Hubungan

Duduk Jauh Selepas Berumahtangga, Bukan Alasan Terus Biarkan Ibumu Sendiri

Share

Diharapkan perkongsian ini dapat menyedarkan kita semua akan pentingnya selalu bertanya khabar pada ibu kita. Mereka mungkin tidak mahukan harta dari kita, cukuplah mendengar suara dari anaknya yang penat dia besarkan dari kecil sehingga anda berumah tangga kini. Walaupun anda sudah berjaya dan berkahwin, ingatlah wanita tua ini selamanya.

Ikuti perkongsian Akhtar Syamir ini.

Bila Ibu kita sudah tua.

Ibu kita ini sering kesunyian. Ibu sering ketakutan. Ibu sering dilanda kerinduan. Dahulunya hidup si Ibu bertemankan suaminya yang dicintai. Kini teman sehidupnya telah lama pergi. Janji semati tidak mampu lagi ditepati. Tinggallah si Ibu sendirian meniti hari.

Jika kita letak diri di tempat Ibu sebegini, mampukah kita menjawab soalan – soalan yang bermain di fikirannya? Dapatkah kita mendengar bisikan hatinya tanpa menitiskan sedikit pun air mata?

Nah, rasakan sedikit apa yang bermain di fikiran Ibu kita.

“Suamiku, kenapa kau pergi dulu? Kenapa tinggalkan sayang sendirian? Suamiku, sayang rindu, bagaimana sayang nak menjalani kehidupan ini? Sayang takut, sayang sunyi. Sayang tak boleh hidup seorang diri. Tolong la kembali suamiku. Sayang tak biasa. Kita selalu buat semua benda bersama. Kenapa pergi dulu? Apa sayang nak buat ni? Sayang takut sangat.”

Pada ketika dan saat saya menaipkan ayat di perenggan di atas, saya benar – benar menangis teresak – esak seperti anak kecil. Itu baru sedikit sebenarnya. Tak mampu untuk saya selami lebih dalam lagi. Hati saya terasa amat kecil seperti dipicit – picit menjadi sekecil guli. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Janganlah ditegur kenapa Ibu sering teringatkan apa yang arwah Ayah suka dan sering lakukan bersama. Berpuluh tahun lamanya, pasti ada perkara yang akan melekat di dalam fikiran Ibu selama – lamanya. Pasti setiap yang pernah disentuh, akan terasa, setiap kebahagiaan yang pernah dikecapi, akan diingati.

Jangan berani cakap mengenai “move on” dan hidup mesti diteruskan. Jika kita tidak pernah merasakan kehilangan teman yang berpuluh – puluh tahun lamanya bersama, kita tidak akan sekali – kali pun faham kerinduan dan kehilangan yang telah Ibu lalui sehinggalah kita laluinya sendiri nanti.

Jangan kamu biadap mencadangkan pengganti. Ibu sudah tahu siapa menunggunya di syurga nanti. Orang yang paling dicintai iaitu si suami.

Ibu kita sering disalah erti. Selalunya Ibu sebenarnya tidak maksudkan apa yang kita tafsirkan. Kadang – kala Ibu terlebih berterus – terang kerana telah penat selama ini menahan diri, menjaga hati dan sentiasa mengendahkan sensitiviti.

Kita sebagai yang lebih muda, kita sebagai anak perlulah bersabar. Walaupun kadang – kala ianya pahit untuk ditelan, tetapi kita kena terima seadanya Ibu kita itu sebagaimana Ibu menerima kita seadanya semenjak dari kecil lagi.

Bagaimanakah kita tergamak untuk tidak tahan dengan bebelan ibu sedangkan si Ibu inilah yang melahirkan kita? Bagaimanakah kita tergamak meninggikan suara kepada insan yang memperkenalkan kita pada dunia? Jika kamu pernah melayan Ibu seperti ini, tidak ingatkah kamu akan dosa, anak derhaka?

Bila kali terakhir kita tanya Ibu kita apa yang ingin Ibu lakukan? Jika ada, cubalah realisasikan. Jika belum, buatlah secepat mungkin. Kita tidak tahu mungkin itu hasratnya yang terakhir atau mungkin hasrat yang direalisasikan itu bakal memberinya semangat untuk terus hidup lebih bertahun – tahun lamanya.

Pada tahap umur sebegini, Ibu memang suka bercerita. Kadang – kala perkara yang sama. Yang pastinya kebanyakannya perkara yang lama. Berilah perhatian kepadanya. Layanlah percakapan serta perkongsiannya. Hanya itu yang tinggal di minda Ibu, perkara yang lalu. Memori kehidupan sejuta warna. Saat – saat kegembiraan, kesusahan, teladan dan sempadan. Selagi daya, ambillah semua. Seraplah perkongsiannya. Semoga dapat kita contohi melalui pengalaman hidupnya.

Umur yang tua membawa seribu kesakitan. Amalkan bertanya bagaimana keadaan kesihatan Ibu kita. Temanlah Ibu ke hospital bila perlu. Sekarang semuanya sudah terbalik. Ingatkah kita pada saat kita kecil dahulu? Betapa kita takut untuk berjumpa Doktor? Namun, pimpinan tangan Ibu menenangkan segalanya. Sama seperti sekarang. Ibu kita seperti anak kecil yang ketakutan, percayalah yang dia amat memerlukan penenang jiwa iaitu kita anaknya.

Akhir kata, janganlah kita jadi anak yang tidak mengenang jasa. Di saat kita dalam kesusahan, Ibu antara yang pertama menghulurkan tangan. Setiap kali kita rasa mahu marah kepada Ibu, fikirkan apa yang telah kita sumbangkan kepadanya? Adakah sama dengan yang pernah kita terima? Jika tidak, lebih baik diam sahaja dari berkata – kata. Kerana tanggungjawab kita tidak akan setara. Betapa banyak pun emas permata dalam dunia, kita tidak mampu memberi Ibu nyawa.

Sekian nukilan hati saya mengenai Ibu. Semoga dapat membuka mata dan minda.

Kongsikan penulisan ini untuk tatapan lebih ramai orang lagi dan sebagai tanda anda menyayangi Ibu anda

Jika Ibumu sudah tiada, panjatkan doa dan bersedekahlah melalui manfaat yang pernah diberikannya dan atas namanya. Semoga ini dapat membantunya di akhirat kelak.

Kredit : Akhtar Syamir

Published by
Kim