Sukar sebenarnya berhadapan dengan situasi suami yang kedekut dan berkira-kira. Serba serbi yang dikehendaki dicatu satu-persatu hingga membuatkan isteri tertekan. Mana isteri tidak berkecil hati kalau suami tidak dapat membantu keperluan keluarga.
Kadangkala keperluan yang dikehendaki itu bukanlah untuk diri isteri semata-mata sebaliknya untuk keperluan seisi keluarga. Pasti ada segelintir suami yang pernah melontarkan pertanyaan ini kepada isteri, “Eh, kan hari tu dah beli kenapa nak beli lagi? Cepatnya habis? Macam mana awak pakai? Cubalah berjimat, jangan asyik nak boros je.”
Keadaan begini sering terjadi antara anda dan pasangan sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam hubungan. Hilang mood isteri apabila suami berkira dalam hal perbelanjaan rumah tangga. Perlu diketahui bahawa di antara hak isteri yang paling utama ialah suami memberikannya nafkah. Menafkahi isteri merupakan bentuk ibadah paling besar yang boleh dilakukan oleh seorang hamba-Nya.
Nafkah itu sendiri merangkumi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan segala yang diperlukan oleh isteri, baik jasmaninya dan rohaninya. Namun masih kedengaran keluhan isteri kerana suami dianggap kurang dalam menafkahinya.
Allah SWT berfirman bahawa lelakilah yang berkewajipan memenuhi keperluan wanita. Itu catatan pertama!
Oleh sebab itu, lelaki juga memiliki hak kepemimpinan dan keutamaan dibandingkan wanita kerana lelaki jugalah yang memberi nafkah kepada mereka dalam bentuk mahar atau wang belanja.
Allah SWT berfirman:
“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”
Banyak dalil daripada kitab, sunah yang sahih dan ulama yang menyebut tentang kewajipan pemberian nafkah dan tanggungjawab itu terletak di bahu lelaki yang bergelar suami atau ayah.
Dalam hadis Muawiyyah in Hidah disebutkan bahawa dia berkata: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah: “Apa hak seorang isteri terhadap diri suaminya?”
Baginda menjawab: “Hendaknya kamu memberi makan sebagaimana kamu makan, dan memberi pakaian sebagaimana kamu berpakaian, janganlah kamu menjelikkan wajahnya dan jangan kamu memukulnya.” (HR. Abu Dawud & Ibnu Majah)
Hadis ini menjelaskan bahawa memberi makan dan menyediakan pakaian adalah wajib. Kewajiban itu tentu tergantung kemampuan suami.
Namun kerana Rasulullah SAW telah menjadikan itu sebagai hak isteri terhadap suaminya, maka adalah wajib hukumnya, ada ataupun tidak.
Maksudnya, ketika suami tidak mampu memberikan nafkah kepada isterinya, nafkah itu menjadi hutang yang harus ditunaikan pada waktu lain sebagaimana kewajipan-kewajipan lain.