yang tinggi, maka pilihan menggunakan orang tengah adalah yang terbaik. Pensyarah inilah yang akan menjadi orang tengah mahasiswa terbabit.
Selain itu, seseorang yang berhasrat untuk menikah juga boleh menggunakan pendekatan yang lebih realistik dan fleksibel. Dengan mendekati adik-beradik bakal pasangan yang sama jantina dengannya, maka hasrat di hati mudah untuk disampaikan. Hal ini telah dibuktikan dan cara ini adalah mengikut syariat.
Manakala cara yang dominan menggunakan orang tengah adalah menggunakan perkhidmatan kawan baik. Selaku kawan baik atau sahabat setia, dialah yang sudi menjadi orang tengah kita. Seseorang ini hendaklah jujur dan amanah. Bimbang jika kawan yang kurang baik, bertukar tangan pula!
Begitu juga menggunakan orang tengah di kalangan ibu bapa dan sanak-saudara kerana mereka adalah orang yang lebih hampir dengan kita. Mereka lebih mengenal diri kita dan ciri-ciri yang sesuai untuk bakal pasangan kita. Lagipun, mereka adalah antara golongan yang diharapkan dan diyakini.
Meskipun begitu, cara menggunakan orang tengah kini telah berubah kepada kaedah yang lebih efektif mengikut perkembangan semasa dan keperluan zaman. Cara tersebut adalah dengan menggunakan badan organasasi tertentu dalam mengatur urusan pertemuan jodoh dan pernikahan.
Badan organisasi ini akan menolong untuk mencari calon yang sesuai mengikut permintaan klien. Jika klien berkenan dan si bakal pasangan bersetuju, mereka akan dipertemukan untuk melihat dengan lebih dekat. Setelah berbincang dan masing-masing berkenan, maka diaturkan pertemuan antara keluarga supaya rancangan pernikahan dapat berjalan dengan lebih lancar.
Setelah semua itu, setiap manusia tetap sahaja ada kekurangan masing-masing. Pencarian jodoh bagi seorang hamba adalah lemah dalam mencari hikmah-Nya. Oleh sebab itu, setiap bakal pasangan hendaklah menunaikan solat istikharah, mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk yang terbaik untuk diri masing-masing. Hal ini kerana Allah lebih mengetahui jodoh terbaik buat diri seseorang, sedangkan seorang hamba Allah terbatas ilmunya dalam mengetahui hal ghaib.
Solat istikharah boleh ditunaikan sama ada dua rakaat sehingga dua belas rakaat. Pada sujud yang terakhir, mohonlah di dalam hati agar Allah memberikan pasangan yang terbaik untuk diri kita. Setelah solat, banyakkan berselawat ke atas Nabi dan berdoalah dengan merendahkan hati, betapa lemahnya kita mendapatkan sesuatu tanpa izin-Nya.
Seandainya jodoh masih belum ditemui, teruskan berdoa terutama di malam yang sepi dan bersangka baik atas setiap aturan-Nya. Tuhan lebih mengetahui yang terbaik untuk hamba-Nya. Mungkin sahaja Allah mahukan kita lebih bersedia dengan mencari ilmu agama dan mengasah ilmu rumahtangga.
Bagi yang masih belajar dan belum mampu untuk menyara pasangan, fokuslah pada bidang pengajian supaya tidak mengganggu pelajaran. Bimbang yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masuk dalam keluarga baharu, kenalah ada cara nak sesuaikan diri. Bagi pengantin baharu yang sudah biasa dengan keluarga pasangannya, senanglah nak ‘masuk kepala’. Tapi kalau anda rasa kekok dengan mereka, mungkin boleh cuba tip ini.
Tujuh cara ini mampu memikat hati mereka. Siapa tahu, dia mungkin lebih memahami diri anda daripada suami anda sendiri.
1. Berkongsi Minat
Tak tahu nak berbual topik apa? Cubalah korek rahsia tentang hobi dan minat mereka. Mana tahu mungkin anda mempunyai hobi yang sama dan siapa tahu anda boleh bertukar-tukar hobi dengan mereka. Tidak pun, apabila ada aktiviti keluarga seperti family trip, barbeku atau rewang kenduri jangan berat punggung untuk join.
2. Tambat Perut Mereka
Ini anda kena betul-betul belajar tentang selera makan mereka daripada ibu mertua atau suami. Ketahui apa makanan kegemaran adik-beradik suami anda. Senang nanti apabila mereka bertandang ke rumah, anda dah tahu nak bikin apa di dapur. Bila kena dengan perut mereka, pasti terus dekat di hati…
3. Jangan Mengampu
Hah! Sikap mengampu, memuji terlebih had dan sogokan hadiah bukan cara yang baik untuk bermesra dan menambat hati mereka. Biarlah perasaan ikhlas dan sayang itu muncul dengan sendiri, tak perlu menggunakan ‘rasuah’ segera. Takut nanti, lama-lama mereka akan perasan sikap anda yang terlebih-lebih inginkan perhatian atau ingin mendapatkan tittle ‘adik ipar terbaik’. Jadi lebih baik anda jadi diri anda sendiri dan simpan sikap pemurah untuk hari kelak.
4. Tak Usah Jadi Seperti Belangkas
Pengantin baharu… tak sahlah kalau tidak berkepit 24 jam, tapi silalah berpada-pada nanti takut meluat orang melihat. Jangan diekor sangat ‘punggung’ suami anda itu, cuba duduk bergaul bersama kaum wanita di dalam keluarganya. Kalau rasa memang tak boleh nak bercampur atau berbual sekalipun, tayang muka pun sudah memadai. Biar mereka sedar akan kehadiran anda dan nampak jugalah effort anda untuk meletakkan diri dalam keluarga itu. Cuba pandai membawa diri…
5. Busy Body? Jangan Sesekali
Jangan nak mengundang masalah sendiri! Kalau ya pun anda memang kaki gosip tapi tak perlulah melibatkan keluarga mentua anda. Bila terdengar apa-apa cerita yang kurang enak, pekakkan telinga dan keraskan hati. Cukup sekadar asam garam dalam kehidupan berkeluarga sahaja. Okaylah, kalau benar anda memang nak tahu tentang perkara sebenar, bertanya sahaja kepada suami dan noktah.
6. Jadi Teman
Jika ipar lebih muda daripada anda, bersedialah untuk menjadi tempat mereka mengadu. Ingat! Lepas mendengar, jangan menyampaikan. Simpan apa yang mereka luahkan ketat-ketat. Takut apabila tersebar, buruk padahnya.
7. Sering Berkomunikasi
Kadang-kadang penampilan ipar yang lebih senior nampak garang dan tegas. Tapi jangan jadikan ia sebagai penghalang untuk anda terus berbual-bual dan mengenali ipar dengan lebih rapat lagi.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!