Berbakat, berkarisma dan bercita-cita tinggi. Semua pakej lengkap yang ada pada Azura Mazaruddin. Anugerah yang ada tidak pernah disia-siakan malah terus digilap agar terus memancarkan gemerlapannya. Menyertai pertandingan rekaan fesyen Anugerah Jarum Berlian dan seterusnya memenangi pertandingan tersebut, Azura berjaya memecah dominasi kaum lelaki dalam bidang seni rekaan fesyen tanah air.
Siapa sangka dalam usia 19 tahun, Azura berjaya menjuarai pertandingan tersebut. Nyata tahun 2003 telah membawa tuah kepada anak jati Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini. Sejak detik itu, bintang anak sulung daripada lima orang adik-beradik ini terus berkelip terang dalam industri fesyen tempatan setanding dengan pereka-pereka senior yang sedia ada.
“Saya meminati bidang fesyen sejak alam persekolahan lagi. Meskipun saya tidak ada kemahiran menjahit namun saya amat berminat dalam mata pelajaran seni. Ketika di tingkatan lima, saya mengambil subjek pendidikan seni dan lulus dengan baik dalam subjek tersebut.
“Ketika memohon untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya memohon kursus dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Fesyen di peringkat Diploma. Usai menamatkan pengajian di peringkat diploma, saya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah pula. Ketika itulah saya menyertai pertandingan Anugerah Jarum Berlian dan memenangi pertandingan tersebut,” cerita Azura membuka lembaran bicara.
INGIN BEBAS BERKARYA
Oleh kerana kecintaan Azura dalam dunia rekaan fesyen selain ingin hidup berdikari, beliau sudah mula menerima tempahan pakaian daripada pelanggan sejak masih menuntut di UiTM. Pernah menaiki kenderaan awam untuk bertemu dengan pelanggan serta bergerak dari rumah ke rumah, Azura tekad untuk serius dalam bidang ini.
“Saya berjaya membeli kereta sendiri dengan wang simpanan hasil daripada tempahan-tempahan tersebut. Dengan adanya kereta sendiri, ia lebih ‘memanjangkan’ lagi langkah saya untuk berurusan dengan pihak pelanggan. Ketika itu saya masih lagi belajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Pernah juga saya cuba untuk mereka pakaian korporat namun ia bukanlah ‘jiwa’ saya yang sebenar.
“Saya gemar berkarya maka saya lebih selesa menumpahkan idea dalam seni rekaan busana pengantin. Selepas setahun bergerak secara mobile akhirnya saya berjaya membuka butik dengan menyewa sebuah rumah. Alhamdulillah tidak lama kemudian saya berjaya membuka sebuah butik di Taman Melawati,” ungkap Azura sambil mengakui sudah lapan tahun beliau beroperasi di butik.
Dengan adanya butik, Azura punya lebih banyak kebebasan untuk melebarkan sayapnya dalam dunia perniagaan. Maka bermulalah jenama di bawah Azura Couture seperti Shellebelle dan juga Mazazitv.
Ditanya tentang resipi kejayaannya dalam mengusahakan bisnes, jawab Azura, sikap degil yang ada pada dirinya telah membuahkan hasil. Di sebalik kelembutan yang terpamer pada riak wajahnya, wanita ini ternyata seorang yang berani.
“Memang saya agak degil namun degil saya bertempat. Apa sahaja perkara yang ingin saya lakukan saya akan rujuk kepada ahli keluarga terutamanya kedua-dua ibu bapa saya terlebih dahulu. Tidak dapat dinafikan dalam apa jua perniagaan pasti ada persaingan. Walau bagaimanapun saya menganggap persaingan itu sebagai sesuatu yang sihat.
“Saya menjadikan pesaing-pesaing saya sebagai satu cabaran untuk mengukur sejauh mana tahap swadaya untuk bersaing. Bagi saya, jika mereka boleh melakukannya dengan baik, saya juga boleh berjaya seperti mereka. Saya mencabar diri saya untuk mencipta kejayaan seperti yang dicapai oleh pesaing-pesaing saya,” jelas Azura yang kini berusia 33 tahun.
Jelas Azura lagi, beliau banyak mengaplikasikan sikap jujur dalam soal menguruskan perniagaannya. Ia merangkumi semua aspek seperti membina kepercayaan dua hala antara dirinya dengan pelanggan.
“Ketika berurusan dengan para pelanggan, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah kepercayaan. Jika tidak, mana mungkin kita saling dapat bekerjasama dengan baik. Sikap telus perlu ada dan saya melayan setiap pelanggan sama rata.
“Saya selalu berpesan kepada staf bahawa servis dan layanan kepada pelanggan itu amatlah penting. Saya melatih staf saya untuk belajar cara-cara melayan pelanggan agar pelanggan berasa diri mereka selesa dan dihargai,” jelas Azura yang sering tampil dengan rekaan-rekaan yang elegan, kreatif dan tersendiri.
CEREWET KETIKA BEKERJA
Ibarat isi dengan kuku, begitulah akrabnya cabaran dalam dunia perniagaan. Bagi Azura, setiap tahun, cabaran datang dalam bentuk yang berbeza-beza. Akui Azura, tahun 2017 lebih kepada cabaran daripada dunia sosial.
“Perkembangan dunia sosial yang berkembang dengan pesat menyebabkan rekaan kami mudah untuk diciplak memandangkan ia tersebar dengan cepat di dalam media sosial. Bohonglah jika tiada perasaan terkilan apabila rekaan saya diciplak. Bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu rekaan kerana ia memerlukan daya konsentrasi yang tinggi.
“Selain itu antara cabaran lain yang perlu didepani oleh seorang pereka fesyen ialah apabila rekaan fesyen yang telah diciplak dijual dengan harga yang tidak munasabah. Namun saya percaya masyarakat hari ini bijak membezakan dari sudut harga dan juga kualiti. Kekemasan jahitan serta rekaan kami lebih teliti dan eksklusif,” tutur Azura yang menitikberatkan pemilihan fabrik yang bukan sahaja selesa untuk dipakai tetapi juga mudah digosok, selain tidak mudah berkedut.
Sikap cerewet yang ada pada diri Azura merupakan tunjang kekuatan dalam mengemudikan bisnesnya. Ia bagi memastikan setiap tugasan dilakukan mengikut landasan yang betul terutama daripada segi pengurusan perniagaan dan juga penghasilan rekaan fesyen.
“Fokus itu amat penting untuk mendapatkan hasil yang berkualiti tinggi. Saya boleh bekerja sehari suntuk tanpa henti hanya untuk mendapatkan karya seni yang terbaik. Rekaan fesyen juga berbeza setiap tahun dan kami cuba hasilkan rekaan yang bersesuaian dengan pemakai.
“Selalunya rekaan yang dihasilkan mampu ‘dibawa’ dengan baik oleh pelanggan. Saya mahu pelanggan kelihatan cantik apabila memperagakan rekaan busana berlabelkan Azura Couture,” akhiri Azura yang sedang merancang membina laman web sendiri bagi memudahkan urusan jual beli agar ia lebih cepat dan efisien terutamanya untuk koleksi ready to wear dari Shellebelle.