Bukan mudah untuk menjalani kehidupan berumah tangga. Lebih-lebih apabila anda dan pasangan tinggal bersama keluarga. Banyak hati perlu dijaga. Di sini suami/isteri di sana emak dan ayah. Pasti wujud suasana yang kurang senang ketika tinggal bersama.
Usah rasa tertekan dengan masalah yang timbul dan jangan sesekali cepat melatah. Setiap masalah ada penyelesaiannya.
Sekiranya terdapat perselisihan faham, cuba duduk semeja dan berbincang. Kenal pasti masalah yang dihadapi dan selesaikan dengan cara yang baik. Jangan cepat menuding jari pada mana-mana pihak. Cuba bersikap adil dan bijak. Pasti masalah dapat diselesaikan dengan baik.
Perkara paling penting yang anda harus ingat, mesti menjaga percakapan. Jangan sesekali meninggikan suara atau bercakap kasar. Sekiranya anda bercakap dalam nada lemah lembut dan sopan, pasti kemarahan di pihak sana akan beransur hilang. Seperti kata pepatah ‘api jangan di simbah dengan minyak’ kalau dibiarkan makin marak.
Jika masalah yang wujud disebabkan tabiat atau sikap yang tidak menyenangkan, bimbing pasangan anda untuk berubah. Anda juga perlu tanamkan azam dalam diri yang untuk sama berubah bagi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia.
Mungkin anda telah menggunakan pelbagai cara untuk menjernihkan keadaan, namun hasilnya masih sama dan tidak berkesan. Jika perkara sebegini masih berlaku, cuba mengalah dan bersikap sabar. Tidak salah anda mengalah, kerana itu bermakna, anda mampu melawan ego kemarahan anda.
Bagi pasangan yang baru berkahwin, kebiasaannya pihak wanita yang selalu mengalami masalah dengan keluarga mertua. Sekiranya isteri anda mengalami keadaan seperti itu, jangan rasa tersepit, anda perlu bijak menanganinya. Sentiasalah bersama isteri anda walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Sekiranya isteri tidak pandai masak, anda boleh membantunya bersama di dapur.
Sekiranya ini terjadi, cuba luangkan masa bersama keluarga untuk keluar beriadah seperti berkelah di tepi pantai, mandi manda di taman tema air, dan banyak lagi aktiviti. Pasti hubungan kalian akan lebih erat dan bahagia.
Solat berjemaah sangat penting dalam mewujudkan sebuah keluarga bahagia. Dengan solat berjemaah, anda dan keluarga bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim malah rumahtangga lebih diberkati Allah SWT.
Jangan beri hadiah ketika ulang tahun kelahiran saja, anda juga boleh memberi cenderahati pada bila-bila masa. Mungkin ia kedengaran seperti rasuah, namun jika ‘kena’ pada caranya, hadiah tersebut akan bertukar menjadi pemberian paling indah oleh anda. Sekaligus dapat memujuk hati keluarga mertua anda yang dalam kemarahan.
***JOM SERTAI CHANNEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.