Merancang majlis kahwin yang sempurna tidak semestinya memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk direalisasikan. Oleh yang demikian, pentingnya penyediaan anggaran perbelanjaan supaya majlis perkahwinan anda tidak membazir pada sesuatu yang tidak perlu.
Bagi anda yang mempunyai bajet terhad, berikut merupakan perkara-perkara yang perlu dielakkan supaya anda boleh save bajet.
Rata-rata pengantin akan menempah kek kahwin bertingkat untuk upacara memotong kek kerana ingin mementingkan kecantikan momen itu di dalam foto dan video. Anda sedia maklum, kek bertingkat ini kosnya agak mahal. Sekiranya anda masih inginkan kek bertingkat, tempah sahaja kek yang disertakan dengan replika atau dummy cake di bahagian atas manakala kek sebenar di bahagian bawah. Pasti harganya tidak ‘mencekik leher’.
Kehadiran pengapit yang ramai sudah pasti mampu menyerikan majlis perkahwinan. Ia cukup mengujakan apabila pengantin diapit oleh teman-teman yang memakai baju warna sedondon Namun, penggunaan pengapit yang ramai melibatkan kos tinggi kerana anda perlu menyediakan pakaian, bunga tangan dan pelbagai aksesori untuk menambahkan seri majlis.
Kini, terlalu banyak pakej fotografi dan videografi yang ditawarkan menelan belanja beribu ringgit. Tidak salah jika anda ingin mengabadikan momen-momen indah sekali seumur hidup. Namun ada cara yang lebih jimat boleh anda gunakan. Anda boleh minta bantuan ahli keluarga terdekat atau rakan anda untuk merakam dan mengambil momen bahagia anda itu dengan kos upah yang lebih murah. Tidak pun anda boleh mendapatkan pakej fotografi tanpa album untuk menjimatkan kos belanja.
Ramai pengantin masa kini menempah bunting sebagai petunjuk jalan atau digantung di depan rumah. Tanpa anda sedar, ia memakan sejumlah kos yang agak tinggi. Jadi untuk menjimatkan kos, anda boleh membuatnya sendiri atau menempah dengan kadar yang tidak terlalu banyak. Begitu juga dengan ruangan photo booth yang turut memerlukan belanja banyak untuk merealisasikannya.
Kerap berlaku di mana kita sering terdorong untuk membeli cenderahati tetamu yang mahal-mahal atau menempah beg kertas mengikut cita rasa dan tema majlis walhal akhirnya ia akan dibuang juga. Untuk menjimatkan kos, seeloknya anda beli beg kertas yang sedia ada yang menepati keperluan. Atau gunakan kreativiti anda untuk menyediakan sendiri cenderahati perkahwinan dengan kos yang menjimatkan.