Diuji dengan kisah rumah tangga, penyanyi, Datuk Nora Ariffin memilih untuk meneruskan kehidupan seperti kebiasaan bselepas diceraikan bekas suami, Dr. Rushdi Ramli menerusi rakaman video Instagram.
Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, berkata, apapun yang berlaku hanya ada satu jalan untuk bahagia iaitu bergerak ke hadapan.
“Kembali bekerja, hidup perlu diteruskan,” katanya dalam perkongsian Instagram Story.
Sebelu ini Nora mengundang kejutan apabila berkongsi video rakaman suaminya, Dr. Rushdi Ramli melafazkan talak yang kemudian dimuatnaik dalam Instagram.
Susulan itu ramai menyalahkan lelaki terbabit yang didakwa menggunakan cara salah atau terikut-ikut trend bercerai hanya dengan rakaman video.
Begitupun, penyanyi Di Persimpangan Dilema itu mempertahankan suaminya dengan menyatakan lelaki berkenaan hanya mengikut arahan pihak tertentu.
Selepas itu Nora juga dilihat kurang selesa isu talak jadi bahan sensasi apabila enggan memanjangkan hal rumah tangganya dengan tidak memberi sebarang maklum balas.
Dia meminta maaf kerana tidak mengulas lanjut kerana tujuan asal berkongsi mengenai status perkahwinan mereka adalah bagi mengelakkan fitnah.
Menerusi perkongsian sama, ibu kepada empat anak itu turut memaklumkan hubungan dengan bekas suaminya dalam keadaan baik.
Nora juga mengakui berlapang dada berdepan ketentuan takdir bahawa perkahwinannya dengan Rushdi ternoktah selepas tiga tahun hidup bersama.
Tahun lalu spekulasi pergolakan rumah tangganya dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Figh & Usul, Universiti Malaya (UM) itu sudah mula dihidu ramai tetapi dinafikan.
Mereka bergelar suami isteri pada 2021, malah Rushdi merupakan sahabat baik arwah suami Nora iaitu Allahyarham Johan Nawawi.
Johan yang juga komposer tersohor meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.