Pengetahuan mengenai pengurusan kewangan rumah tangga perlu diberi penekanan lebih mendalam untuk pasangan muda yang mahu mendirikan rumah tangga. Ketahui 8 langkah penting dalam merancang kewangan anda dan pasangan di awal perkahwinan.
DUDUK DAN BINCANG BERSAMA
Sebelum memulakan apa-apa langkah, adalah terbaik jika anda dan pasangan meluangkan masa bersama berbincang secara serius tentang status dan perancangan kewangan anda. Pada masa ini, anda perlu berterus terang tentang tanggungan dan hutang yang masih berbaki jika ada, supaya anda dan pasangan faham dan sedar tentang had perbelanjaan bulanan anda supaya tidak terlebih belanja.
CARA MENYIMPAN
Ada tiga cara yang utama untuk pasangan menyimpan. Pertama: Menyimpan melalui akaun individu. Kedua: akaun individu dan bersama. Ketiga: Akaun bersama. Fikir baik-baik dan buat keputusan. Ambil kira tentang tabiat menyimpan pasangan anda. Jika pasangan anda atau anda sendiri seorang yang boros, ada baiknya jika anda tidak membuat akaun bersama. Jangan ambil hati dengan apa-apa keputusan yang dibuat dan tegas dalam membuat keputusan. Keputusan ini adalah untuk anda, pasangan dan juga anak-anak anda kelak.
SETKAN MATLAMAT
Tentu anda dan pasangan ada matlamat jangka masa pendek, sederhana dan panjang bukan? Bincang dengan pasangan anda untuk tentukan jalan terbaik untuk anda dan pasangan mencapai matlamat tersebut. Tidak kisahlah apa yang anda dan pasangan hasratkan, yakinlah dan berusahalah ke arah apa yang dicitakan.
‘DUIT SEJUK’
Pastikan anda dan pasangan ada duit kecemasan atau seperti mak-mak selalu cakap, ‘duit sejuk’ untuk saat-saat sukar. RM1000 tidak cukup untuk duit sejuk. Pastikan duit sejuk anda ini mampu untuk menampung kehidupan keluarga anda untuk sekurang-kurangnya selama 3 hingga 6 bulan, termasuk untuk membayar bil-bil penting dan ansuran wajib. Bukan mudah untuk menyimpan, tapi sikit-sikit, lama-lama jadi bukit bukan? Yang penting, cuba sehabis baik untuk tidak menyusahkan ahli keluarga dan sahabat anda walaupun anda tahu mereka sedia membantu di saat kesukaran.
BUAT BELANJAWAN
Bukan negara sahaja perlukan belanjawan, keluarga kecil anda juga perlukan belanjawan. Ambil kira ansuran kereta, ansuran rumah, barangan runcit, bil internet, bil telefon, yuran bulanan keahlian gym, simpanan dan lain-lain yang perlu. Bayar apa yang wajib dan barulah anda boleh rencanakan hala tuju lebihan wang anda. Tidak mengapa jika sekali-sekala anda mahu splurge untuk diri anda dan keluarga. Cuma, janganlah sehingga anda tiada wang menjelang tengah bulan.
BAYAR BIL
Penting! Pastikan anda bayar bil tepat pada masanya. Tidak apa walaupun anda hanya kaya raya sekejap selepas mendapat wang gaji. Yang penting, anda tiada tunggakan. Duit kereta? Bil internet? Agihkan tugasan supaya proses pembayaran bil boleh dibuat dengan lebih efisien. Jika anda lebih tech savvy, buat akaun ‘online’ supaya anda boleh mendapat status terkini bayaran bulanan anda untuk bil elektrik dan bil internet anda.
DAPATKAN INSURANS
Malang tidak berbau. Adalah lebih baik jika anda dan pasangan mempunyai insurans nyawa. Jika anda dan pasangan mempunyai kenderaan sendiri, updateinsurans kenderaan anda berdua untuk pemandu kedua juga.
BUAT WASIAT
Membuat wasiat bukanlah perkara yang remeh. Untuk mengelakkan masalah di kemudian hari, pastikan anda dan pasangan membuat wasiat. Hal ini penting lebih-lebih lagi jika keluarga anda semakin membesar.