Menjelang hari perkahwinan, pelbagai persiapan perlu dibuat bagi memastikan perjalanan majlis berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Debaran menanti hari untuk disatukan pastinya membuatkan perasaan bakal bercampur baur sekali gus membuatkan hati gundah-gulana.

Namun, semua perkara ini harus diatasi bagi memastikan penampilan dan persiapan diri anda lebih bersedia di majlis perkahwinan tersebut. Anda perlu tenangkan diri dan hindari stres agar penampilan anda terlihat sempurna. Jangan biarkan stres membelenggu hidup anda menjelang hari perkahwinan.

Jom kita lihat 7 cara relevan untuk menenagkan diri dan mengatasi stres menjelang hari bahagia!

1. BERHENTI BERFIKIR PERKARA SERIUS

Sibuk dengan kerja dan persediaan majlis sehingga anda berdua tiada masa langsung untuk bercinta. Ditambah pula perselisihan faham kecil membuatkan anda bosan untuk meneruskan niat suci ini. Jangan begitu. Ambil masa untuk bertenang dan luangkan masa bersama pasangan untuk menonton wayang atau hanya berjalan di taman menikmati angin petang. Berhenti seketika daripada berfikir mengenai majlis. Anda dan pasangan perlukan masa untuk diri sendiri juga.

IKLAN

2. TETAPKAN HAD & BATASAN

Diakui majlis perkahwinan bukan sahaja impian indah si anak dara, malah menjadi medan si ibu mencurah idea. Tidak salah jika ayah, kakak, abang, adik, ibu saudara serta sahabat handai memberi pendapat, namun perlu ada had dan batasan. Utamakan apa yang anda inginkan dahulu kerana sememangnya tidak semua keinginan mampu dipenuhi.

3. HARGAI SETIAP DETIK

Walau hanya berkaitan perkara remeh seperti memilih jenis bunga untuk majlis perkahwinan, jadikan ia momen indah kalian berdua. Sentiasa anggap persediaan ini adalah titik mula untuk anda dan dia membina hidup bahagia sepanjang hayat. Anda dan dia sedang berusaha untuk mendirikan mahligai rumah tangga, lalu hentikan keluhan dan hadapinya dengan senyuman.

4. AWAL DAN TERANCANG

Pastikan segala perancangan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Timeline penting agar anda tidak terlepas perkara mustahak dan mengelakkan wujudnya masalah pada saat akhir! Seboleh-bolehnya, semua persediaan serta borang kebenaran untuk berkahwin telah diselesaikan sebulan lebih awal dari tarikh perkawinan anda.

5. BERGANTUNG HARAP

Anda dan pasangan tentu sekali inginkan yang terbaik untuk majlis perkahwinan kalian berdua. Tetapi janganlah sampai semuanya ingin dibuat sendiri. Ada perkara yang perlu anda harapkan bantuan daripada orang lain seperti keluarga dan rakan-rakan. Mereka juga pastinya gembira dapat menyumbang tenaga dan masa untuk majlis anda. Bukan menyerahkan kepercayaan 100 peratus, anda masih lagi perlu memantau agar tidak timbul sebarang masalah kelak.

6. JANGAN TERLALU CEREWET

Semua perkara walaupun berkaitan pemilihan warna tisu menjadi keutamaan buat anda. Aduh, jadi bijak wahai gadis untuk menentukan mana yang penting dan mana yang tidak. Dan elakkan membelanjakan wang hanya untuk perkara remeh. Lebih baik anda gunakaannya sebagai persiapan hari mendatang.

7. BIAR SI DIA ADA DI SISI

Jangan menanggung beban ini berseorangan. Biar anda dan pasangan menyelesaikan segala masalah dan membuat persediaan bersama. Pertimbangkan cadangan masing-masing sementelah ini majlis kalian berdua. Khuatir jika hanya sebelah pihak menjadi pelaksanaan, nanti ada pula yang tidak berpuas hati dan terasa.