Tapi, ada masanya suami dan isteri bertelingkah mengenai kadar muta’ah. Maka, pada masa ini Mahkamah Syariah akan menggunakan budi bicaranya untuk memutuskan kadar yang patut diberikan kepada isteri. Penetapan ini masih berdasarkan kepada kemampuan suami. Wanita yang mempunyai pendapatannya sendiri juga boleh menuntut muta’ah jika perceraian itu berlaku atas kehendak suami.
Ini kerana isteri lazimnya bergantung hidup dengan suami. Perceraian sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada bekas isteri yang secara tiba-tiba kehilangan tempat bergantung. Maka, Muta’ah dapat membantu bekas isteri untuk belajar berdikari dan memulakan hidup baru. Persepsi masyarakat kepada wanita yang diceraikan juga adalah suatu perkara yang diambil kira dalam kewujudan Muta’ah. Masyarakat menganggap adanya keaiban dalam diri wanita yang diceraikan. Perkara ini menimbulkan rasa malu kepada isteri. Maka, Muta’ah merupakan penjelasan yang perceraian bukan berpunca dari bekas isteri.
Selain itu, Muta’ah juga merupakan tanda penghargaan suami terhadap isteri di atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri.
Ada beberapa ayat Al-Qur’an yang menyebut tentang Muta’ah iaitu:
Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Muta’ah menurut yang ma’ruf sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertaqwa.Surah al-Baqarah 2:241
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu berilah Mutaah (pemberian sagu hati) kepada mereka dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya!”Surah al-Ahzab 33:49
#2 – Tuntutan Nafkah Eddah
Eddah ialah waktu tertentu yang perlu dilalui oleh seorang perempuan sebelum dia boleh bernikah dengan lelaki lain. Pada waktu ini, suami dan isteri berpeluang untuk berfikir semula ketika merasai pengalaman melalui perceraian. Isteri yang diceraikan dalam talak raj’ie (talak boleh dirujuk) berhak mendapat nafkah dengan syarat:-
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya.”Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i
“Isteri yang ditalak raj’ie wajib mendapat hak nafkah eddah tidak kira sama ada ia merdeka, hamba, mengandung atau tidak mengandung.”
Kitab al-Fiqhu Mazahib ‘Ala al-Arba’ah, Juzuk 4 karangan ‘Abd al-Rahman al-Jazini
Keletihan sedang hamil dan tekanan perasaan akibat perceraian akan mengganggu kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan. Oleh itu, isteri yang hamil dan ditalak dengan talak ba’in (tidak boleh dirujuk) berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat tinggal sehingga anak itu lahir.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Kalau mereka itu hamil maka berilah nafkah kepada mereka hingga mereka melahirkan anaknya.”
Surah at-Talak 65:6
Jumhur fuqaha menetapkan bahawa perempuan tidak hamil yang dicerai secara talak ba’in, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian, dan tempat kediaman. Ini merujuk kepada ketika Nabi Muhammad s.a.w mengulas mengenai talak tiga baginda menyatakan (maksud) “Tidak ada hak untuknya bagi tempat kediaman dan nafkah.” Riwayat Ahmad dan Muslim
Walau bagaimanapun menurut Hanafi, perempuan dalam kes ini berhak mendapatkan nafkah kerana Allah s.w.t berfirman:
“Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekakayaan kamu.”
Surah at-Talak 65:6
Isteri yang dalam eddah kerana kematian suami tidak berhak mendapat nafkah eddah meskipun ia dalam hamil. Mengenai perkara ini Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan:
“Tidaklah mendapat nafkah bagi perempuan hamil yang kematian suami.”
Riwayat Daruqutni
“Apabila seorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah, pakaian dan giliran.”
Kitab Kifayat Akhyar Juz 29 halaman 4
Ibu bapa masih bertanggungjawab kepada anak-anak apabila berlaku perceraian. Cuma setelah berlakunya penceraian, maka anak-anak perlu dipelihara dan dijaga oleh salah seorang dari ibu bapa kerana mereka tidak lagi hidup bersama. Hadhanah bermakna penjagaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dengan baik.
Ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan anak yang berada di bawah usia mumaiyiz. Ini kerana ibu lazimnya lebih menyayangi anak, tahu mendidik, bersabar dalam memelihara mereka, dan meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak. Merujuk kepada kitab Subul al-Salam, seorang perempuan telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya:
‘'Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, dalam perut akulah kandungannya, susu akulah minumannya dan ribaan aku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripadaku.”
Selepas mendengar aduan itu Rasulullah s.a.w bersabda:
“Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain.”
Riwayat Abu Daud
Walaupun begitu, hak hadhanah akan telucut sekiranya si isteri itu tidak mempunyai salah satu syarat sepertimana berikut:- “Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara, iaitu berakal, merdeka, beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami, dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu syarat itu, maka gugurlah hak hadhanah itu.”
Anak-anak yang sudah mumaiyiz pula diberikan pilihan untuk menentukan siapa penjaga mereka iaitu di antara ibu dan bapa.
“Bahawa Rasulullah s.a.w telah menyuruh seorang anak yang sudah mumayyiz supaya memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal.”
Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah
Tapi, jika anak berdiam diri, hak diberikan kepada ibu kerana kepentingan anak adalah lebih penting berbanding hak penjaganya.
Berkata Ibnu Qaiyim:
“Sesungguhnya kita menyerahkan anak kepada bapa atau ibunya bertujuan untuk menjaga kemaslahatan anak. Kalau anak tinggal bersama ibunya, maka kemaslahatannya lebih terjamin, maka anak itu diserahkan kepada ibunya, meskipun anak itu memilih bapanya kerana memang pilihan anak itu belum tepat acapkali tersalah pilih.”
Kitab Fiqh as-Sunnah