Perkahwinan perlukan komitmen suami dan isteri. Bertahannya sesebuah perkahwinan bukan disebabkan usia, harta, rupa dan apa sahaja yang sewajar dengannya. Persefahaman itu yang paling utama.
Adat dalam alam rumah tangga, tentu ada ujian dan badai yang datang melanda tanpa di duga. Salah satu ujian besar yang dilalui dalam sesebuah rumah tangga ialah gangguan pihak ke tiga.
Pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Abah berkongsi tip tentang bagaimana mengelak rumah tangga diganggu pihak ke tiga serta tip rumah tangga harmoni.
Hadir macamana pun pihak ketiga, tengoklah Tok Abah tetap pandang Tok Mak kau.
Walaupun pihak ketiga ni kategori manja bukan main lagi. Kalau merajuk tu, habis semua dia cakarnya.
Gambar ni jadi bukti. Tok Abah nak bergurau mesra dengan Tok Mak pun, dia buat muka toya. Cemburu tak bertempat. Bertuah punya kucing!
Ini 7 petua nak kebal dari pihak ketiga yang menyondol dan kekal harmoni dalam rumahtangga:
1. Sentiasa letakkan keyakinan dalam diri bahawa Allah memang mengurniakan pasangan terbaik bagi kita.Jika belum rasa dia terbaik dan banyak jumpa kelemahannya, bantu dia perbaiki kelemahan tersebut. Kerana satu hari nanti ia berubah menjadi kelebihan dan akhirnya berperanan sebagai pasangan terbaik sepanjang usia kita.
2. Sentiasalah memberi berbanding hanya menerima. Setiap hari kena renung semula, apa lagi kebaikan yang aku tak sumbangkan pada pasangan.
3. Sentiasa prihatin terhadap gerak hati isteri. Suami yang cemerlang menghormati pendapat pasangannya terutama perihal dirinya dan kasih sayang rumahtangga.
4. Sentiasa anggap konflik sebagai pintu mengenali pasangan dengan lebih akrab.
5. Sentiasa ingin berubah secara positif. Walaupun perubahan kecil, tetap kita raikan bersama pasangan.
6. Setiap malam kena saling bermaafan dengan pasangan sebelum tidur. Minta maaf macam kita minta maaf waktu hari raya tau. Barulah kita tidur dengan tenang dan esok bangun dengan ringan dan cergas.
7. Tidak berlumba nak menentukan pasangan betul atau salah. Apa yang penting adalah kebahagiaannya.
Anak cucu dan sahabat Tok Abah,
Tiada rahsia dalam rumahtangga, semuanya adalah soal dalam mencari keserasian, bertolak ansur, berusaha untuk membahagiakan serta sentiasa mengejar redha Allah yang mutlak.
Pasti, kita dapat wujudkan ‘taman syurga’ buat pasangan di atas dunia. Paling penting adalah kita berganding bahu bersama-sama menerokai kebaikan dalam diri pasangan dan diri sendiri.
Bila kita terlalu sibuk dengan pasangan maka tiada lagi ruang untuk sesiapa menyelinap masuk dalam rumahtangga kita. Biarpun kucing sendiri.
Sumber: Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI