Maafkanlah orang yang pernah menyakiti hati kita. Jom audit diri dan setiap saat fikir bagaimana memperbaiki diri dan melihat kebaikan dalam setiap orang yang kita jumpa, terutama ketika berziarah.
Allah Maha Pengampun dan Maha Pemaaf siapalah kita untuk berkeras hati tidak memaafkan orang? Berapa orang daripada kita ingin lebih tenang, ingin lebih bahagia, seronok dalam apa-apa yang dilakukan. Selalunya manusia berasa menjadi mangsa kehidupan, iaitu apa yang berlaku ke atasnya adalah kerana apa yang dilakukan orang lain.
Untuk menepis rasa negatif itu amalkan satu konsep kehidupan yang positif, iaitu kita menjadi seorang yang melihat kehidupan secara holistik, fizikal, mental, spiritual, hubungan dengan manusia lain dan juga kewangan kita. Berapa orangkah daripada kita berasakan hidup tidak seimbang, iaitu bahagia di rumah tetapi tidak suka di tempat kerja dan sebaliknya hingga membuatkan hidup kita tidak tenang?
Ingatlah, apabila setiap saat kita tidak pernah berasa tenang, jadilah pemerhati diri kita dengan melihat kenapa kita rasa apa yang kita rasa. Kenapa kita buat apa kita marah. Mengapa kita marah apa yang kita marah. Serta jadikan hidup bahagia dan membahagiakan sebagai tujuan hidup kita, untuk bahagia di dunia dan di akhirat.
Jadilah kita insan yang tidak terkesan dengan apa-apa yang bersifat luaran atau fizikal, iaitu hati tidak mencintai hal-hal duniawi, sebaliknya hatinya hanya tertancap kepada rasa cinta kepada Allah, akan kekal kebahagiaan dan ketenangan hidup di dunia dan di akhirat.
Mengumpul bekalan
Bagaimanakah kita hendak tahu, sama ada hati kita bersih ataupun tidak? Pertama, lihat dan nilai diri, ada atau tidak pada diri kita perasaan dengki, iri hati dan tidak puas hati apabila melihat orang lain mendapat atau bertambah rezekinya?
Seterusnya ada atau tidak perasaan hati kita hendak menjatuhkan orang lain yang lebih berjaya daripada kita? Kalau ada perasaan ini, bermakna hati kita tidak bersih, kerana kita tidak reda dengan rezeki yang ditentukan Allah SWT; Tuhan Yang Maha Pemurah dan Maha Mengetahui dan mempertikaikan qada dan qadar-Nya.
Kedua, lihat dan nilai diri kita, adakah kita sibuk menghabiskan masa dengan mencari rezeki Allah sahaja, hingga tidak sempat memperuntukkan masa untuk bersama-sama Allah, Pemberi Rezeki kepada semua makhluk di dunia?
Adakah kita tahu mengumpul bekalan untuk kehidupan di akhirat itu lebih penting, daripada mengumpulkan harta kekayaan untuk kehidupan duniawi? Jika kita masih bertuhankan duniawi, dan lebih mementingkan kerja atau kerjaya kita, hingga leka dan menangguhkan ibadah fardu, ertinya hati kita belum cukup bersih.
Orang yang mengejar duniawi, penat sebenarnya, kerana kebahagiaan duniawi tidak pernah kenal erti “puas” dan “cukup”. Selepas kita mendapat satu impian kita, kita ingin menambahkan lagi beberapa impian kita lagi, yang semuanya didorong oleh nafsu. Oleh itu, didiklah hati untuk bersyukur dan bersungguh-sungguh memperbanyak amalan bagi mempertingkatkan lagi ketakwaan.
Ketiga, nilai dan lihat adakah kita memiliki hati yang suka berburuk sangka dengan sesama kita? Adakah kita suka membuat orang benci dan marah kepada kita, sama ada melalui percakapan kita atau perbuatan kita? Dan akhirnya nilai dan lihatlah diri kita, adakah kita berburuk sangka kepada Allah?
Bagi hubungan sesama manusia pula, orang yang baik dan bersih hatinya ialah orang yang berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya. Jadilah kita seorang insan, yang kehadiran kita dirasakan amat penting; kita ada orang suka, tetapi kalau kita tiada orang tidak suka, kerana hilang keceriaan dan kemeriahan.
Janganlah kita menjadi insan yang tidak dihargai orang; kita ada orang tidak suka kerana menyusahkan, tetapi kalau kita tiada orang suka dan lega. Kalau inilah keadaannya, lebih baik kita menjadi insan yang tidak memberikan apa-apa kesan kepada sesiapa pun, dengan kehadiran kita. Iaitu ada tidak menambah, jika kita tiada tidak ada orang pun yang sedari ketiadaan kita.
Keempat, nilai dan lihat diri adakah hati kita seorang yang bebas daripada perhargaan manusia atau mengharapkan sanjungan manusia? Adakah kita lebih takut kepada kuasa manusia lebih daripada kuasa Allah, hingga kita tidak sanggup menyatakan kebenaran dan mengiakan kemungkaran? Adakah kita seorang yang mengharapkan hanya reda Allah dan hanya takutkan pandangan Allah SWT? Lihat dan tanyalah kata hati.
Demikianlah hakikat hidup ini semua orang inginkan hidup bahagia dunia dan akhirat. Namun begitu, tidak semua orang dapat mengecapinya, kerana hidupnya tidak tenang akibat dilanda kerisauan, stres dan tekanan hidup.
Demikianlah hakikatnya, kehidupan kita sebenarnya di hati – hidup kita bahagia jika hati kita bahagia dan hidup kita tenang jika hati kita tenang, dan begitulah sebaliknya. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.
SUMBER : DR MUHAYA MUHAMAD
FOTO : AZFARINA SULAIMAN