Merancang majlis perkahwinan yang sempurna tidak semestinya memerlukan perbelanjaan dan bajet yang tinggi untuk direalisasikan. Oleh yang demikian, pentingnya penyediaan anggaran perbelanjaan agar majlis perkahwinan anda tidak menyebabkan terlalu banyak pembaziran wang pada perkara yang tidak perlu.
Bagi anda yang mempunyai bajet terhad, berikut merupakan perkara yang boleh dielakkan agar anda boleh menjimatkan kos perkahwinan. Ini lima perkara yang perlu dielakkan bagi agar anda boleh save bajet.
Kehadiran pengapit yang ramai mampu menyerikan majlis perkahwinan. Ia cukup mengujakan apabila mempelai diapit oleh teman-teman yang memakai busana berona sedondon. Namun, ia akan melibatkan kos yang tinggi kerana anda perlu menyediakan pakaian mereka, bunga tangan dan pelbagai aksesori untuk kelihatan sempurna sekali gus untuk menambah seri pada majlis anda.
Ia akan melibatkan sejumlah wang besar untuk direalisasikan. Sebaiknya, cukup hanya menggunakan dua orang pengapit iaitu seorang untuk pengapit pengantin perempuan dan seorang lagi untuk pengantin lelaki. Dengan cara ini bajet perkahwinan boleh dijimatkan.
Rata-rata pengantin menempah kek bertingkat untuk upacara memotong kek kerana mementingkan kecantikan momen itu di dalam foto dan video. Tambahan pula, kek bertingkat ini kosnya agak tinggi. Sekiranya anda masih ingin kek bertingkat, anda boleh berjimat dengan cara menempah kek yang disertakan dengan replika atau dummy cake
di bahagian atas manakala kek sebenar di bahagian bawah.Ramai pengantin masa kini menempah bunting sebagai petunjuk jalan atau digantung di depan rumah. Tanpa disedari, ia memakan sejumlah kos yang agak tinggi. Untuk menjimatkan kos, anda boleh membuatnya sendiri atau menempah dengan kadar yang tidak terlalu banyak. Begitu juga dengan photo booth yang turut memakan kos belanja yang agak besar untuk merealisasikannya.
Kerap berlaku di mana kita terdorong membeli sesuatu bekas yang mahal atau menempah beg kertas mengikut cita rasa dan tema majlis walhal akhirnya ia akan dibuang juga. Untuk menjimatkan kos, seeloknya anda beli beg kertas yang sedia ada yang menepati keperluan. Anda juga boleh mengunakan kreativiti anda untuk menyediakan sendiri cenderahati perkahwinan untuk menjimatkan kos perkahwinan.
Kini terlalu banyak pakej fotografi dan videografi yang ditawarkan mampu menelan belanja beribu ringgit. Tidak salah jika anda ingin mengabadikan momen-momen indah anda yang hanya dialami sekali seumur hidup. Ada cara yang lebih jimat iaitu anda mungkin boleh meminta bantuan ahli keluarga terdekat anda atau rakan anda untuk merakamkan momen bahagia anda. Anda juga boleh mendapatkan pakej fotografi tanpa album dan cara ini dapat menjimatkan kos perbelanjaan.