Pasti menjadi cita-cita dan impian setiap wanita untuk miliki bentuk badan yang ideal. Masing-masing berusaha keras sama ada berdiet dan melakukan pelbagai senaman untuk menjadi seperti yang diimpikan. Kadang kala semangat berkobar-kobar itu berlaku sementara waktu dan kembali dengan gaya hidup lama.
Yakinlah bahawa setiap usaha itu tidak semudah sebulan atau dua untuk anda boleh kembali kurus dan langsing, namun ia harus melalui proses yang panjang ditambah dengan disiplin daripada empunya diri. Jika mahukan sesuatu yang diimpikan berjaya, perlulah ada pengorbanan dalam diri.
Untuk anda menjadi lebih bersemangat dan berhasrat ingin kurus, dikongsikan tip daripada gadis bernama Ekin Khairi ini. Siapa sangka dahulu beratnya mencecah 85 kg, tapi kini dengan tip diet tanpa sebarang suplemen beratnya menjadi 60kg. Bagi yang ingin melangsungkan perkahwinan dan dalam masa yang sama ingin menurunkan berat, jom cuba tip manfaat daripadanya ini.
LANGSUNG TAK AMBIL AIR MANIS
Just wanna share with you guys☺️
Macam mana ekin turun berat badan? Ekin banyak minum air masak, sometimes sehari tu sampai 4-5 liter. Ekin tak minum air manis langsung! Tak makan benda bergoreng, tak makan roti , nasi or fastfood. Makan buah, sayur, kacang, telur, low fat plain yogurt! workout tu yass mesti lah workout. Paling kurang sejam sehari. Lepas dah turun 10 kg, ekin makan nasi tapi segenggam nasi then sayur and protein. Ekin ada cheatday, seminggu sekali cheat day?? harus okay sebab ekin suka sangat chocolate + ice cream
BAJU SAMA TAPI SAIZ BERBEZA
Gambar kiri masa tu berbadan “comel” lagi, time tu bulan May tahun ni, yang kanan tu baru je tadi amik! Ekin dah turun berat badan almost 25kg! Alhamdulillah??? Still ada 7kg nak kena turun lagi! wish me luck!!
p/s : ekin pakai baju sama?
KENA ADA DISIPLIN
Paling penting …..
Disiplin❤️
Sepanjang ekin turunkan berat badan mmg tak amik langsung supplement turunkan berat badan or detox tea
Sekian dari ekin??
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Panduan Untuk Pengantin Lelaki! Ini Perkara Yang Korang Patut Buat Lepas Akad Nikah
Selepas bertungkus lumus selama berbulan-bulan merancang majlis yang paling sempurna, pasti anda ingin semuanya berjalan lancar. Jika anda bakal pengantin lelaki, jadikan empat perkara ini sebagai panduan yang perlu anda lakukan sehingga majlis akad nikah selesai.
Dalam tak sedar, ada sebahagian bakal pengantin yang kurang pendedahan tentang ilmu-ilmu perkahwinan seperti perkara yang perlu dilakukan selepas majlis akad nikah. Bezanya hari ini, jurunikah turut memberi ruang selepas majlis untuk pengantin melakukan solat sunat dan sebagainya. Begitu juga jurugambar yang turut serta dalam mengambil momen-momen indah di dalam majlis tersebut.
Untuk bakal pengantin lelaki, pastikan anda jadikan empat perkara ini sebagai panduan sebelum anda melangkah menjadi seorang suami.
1. Solat Sunat Selepas Akad Nikah
A. Lafaz niat:
“Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Taala”
Ertinya: Sahaja aku solat sunat sesudah nikah dua rakaat kerana Allah Taala
B. Bacaan surah
Surah-surah yang sunnah dibaca selepas Al-Fatihah adalah:
Rakaat pertama: Surah Al-Kafiruun
Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas
C. Sujud Syukur selepas salam
Kemudian, selepas salam dilakukan pula Sujud Syukur, ataupun boleh juga selepas akad terus dilakukan Sujud Syukur terlebih dahulu tanpa mengerjakan Solat Sunat Nikah tersebut yang ditangguhkan pada sebelah malam nanti. Ia terpulang kepada kesesuaian dan keselesaan individu dan pasangan tersebut untuk melakukannya.
D. Membaca doa nikah
Baca doa nikah yang bersesuaian atau boleh dibaca contoh dalam bahasa Melayu seperti berikut:
“Ya Allah! Dikau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, seru sekalian alam. Ya Allah! Daku bersyukur kepada-Mu, setelah selesai pernikahan kami ini, daku memohon pada-Mu Ya Allah; Dikau berkatilah pernikahanku ini, Dikau jadikanlah daku dan isteriku orang-orang yang soleh.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Kepada-Mulah kami memohon pertolongan. Dikau anugerahkanlah kepadaku isteri yang solehah, Dikau berikanlah daku dan isteriku petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaan-Mu dan tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus sepanjang hidup kami. Dikau berikanlah kami kekuatan untuk memimpin isteri dan mendidik bakal anak-anak kami ke jalan yang Dikau redhai.
Ya Allah, Ya Wadud! Dikau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dengan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Dikau anugerahkanlah padaku dan isteriku anak-anak yang ramai yang soleh dan solehah. Dikau anugerahkanlah kami dan anak cucu kami kesihatan dan kesejahteraan di sepanjang hayat kami dan sepanjang hayat mereka. Dikau peliharalah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosak kemesraan dan kebahagiaan rumah tangga kami.
Ya Allah, Ya Razaq, Ya Rashid! Dikau anugerahkanlah kepada kami akan rezeki yang bersih lagi baik, lindungilah kami dari mendapat rezeki yang keji dan haram. Dikau jadikanlah daku dan isteriku serta bakal anak-anak kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertakwa. Dikau berikanlah petunjuk dan jalan sekiranya daku dan isteriku serta anak-anak kami tergelincir atau menyimpang ke jalan yang tidak Dikau redhai.
Ya Allah! Dikau anugerahkanlah padaku, isteriku dan keturunan kami kekuatan dan keimanan untuk berbuat baik dan amal soleh sepanjang hayat kami. Dikau peliharalah kami suami-isteri, anak-anak dan cucu-cucu kami daripada sebarang mara bahaya, fitnah dan malapetaka yang tidak diingini sama ada yang zahir mahupun yang batin.
Ya Allah! Dikau berkatilah umur kami suami-isteri, anak-anak kami dan cucu-cicit kami sehinggalah akhir hayat kami dan mereka. Dikau peliharalah kami suami-isteri, anak-anak kami dan cucu-cicit kami agar menjadi orang yang taat kepada-Mu Ya Allah, kepada kedua ibu bapanya dan taat mengerjakan perintah-Mu dan taat dalam menjauhi larangan-Mu.
Bahagiakanlah rumah tangga kami Ya Allah! (3 kali),
Dikau berkatilah rumah tangga kami Ya Allah! (3 kali).”
2. Sujud Syukur
A. Lafaz niat:
“Sahaja aku sujud syukur kerana Allah Taala”
B. Cara solat:
a. Takbiratul ihram iaitu mengangkat tangan sebagaimana takbir dalam solat.
b. Terus sujud sekali dan membaca bacaan seperti bacaan sujud ketika solat.
c. Mengucapkan syukur di dalam hati “Aku bersyukur kerana dikurniakan suami / isteri”
d. Terus duduk dan memberi salam.
3. Suami meletakkan tapak tangan di atas ubun-ubun isteri lalu membaca doa
A. Bacaan doa seperti berikut:
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.” (Riwayat Abu Daud)
4. Isteri bersalaman dengan suami sambil mencium tangan suami lalu mengucapkan 2 kalimah syahadah
Ini adalah empat perkara sunat yang sebaiknya dilakukan pengantin sejurus selepas anda berdua sah diijabkabulkan sebagai suami isteri. Namum berhati-hati, anda tidak digalakkan untuk mencium ubun-ubun isteri kerana ia adalah acara dalam agama lain. Selalunya, saudara-mara yang akan mengarahkan pengantin lelaki untuk mencium isteri dan anda haruslah menolaknya dengan cara berhemah.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Isteri Buka Aurat, Adakah Suami Akan Tanggung Dosa Isterinya?
Soalan: Adakah sahih suami akan menanggung segala dosa isterinya?
Jawapan:
Di dalam al-Quran banyak ayat yang memerintahkan agar setiap daripada manusia itu menjaga diri mereka dan juga orang-orang yang berada di sekitar mereka daripada melakukan maksiat atau dosa. Antara firman Allah SWT yang menceritakan perkara tersebut adalah:
- Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
al-Tahrim:6
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.”
Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar. Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 476/14]
Berdasarkan soalan di atas, secara asalnya di dalam syara’ setiap insan itu tidak akan menanggung dosa orang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا
al-An’am:164
Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”
Imam al-Hafiz Ibn Kathir mengatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini menceritakan perihal hari Kiamat ketika berlakunya pembalasan, hukuman dan pengadilan daripada Allah SWT. Selain itu, setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT: [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 383-384/3]
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ
Fatir:18
Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.”
Melihat kepada ayat dan kenyataan daripada Imam Ibn Kathir di atas, jelas menunjukkan di dalam syara’ bahawa setiap insan yang sempurna akal fikirannya dan telah baligh (mukallaf), dosanya itu akan ditanggung oleh dirinya sendiri tidak kira apa statusnya sama ada dia seorang suami, isteri, ayah, ibu, anak atau selain daripadanya. Adapun, suami itu atau sesiapa sahaja akan berdosa bila mana dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya seperti menasihati isteri dalam perkara yang ma’ruf dan menghalangnya daripada melakukan perkara yang munkar. Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadith iaitu:
- Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya berkaitan orang dibawahnya. Seorang Imam (ketua atau pemimpin) ke atas manusia adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).” [Riwayat Muslim (1829)]
Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan pemimpin di dalam hadith ini sebagaimana yang dikatakan oleh ulama’ adalah seorang penjaga yang telah diamanahkan dan beriltizam dalam memperbaikkan setiap perkara yang dilakukan terutama orang yang berada dibawah penjagaannya. Jika terdapat kekurangan terhadap orang berada dibawah penjagaannya, maka dia dipertanggungjawabkan untuk mengadilinya (jika berlaku kezaliman) serta menguruskan keperluan yang diperlukannya (orang yang berada di bawah) sama ada perkara itu melibatkan agama, dunia atau mana-mana perkara yang berkaitannya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 213/12]
Selain itu juga, di dalam al-Quran terdapat firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa lelaki merupakan pemimpin buat wanita. Antaranya:
- Firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
al-Nisa’:34
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.”
Kata Syeikh al-Sa’di, maksud lelaki adalah pemimpin di dalam ayat ini adalah kaum lelaki wajib menyuruh wanita (isteri) menunaikan hak-hak Allah seperti menjaga perkara-perkara yang fardhu dan mengahalang mereka daripada melakukan perkara maksiat. Ayat ini menunjukkan tanggungjawab kaum lelaki (suami) terhadap wanita (isteri) dalam memastikan mereka menjalankannya hak-hak tersebut. [Lihat: Taysir al-Karim, 177]
Bagi menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa si suami sama sekali tidak akan menanggung dosa isterinya jika si suami itu telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Adapun, jika si isteri masih melakukan perkara maksiat setelah ditegur (dinasihati) atau si isteri melakukan maksiat di belakang suami (tanpa pengetahuan suami) maka si isteri itu tetap berdosa dan suami tidak akan sama sekali menanggung dosa-dosa tersebut. Ini kerana, tanggungjawab adalah untuk menasihati isteri kerana ia merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan dan perkara itulah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak jika si suami cuai dalam mendirikan hal tersebut. Untuk itu, kami tegaskan bahawa kenyataan bahawa suami akan menanggung segala dosa isteri adalah tidak benar kerana ia bertentangan dengan dalil-dalil yang telah kami sebutkan di atas.
Penutup
Kesimpulannya, setiap insan (mukallaf) akan menanggung dosanya sendiri di hadapan Allah SWT apabila tiba hari pengadilan dan setiap insan itu sama sekali tidak akan membawa atau menanggung dosa orang lain apabila dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita isteri-isteri yang solehah dan menjadikan keluarga yang terbina itu penuh dengan sakinah (ketenangan), rahmah (rahmat) dan mawaddah (kasih sayang). Amin.
Sumber : http://www.muftiwp.gov.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Tidak Menyukai Isteri & Minta Menceraikannya. Wajibkah Mentaati Ibu Dalam Hal Ini?
SOALAN
Saya memohon dan merayu kepada mufti untuk menyelesaikan kekusutan yang lama membekam di jiwa saya. Saya telah pun bernikah dengan gadis pilihan saya, Alhamdulillah kami telah dikurniakan dua orang anak. Pernikahan kami bahagia seperti pasangan lain. Namun begitu, ibu saya tidak menyukai isteri saya dan berkali-kali minta saya ceraikan. Ibu saya kali mengatakan beliau tidak halalkan syurga untuk saya selagi saya tidak menceraikan isteri saya.
Apakah wajib saya mentaati ibu saya dalam hal ini?
JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.
Penceraian adalah suatu perkara yang merungsingkan di negara ini. Kes penceraian meningkat naik saban tahun seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat. Kebanyakan alasan yang dikemukan adalah sangat tidak boleh diterima. Maka, perlu kita teliti persoalan ini, agar kita memahami dengan baik syariat Islam yang berkaitan dengan penceraian.
Untuk memahami isu ini, perlu untuk kita fahami dengan jelas hukum-hakam berkaitan dengan talak. Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala. Hukum talak ini sangat jelas seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma:
أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ
Maksudnya: Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”
Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197)
Namun begitu, seperti hukum pernikahan yang mempunyai hukum umum dan khusus, begitulah juga dalam masalah talak. Para fuqaha’ tetap membezakan secara khusus mengikut hal-hal berikut (rujuk al-Mu’tamad (), Nihayah al-Muhtaj():
- Wajib Talak wajib dijatuhkan sekiranya telah berlalu tempoh ila’. Rujuk perbahasan ila’ dalam artikel kami sebelum ini yang bertajuk: “Al-Kafi #834: Hukum Berkaitan Men-Ila’ Isteri” Talak juga wajib dijatuhkan apabila pertelingkahan di antara suami isteri telah sampai ke suatu tahap yang paling serius. Kemudian wakil suami dan isteri melihat tidak ada penyelesaian lain melainkan penceraian.
- al-Nadb atau Sunat Sunat di sini tidak membawa maksud sesuatu yang disandarkan kepada Nabi SAW, tetapi asalnya di dalam bahasa arab al-Nadb iaitu sesuatu yang diperintahkan oleh Allah namun tidak ditekankan kemestian untuk melakukannya. Sekiranya melakukan hal tersebut, akan mendapat pahala, sekiranya tidak melakukan, tidak mendapat dosa. Antara sebab yang menjadikan al-Nadb atau sunat untuk menjatuhkan talak adalah apabila isteri tidak lagi menjalankan tugasdengan baik sebagai seorang isteri, dan bertingkah-laku yang buruk. Hukumnya sunat sahaja kerana wanita yang benar-benar solehah itu umpama gagak putih, sangat sukar ditemui. Selain itu, sunat untuk menceraikan apabila suami tidak mampu memberikan hak isteri. Dalam hal ibu bapa yang minta untuk anak menceraikan isterinya telahpun disebutkan sebahagian ulama’ mazhab al-Syafie antaranya oleh Imam al-Ramli menyatakan bahawa (rujuk al-Mu’tamad (4/139-142) Nihayah al-Muhtaj (6/423):
أَوْ يَأْمُرُهُ بِهِ أَحَدُ وَالِدَيْهِ: أَيْ مِنْ غَيْرِ نَحْوِ تَعَنُّتٍ كَمَا هُوَ شَأْنُ الْحَمْقَى مِنْ الْآبَاءِ وَالْأُمَّهَاتِ
Maksudnya: (antara perkara yang sunat menjatuhkan talak) diperintahkan kepadanya salah seorang daripada orang tuanya (suami), perintah yang tidak keterlaluan seperti kemahuan ibu bapa yang tidak munasabah dari ibu-bapa.
- Makruh Perbincangan hukum makruh ini sama seperti perbincangan hukum talak secara umum yang telah disebutkan. Selain itu, sekiranya isteri tidak memerlukan lagi untuk ditanggung oleh suami seperti mampu untuk tanggung menanggung dirinya sendiri, maka termasuk di dalam hukum makruh menceraikan. Mana-mana alasan yang remeh-temeh hingga membawa kepada penceraian adalah makruh.
- Harus Menjadi harus untuk menjatuhkan talak di atas sebab-sebab munasabah dari sudut pandang syarak. Namun begitu, lebih diutamakan sekiranya suami tidak menjatuhkan berdasarkan hadis yang disebutkan di atas.
- Haram Talak haram dijatuhkan ketika isteri sedang haidh kecuali isteri yang belum disetubuhi, atau talak isteri yang sedang haidh dengan gantian berupa bayaran dan sebagainya maka tidak dikira haram. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ
Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya,
Surah al-Talaq: 1
Maka jelaslah idah itu tidak boleh dimulakan ketika haidh, maka hukumnya adalah haram sekiranya mentalakkan ketika tempoh haidh. Selain itu, turut haram orang yang menceraikan isteri sesudah menyetubuhinya dan merasakan isterinya akan hamil. Begitu juga talak dengan menzalimi wanita tersebut.
Dalam merungkai persoalan berkaitan tanggungjawab anak dengan ibu bapa, kami telah jawab melalui persoalan sebelum ini, melalui sebuah artikel yang kami tajukkan dengan: Al-Kafi #1114: Ibu Halang Nikahi Gadis Pantai Timur.
Dalam artikel ini telah kami bahaskan persoalan berkaitan adab seorang anak dengan ibu bapa yang mana kami nyatakan seperti berikut:
Yang terakhir, perkara yang perlu dirai’kan di dalam persoalan ini ialah adab seorang anak dengan ibu. Kami mengajak untuk kita hayati suatu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ, وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ
Maksudnya: Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa
Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026)
Maka, seperti yang disebutkan dalam hadith di atas, selamanya seorang anak itu wajib mentaati kedua ibu bapa bagi mencapai keredhaan mereka. Namun ketaatan kepada ibu bapa itu juga mempunyai had dan batasnya seperti mana yang disebutkan dalam hadith yang lain, melalui riwayat Saidina Ali RA bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Tiada ketaatan dalam hal maksiat, sesungguhnya ketaatan itu dalam perkara yang maaruf (kebaikan)
Riwayat al-Bukhari (7257) Muslim (1840)
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan perbincangan di atas, kami menjawab soalan yang ditanya bahawa adalah tidak wajib untuk mentalakkan isteri apabila disuruh oleh ibu bapa sebagaimana yang diterangkan.
Sebagai umat Islam, kita perlu sering memandang sesuatu dengan mengasingkan hukum dan tanggungjawab. Mentaati dan berbuat baik kepada ibu adalah kewajipan seorang anak, maka terangkanlah dengan baik dan teruskan bersabar dengan mereka di samping mempertahankan rumah tangga yang dibina.
Jangan pula kerana tidak wajib mengikut permintaan mereka dalam menceraikan isteri dek kerana Allah SWT tidak suka akan penceraian, kita melakukan pula perkara yang haram lain, iaitu derhaka kepada mereka. Banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan rumah tangga.
Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kefahaman yang baik dalam memahami syariat-Nya seterusnya mengamalkan di dalam kehidupan. Amin.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI