Menurut John Bock, ahli nutrisi dan ahli diet di Pusat Terapi Gizi Terpadu di Southern New Jersey, semua orang berusaha mencari jalan yang paling mudah untuk melakukan program diet. Masalahnya, tidak ada makanan yang betul-betul berhasil dan tidak ada diet yang sesuai untuk perubahan gaya hidup jangka panjang.
Jika anda terutamanya bakal pengantin yang berhasrat untuk menurunkan berat badan dan tampil kurus di hari perkahwinan, pastikan anda lakukan rutin diet sejak dari awal dan bukannya di saat-saat akhir. Paling penting, anda hendaklah melakukan program diet yang tepat agar hasilnya tidak sia-sia.
Terdapat 10 jenis diet yang sering dilakukan namun tidak memberikan hasil yang baik untuk jangka masa yang panjang. Sewajarnya, anda elak lakukannya sama sekali agar ia tidak memudaratkan kesihatan.
1. DIET SUP KUBIS
Kaedah yang digunakan:
Ia adalah diet ekstrem yang boleh menurunkan berat badan secara drastik dengan hanya mengambil sup kubis selama 7 hari. Dengan menikmati semangkuk sup kubis bersama pilihan makanan rendah kalori, ia boleh mengurangkan berat badan sebanyak 4.5kg.
Mengapa tidak berhasil:
Diet ini tidak disarankan kerana ia boleh menghilangkan pelbagai nutrisi, selain mengalami kekurangan vitamin dan mineral dalam tubuh badan. Ia juga boleh merosakkan keindahan rambut, kuku dan kulit. Selain itu, badan tidak akan mendapat apa-apa kalori, bahkan perut anda mudah masuk angin kerana diet yang sangat ketat dan mengganggu sistem pencernaan.
2. DIET HCG
Kaedah yang digunakan:
Diet ini dilakukan secara intensif selama 40 hari dengan mengambil makanan yang mengandungi 500 kalori, terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan dua kali makan bersama suntikan HCG. Teori ini menyebabkan seseorang akan mengalami rasa mual sekali gus hilang selera makan.
Mengapa tidak berhasil:
Ini adalah teori diet yang mengarut untuk menurunkan berat badan. Diet 500 kalori dianggap tidak elok kerana sangat rendah kalori dan tidak akan memenuhi keperluan badan. Malah, tidak ada bukti yang menunjukkan suntikan hormon ini akan membantu menurunkan berat badan.
3. DIET AIR
Kaedah yang digunakan:
Sepanjang hari, anda perlu minum air sebanyak 64 auns untuk memberikan tenaga pada badan. Malah, kita memerlukan 12 kalori pada setiap liter air. Jadi, seseorang yang melakukan diet air akan membakar kalori secara semula jadi.
Mengapa tidak berhasil:
Secara teorinya, diet ini tidak masuk akal. Tidak dinafikan dengan minum air yang banyak setiap hari dapat memberikan gaya hidup yang sihat. Namun, tidak semua dapat mengikuti diet ini terutamanya untuk pesakit jantung, ginjal dan hati kerana ia boleh mengganggu penyimpanan cairan dan ketidakseimbangan elektrolit dalam tubuh badan.
4. DIET COKLAT SUSU
Kaedah yang digunakan:
Diet ini dilakukan dengan cara minum 3 gelas susu coklat sepanjang hari dengan pola pemakanan yang sihat. Gabungan kalsium, vitamin D, protein, karbohidrat dan senaman membantu seseorang tanpa perlu melakukan diet lain. Selain itu, kombinasi protein dan karbohidrat akan membantu metabolisme badan untuk membakar lemak.
Mengapa tidak berhasil:
Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa vitamin D atau kalsium akan menyebabkan penurunan berat badan. Protein dan karbohidrat yang terdapat dalam makanan pula digunakan untuk membantu badan selepas 30 minit bersenam.
5. DIET RENDAH KARBOHIDRAT
Kaedah yang digunakan:
Tujuan diet ini adalah dengan memaksa badan menggunakan lemak sendiri sebagai sumber tenaga utama. Badan juga tidak banyak mengambil karbohidrat sebaliknya digantikan dengan makanan yang kaya protein.
Mengapa tidak berhasil:
Beberapa orang beranggapan, sekeping daging lebih baik daripada sekeping roti. Sebenarnya, pengambilan karbohidrat mestilah sesuai dengan keperluan tubuh badan seseorang. Bagi wanita hamil, remaja dan pesakit diabetes, berhati-hati dengan diet ini. Penurunan karbohidrat akan merendahkan kadar insulin, selain boleh mengakibatkan nafas berbau, kelelahan dan rasa mual. The American Dietetic Association menyarankan pengambilan 55-60% kalori daripada karbohidrat.
6. DIET PALEO
Kaedah yang digunakan:
Program ini dibuat berdasarkan diet kuno yang mengambil makanan seperti sayur-sayuran, kacang-kacangan, buah-buahan dan daging. Anggapan mereka bahawa masyarakat pra sejarah tidak mengalami penyakit ‘moden’ kerana kurang kalori dalam makanan.
Mengapa tidak berhasil:
Secara umumnya, badan mengehadkan pengambilan makanan sehingga kekurangan susu, bijian dan kacang-kacangan yang merupakan sumber nutrisi penting untuk kesihatan badan.
7. DIET 17 HARI
Kaedah yang digunakan:
Diet ini mengubah pola makan setiap 17 hari sebelum badan dapat menerima kebiasaan makanan yang diambil dalam menjaga metabolisme. Ia dimulakan dengan mengambil makanan rendah kalori, kemudian berubah kepada 1500 kalori per hari dan tahap ketiga makan sesuka hati pada hujung minggu.
Mengapa tidak berhasil:
Usah keliru dengan idea yang tidak makan pada hari biasa, sebaliknya makan apa sahaja pada hujung minggu. Malah, tidak ada bukti yang diet ini akan mempercepatkan metabolisme badan. Jangan manjakan diri anda pada hujung minggu dan tidak salah untuk anda mengambil sedikit makanan yang disukai setiap hari asalkan dalam hidangan yang kecil.
8. DIET HALELUYA
Kaedah yang digunakan:
Ia merupakan diet di mana pengamalnya mengambil 85% sayur-sayuran mentah dan 15% dari makanan yang dimasak. Sayur-sayuran yang dimasak dalam bentuk kukus atau rebus, malah ada juga yang memasukkan sayuran ke dalam masakan.
Mengapa tidak berhasil:
Cara ini tidak sesuai bagi anda yang bukan penggemar diet vegetarian. Kebanyakan pengamal diet ini hendaklah dipantau oleh pegawai kesihatan kerana ia boleh menyebabkan anda menjadi anemia. Mengambil sayuran mentah bukan sahaja memberi kesan kepada sistem pencernaan, malah tidak ada bukti yang menunjukkan sayuran mentah sangat efektif daripada sayuran yang dimasak.
9. DIET MENGUNYAH
Kaedah yang digunakan:
Diet ini mengesyorkan pengamalnya untuk mengunyah makanan sebanyak 80 kali dan kemudian mengeluarkan semula makanan tersebut. Dengan teori ini, badan dikatakan akan menyerap lebih banyak kalori namun masih dapat menikmati rasa makanan.
Mengapa tidak berhasil:
Ia boleh dikatakan bulimia, gangguan psikologi dan bentuk kebiasaan makan yang tidak teratur. Mengunyah makanan terlalu lama menyebabkan keengganan untuk menelan makanan. Kesannya, ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan nutrisi kerana tidak ada penyerapan makanan yang diperlukan.
10. DIET MAKANAN BAYI
Kaedah yang digunakan:
Teori diet ini menggantikan makanan yang biasa diambil kepada ukuran makanan bayi atau pengambilan makanan bayi. Contohnya, makanan yang dikisar, bubur dan snek bayi. Melalui pengambilan makanan bayi, ia membantu untuk mengelak anda makan terlalu banyak sehinggakan perut ras kenyang dan makan dalam jumlah yang kecil.
Mengapa tidak berhasil:
Makanan bayi mungkin boleh menurunkan berat badan dengan cepat tetapi makanan bayi tidak mampu memenuhi keperluan serat, protein, karbohidrat dan kalsium pada tubuh badan orang dewasa. Walaupun cara ini tidak berbahaya pada masa akan datang tetapi kesannya boleh mengakibatkan gangguan pada otot tulang.