Ada pelbagai jenis diet yang menjadi amalan untuk menurunkan berat badan.Antara jenis diet yang cukup popular terutamanya buat golongan wanita adalah jenis Diet Rendah Karbohidrat seperti diet Atkin’s, diet Ketogenik dan sebagainya.
Meskipun kesan penurunan badan dapat dilihat dengan cepat, rupanya amalan diet jenis ini adalah membahayakan kesihatan, tidak selamat dan boleh meningkatkan kadar kematian.
Perkara ini didedahkan oleh Dato Dr. Rushdan Noor, Pakar Perunding Ginekologi Onkologi, menerusi kajian yang diperolehi daripada Medical University of Lodz.
Ramai yang mengamalkan diet rendah karbohidrat seperti diet Atkin’s, diet Ketogenik dan lain-lain lagi untuk menurunkan berat badan. Ada juga yang percaya diet ketogenik boleh mencegah dan merawat kanser.
Satu kajian prospektif yang besar telah dilakukan ke atas beribu-ribu orang oleh Professor Maciej Bonach daripada Medical University of Lodz mendapati individu yang mengamalkan diet rendah karbohidrat ini mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kematian pramatang (“premature death”). Risiko kadar kematian juga lebih tinggi ke atas penghidap sakit jantung koronari (51%), angin ahmar (50%) dan kanser (35%). Hasil kajian ini baru sahaja dibentangkan semasa Kongres ESC* 2018 pada 28hb Ogos 2018.
Satu meta-analisis yang lebih besar ke atas 7 kajian prospektif cohort melibatkan hampir 45 ribu orang peserta mendapati berlaku PENINGKATAN RISIKO KADAR KEMATIAN iaitu 15% bagi keseluruhan penyakit, 13% bagi penyakit jantung dan 8% bagi penyakit kanser oleh individu yang mengamalkan diet rendah karbohidrat.
Walaupun untuk jangkamasa pendek, diet rendah karbohidrat berkesan menurunkan berat badan, tekanan darah dan gula darah tetapi kesan jangkamasa panjang sangat membimbangkan. Ia juga mempunyai kesan negatif kepada kesihatan untuk jangkamasa pendek. Jadi pada pandangan Ahli Sains Perubatan diet rendah karbohidrat lebih baik dielakkan.
Bagi pesakit kanser, saya menasihati supaya jangan mengamalkan diet ketogenik ataupun mengamalkan pengambilan gula/karbohidrat yang terlalu rendah bersama dengan diet tinggi lemak dan protin. Tiada bukti saintifik yang mengesahkan ianya dapat membantu pesakit kanser samada mencegah ataupun merawat penyakit mereka. Kemudaratannya lebih besar, jangan terpedaya dengan pendapat pengamal rawatan alternatif ataupun petua-petua yang palsu ini. Dapatkan nasihat pakar pemakanan dan doktor yang berkelayakan jika ingin mengamalkan diet tertentu.
Sumber:Rushdan Noor