Setiap pagi bila kita bangun, badan yang lesu menjadi kembali segar. Ucapkanlah Alhamdulillah kerana sekali lagi, hari in, kita diberi peluang untuk bernafas. Jangan sia-siakan peluang kehidupan ini dan berdoalah setiap hari kepada Allah memohon segala kebaikan.
– Daripada al-Munzir r.a., sahabat Rasulullah SAW, yang ketika itu sedang berada di Afrika. Dia berkata,
“Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesiapa yang melafazkan kalimah ini pada pagi hari,
رَضِيتُ بِاللهِ رَبًّا ، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا ، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا
‘Aku telah redha ALLAH TUHANku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad Nabiku.’
Maka akulah (Nabi SAW) pemimpin (kaum muslimin) dan aku pasti memegang tangannya hingga aku memasukkannya ke syurga.’” (Silsilah Ahadith al-Sahihah no. 2686) (Silsilah Ahadith al-Dha’ifah no. 5020)
– Daripada Abdurrahman bin Abza, daripada ayahnya, dia berkata,
“Rasulullah SAW pernah mengajar kami apabila salah seorang dari kami berada pada pagi hari, maka hendaklah dia berdoa,
أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ ، وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا ، وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
‘Kami berada pada pagi hari di atas fitrah Islam, kalimah ikhlas (dua kalimah syahadah), agama Nabi kami SAW dan agama nenek moyang kami Ibrahim yang lurus dan seorang muslim dan dia tidak di antara orang-orang yang musyrik.’” (Silsilah Ahadith al-Sahihah no. 2989)
– Daripada Juwairiyah r.a. bahawa,
Nabi SAW keluar dari rumah Juwairiyah r.a. pada pagi hari setelah solat Subuh. Ketika itu Juwairiyah masih berada di tempat solatnya. Kemudian Baginda kembali pada waktu Dhuha sedangkan Juwariyyah masih duduk di tempatnya. Maka Baginda berkata, “Kamu masih belum beranjak dari tempatmu sejak aku keluar meninggalkanmu?”
Juwairiyah menjawab, “Ya.” Nabi SAW berkata, “Setelah aku keluar tadi، aku sedang melafazkan empat rangkai kata sebanyak tiga kali yang seandainya dibandingkan dengan apa yang telah kamu baca seharian tentu akan sama (sebanding). Iaitu ucapan,
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
‘Maha Suci ALLAH dengan segala Puji-NYA, Maha Suci ALLAH sebanyak hitungan makhluk-NYA menurut keredhaan-NYA, menurut kebesaran ‘Arasy-NYA dan sebanyak paparan kalimah-NYA.’” (Silsilah Ahadith al-Sahihah no. 2516)
– Daripada Abu Musa r.a., dia berkata,
“Suatu ketika datang Rasulullah SAW saat kami sedang duduk-duduk, lalu Baginda bersabda, ‘Tidaklah aku berada pada pagi hari kecuali aku memohon ampun kepada ALLAH ketika itu sebanyak 100 kali.’” (Silsilah Ahadith al-Sahihah no. 1600)
Doa Khusus pada Waktu Petang
Daripada Abu Hurairah r.a., dia berkata bahawa,
Ada seorang lelaki datang menemui Nabi SAW, maka dia berkata, “Wahai Rasulullah! Aku tidak menemukan sesuatu pun malam tadi kecuali kala jengking yang mengigitku.”
Baginda bersabda, “Seandainya kamu berdoa pada petang hari sebanyak tiga kali (dengan membaca),
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
‘Aku berlindung kepada ALLAH dengan kalimah-NYA daripada semua kejahatan apa-apa daripada yang diciptakan.’
Maka tidak ada sesuatupun yang akan membahayakanmu.” (Ringkasan Sahih Muslim no. 1453) (Sahih al-Tirmizi no. 3604)