“Dia melamar saya di Madinah”-Zulin Aziz Sah Isteri Farhan

Share

Kira-kira sebulan yang lalu, Zulin Aziz membuat kejutan dengan melangsungkan ikatan pertunangan dengan rakan kongsi perniagaannya, Farhan Norzaini,35. Hari ini, Masjid Negara Kuala Lumpur menjadi saksi pasangan ini selamat dinikahkan sekitar jam 9.20 pagi tadi.

Majlis pernikahan telah berlangsung dalam suasana mengikut prosedur operasi standard (SOP). Abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz telah bertindak sebagai wali untuk Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz. Pasangan ini dinikahkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd Hosni.

Pada majlis tersebut, Zulin atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz menerima wang hantaran berjumlah RM30,000. Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin RM80 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.


.Usai majlis pernikahan, Zulin yang pernah bergelar penyampai radio ini berharap kehidupan bersama suami waktu mendatang akan dipermudahkan lantaran mengetahui fasa perkahwinan juga pasti akan ada cabarannya.

“Saya sering digambarkan dengan cinta sejati selama ini. Begitu juga dengan fantasi dunia kartun Disney yang membahagiakan antara dua karakter kartun.

“Namun sebelum dua karakter kartun itu bersatu, pelbagai dugaan juga ditempuhi. Di alam realiti juga, saya sendiri melalui pahit getir dalam mencari cinta sejati.

“Kehadiran suami dua tahun lalu bagai magis yang mengubah persepsi baru. Alhamdulillah, hujung tahun lalu ketika mengerjakan umrah, dia melamar saya di Madinah,” kata Zulin usai majlis nikah. Zulin menyifatkan kesungguhan dan keluhuran hati Farhan telah berjaya menambat hatinya. Ketika ditanya mengenai keistimewaan Farhan, ini jawapan Zulin.

“Dia seorang yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga seorang pendengar yang setia. Saya selesa bersama dengannya dan boleh meluahkan apa sahaja kepadanya.

“Tiada rahsia antara kami. Dia menerima saya seadanya sewaktu zaman saya berisi dan kini berjaya menurunkan berat badan. Saya percaya dialah yang akan membimbing diri ini ke jalan diredai dan menjadi bapa kepada bakal anak kami kelak. Insya-Allah,” katanya yang pernah menjadi tetamu untuk ruangan Sembang Kahwin Pesona Pengantin yang bercerita mengenai perjalanan kisah cintanya. Ketika itu, Zulin masih lagi dalam fasa mengenali hati budi Farhan.

Mengenai anak dan bulan madu, Zulin berkata, dia dan suami belum dapat memberi kata putus dan terbuka menerima apa saja rezeki mendatang.

“Soal cahaya mata, baik saya dan suami terima saja rezeki yang Tuhan berikan. Saya pun lagi tujuh tahun nak menginjak usia 40 tahun.

“Saya dan suami beruntung kerja dalam bidang sama iaitu perniagaan Sambal Tujuh. Jadi sambil bekerja selitlah mana sempat nak berbulan madu. Rancangnya macam nak ke Turki, tapi situasi semasa pandemik Covid-19 pun membimbangkan. Belum ada kata putus,” katanya.

Sementara itu, Farhan atau nama penuhnya, Mohd Farhan Norzaini melihat Zulin sebagai wanita yang mempunyai hati tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarganya.

“Alhamdulillah, bersyukur Allah satukan kami selepas dua tahun kenal bermula sebagai kawan, seterusnya bercinta dan kini jadi suami dan isteri. Perasaan bercampur baur sebab ini antara hajat dan doa daripada arwah ibu, rakan dan semua yang mengenali kami.

“Kami masing masing pernah melalui fasa dikecewakan, turun naik kehidupan serta perhubungan. Dia turut bersama saya di saat mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika kehilangan arwah ibu pada Oktober tahun lalu.

“Di situ saya tahu wanita inilah yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya. Dan Zulin ada ciri-ciri lengkap semua itu,” katanya.

Malam ini, pasangan sama padan sama cantik itu akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di premis acara, Magica Grand Hall, Shah Alam. Zulin tampil anggun di majlis pernikahan dengan mengenakan busana serba putih hasil sentuhan Ezuwan Ismail.

Pasangan ini bertunang pada 28 Januari lalu.

Sumber: Instagram Zulin Aziz & Farhan Norzaini

Published by
Rosmah Idayu