Kita mungkin tak senasib dengan mereka yang berjawatan tinggi dan bergaji besar. Tapi jika kita pandai menguruskan kewangan, sudah pasti perjalan wang kita dapat diuruskan dengan baik.
Buat mereka yang baru mendirikan rumah tangga, hadamkan perkongsian Amir Syahir ini yang ajar kita tentang bagaimana nak uruskan kewangan.
7 Cara Ajar Pasangan Korang Menguruskan Kewangan
***************************************************
Tuhan biasanya menemukan seseorang untuk melengkapkan kita. Jika pasangan kita gila modified kereta je manjang, pasangan dia mesti bijak menguruskan kewangan.
Jika pasangan kita gila duk beli baju online, baju dua almari lepastu boleh kata takde baju nak pakai lagi, pasangan dia mesti power kawal kewangan. Simple.
Kalau dua-dua ada kesedaran tu untung lah. Rezeki tu.
Jadi, apa yang kita boleh buat untuk ajar dan bagi kesedaran kepada pasangan kita tentang pengurusan kewangan?
1. Ajar Cipta Matlamat Kewangan
Ads
Pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
Untuk permulaan, bina matlamat paling senang nak capai. Contohnya RM600 dalam sebulan. Jadi, RM20 setiap hari. Bila dah capai apa yang dibuat, ia akan rasa semangat nak menyimpan lebih lagi.
2. Ajar Simpan Sebelum Berbelanja
Ajar si dia untuk simpan sebelum berbelanja. Contohnya gaji RM2000. Simpan siap-siap RM200. Kalau rasa berat, cuba simpan RM100 sebulan.
Jika membelanjakan semua pendapatan terlebih dulu dan ada lebih baru simpan, tu boleh mencipta masalah kewangan yang kronik pada masa akan datang.
Ajar dia gunakan formula ini:
Pendapatan – Simpanan = Belanja.
3. Ajar Supaya Tangguhkan Kehendak
Ads
Jika si dia menggelupur nak IPhone 7, korang banyakkan azan di telinga dia. Korang ingatkan dia tu dah la ada PTPTN tertunggak. Ajar dia supaya ada tabiat delay gratification iaitu menangguhkan kepuasan.
Tangguhkan seketika. Simpan duit dan belilah. Harga pun makin turun. Dah jimat berapa dah.
4. Ajar Supaya Berbelanja Dengan Bijak
Ajar dia buat bajet belanjawan bulanan. Catat segala perbelanjaan. Berbelanja dengan bijak ni boleh dibuat dengan membandingkan harga. Beli masa promosi atau dengan harga borong. Buat senarai barang yang nak dibeli, takde lah korang dua tiga kali ke pasar raya.
5. Ajar Tentang Keperluan vs Kehendak
Ads
Keperluan-keperluan asas hidup iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan.
Kehendak ni macam nak kereta mewah, telefon canggih, iPhone 7, travel luar negara ataupun lepak minum setabak. Ramai pasangan tidak tahu beza antara keperluan dengan kehendak.
6. Ajar Tentang Risiko Kewangan
Risiko kewangan adalah sesuatu yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Bagi kesedaran tentang kepentingan takaful dan risiko pelaburan. Tentang bahaya tunggakan hutang kad kredit. Jadi, tak perlu guna kalau boros.
Kalau dia banyak hutang apa jadi. Terangkan tentang CCRIS. Kalau dia tak bayar hutang apa akibatnya. Apa itu muflis dan kesan muflis.
7. Ajar Tentang Pelaburan Yang Bijak
Ajar dia tentang pelaburan yang senang seperti melabur di ASB dan Tabung Haji disebabkan unit berharga tetap. Jadi, korang tidak akan rugi.
Bila tengok duit makin bertambah dan membiak, keseronokan tu ada. Rasa sayang nak belanja sakan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam sesebuah hubungan, kejujuran amat penting demi menjaga hubungan cinta agar sentiasa utuh dan bertambah erat. Sikap yang tidak telus boleh menyebabkan hubungan menjadi rapuh sekaligus membawa kepada pergaduhan yang boleh menjejaskan hubungan cinta.
Namun, ada beberapa perkara yang perlu anda sembunyikan atau dirahsiakan untuk menjaga hati pasangan. Ini penting untuk tidak menyinggung perasaan pasangan dan menyebabkan kecil hati dari perbuatan tersebut. Jom kita lihat 7 perkara yang perlu dirahsiakan dari si dia!
1. RASA KAGUM
Tidak salah memujinya sekali-sekala namun jangan melampau dan melebih-lebih pula. Ia mungkin dilihat sebagai usaha anda untuk membodeknya dan akan dikhuatiri terdapat udang di sebalik batu. Walaupun dia tahu pujian itu ikhlas, dia mungkin pula berfikir yang kamu sebenarnya tidak mempunyai pendirian sendiri dan mudah bersetuju dengan segala yang dilakukannya. Jangan hingga dia merasakan pendapat anda tidak penting pula!
2. SEBAB ANDA PUTUS DENGAN KEKASIH SEBELUMNYA
Dia tidak suka anda bercerita tentang kekasih yang lepas, walaupun jika ianya perkara buruk. Lelaki memang tidak suka pasangannya terlalu banyak bercerita tentang lelaki lain. Jadi tidak perlu beritahunya mengapa kamu putus dengan kekasih atau kekasih-kekasih terdahulu. Cukup dinyatakan yang anda tidak serasi dengannya.
3. PERANGAI KAWAN BAIK ANDA
Jika anda mahu si dia menghalang anda daripada berkawan dengan kawan baik anda, cara paling mudah adalah dengan menceritakan segala-galanya yang berlaku dalam hidup kawan anda. Anda dan rakan mungkin sekadar berkongsi masalah masing-masing, namun para lelaki secara automatik berfikir yang anda sedang “mengumpat” tentang rakan itu dan apa sahaja yang anda ceritakan akan dipandang negatif.
Cerita tentang kawan yang terbeban dengan terlalu banyak tugasan di tempat kerja mungkin dilihatnya sebagai seorang pemalas. Cerita tentang pergaduhan kecil antara kawan anda dan pasangannya memberi gambaran yang dia suka bergaduh.
Pandangan negatif ini mungkin kerana pasangan anda cemburu dengan kawan baik itu kerana dia orang yang paling rapat dengan anda selain teman lelaki atau suami. Kemudian, mereka akan cuba menghalang anda daripada meneruskan persahabatan atau terlalu rapat dengan alasan bimbang anda akan terikut-ikut perangai negatif ini.
4. RASA RENDAH DIRI ANDA
Anda rasa miliki banyak kekurangan, namun jangan kongsikan segalanya dengan si dia. Selalunya rasa rendah diri itu cuma dirasa oleh kita seorang sahaja, pada orang lain tidak ada apa-apa yang kurangnya. Jika anda tidak henti-henti bercakap tentang kekurangan diri, ini akan merimaskan si pendengar. Mereka juga mungkin berpendapat anda cuba pancing pujian dengan berpura-pura bersedih tentang kekurangan diri.
5. ANDA TIDAK MENYUKAI RAKAN-RAKANNYA
Sekumpulan lelaki yang rapat mempercayai rakan-rakan mereka hingga mati. Malahan kebanyakan mereka lebih cepat mempercayai rakan daripada isteri dalam hal-hal lain selain hal rumahtangga. Ini kerana selalunya pengalaman hidup yang dilalui bersama merupakan punca mereka rapat berkawan.
Jadi pada mereka, rakan-rakan mencerminkan diri mereka sendiri, dan tentunya sifat-sifat yang jelas kelihatan hanya yang baik-baik belaka. Jika anda cuba menegur apa-apa sikap buruk kawan mereka, tidak mustahil anda pula yang akan dicop sebagai seseorang yang suka mencari kesalahan orang lain walaupun sekecil zarah.
6. PERANGAI SEBENAR ANDA
Bukannya mahu anda membuktikan seolah-olah anda tiada kekurangan, namun seboleh-bolehnya rahsiakan perkara-perkara peribadi yang tidak perlu dia tahu. Contohnya bila anda cukur bulu ketiak dan bulu kaki, sikap anda yang suka membandingkan saiz buah dada dengan wanita lain.
Selain itu, perkara-perkara yang paling liat anda lakukan seperti tidak suka cuci pinggan sehingga sinki penuh atau tidak suka lipat kain baju, mahupun berapa lama anda bersolek atau suka menyendiri dalam kamar mandi. Biar dia tahu tentang perkara-perkara baik tentang diri kamu dahulu sebelum dia mengetahui sendiri ciri-ciri rahsia kamu suatu hari nanti.
7. TIDAK SUKA HADIAH PEMBERIANNYA
Nasihat ini bukan sahaja untuk pemberian si dia, malah bagi sesiapa sahaja yang berikan anda hadiah. Buruk perangai betul apabila seseorang telah bersusah-payah memikirkan apa hadiah yang paling sesuai untuk anda dan membelanjkan sejumlah duit untuk membelinya, kemudian anda dengan mudah mencemuhnya.
Cuba fikirkan perasaan pembeli, lebih-lebih lagi jika anda tahu mereka sebenarnya tidak berkemampuan untuk beli barang yang mahal-mahal namun diusahakannya juga demi diri anda.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Pertunangan adalah janji bagi kedua belah pihak iaitu bakal suami dan isteri dalam mengikat tali perkahwinan dan selalunya ia melibatkan waktu-waktu yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Antara persoalan yang selalu timbul di dalam pertunangan ini, adakah dibenarkan syarak untuk mengiklankan atau dihebahkan pertunangan tersebut sepertimana diiklankan majlis perkahwinan atau pun tidak.
Sebahagian ulama’ melihat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah suatu yang digalakkan. Ini kerana terdapat sebuah hadis daripada Ummu Salamah R.Anha yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة
Maksudnya:Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.
Riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus (1/1/27)
Disebabkan itu, sebahagian al-Malikiyyah berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Ini sepertimana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar al-Khalil yang mana al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:
Maksudnya: Adapun al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan diantara orang yang bertunang dan ahli yang ditunangnya.
Adapun sebahagian pendapat yang lain menyatakan bahawa tiada masalah iaitu dibolehkan untuk mengiklan serta menghebahkan perihal pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Hadis Ummu Salamah R.Anha yang disebutkan sebelum ini, di nilai dhaif (lemah) oleh sebahagian muhaddis.
Ini kerana terdapat perawi yang majhul (tidak dikenali) di dalam sanad hadis tersebut dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah juga tidak memberikan apa-apa komentar di dalam Mukhtasarnya (ringkasannya) terhadap Musnad al-Firdaus tersebut.
Al-Syeikh ‘Atiyyah al-Saqr Rahimahullah (wafat 1427H), mantan Ketua Lajnah al-Ifta’ al-Azhar di dalam satu soal jawab agama yang dikendalikan oleh beliau juga berpendapat bahawa tidak mengapa untuk menghebahkan pertunangan dan menurut beliau tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian.
Menurut al-Syeikh lagi, jika sahih sekalipun, yang dimaksudkan melaluinya adalah larangan untuk berlebih-lebihan dalam menghebahkan pertunangan.
Kesimpulan
Kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa perlunya agar pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan atas pinangan yang mana ianya jelas dilarang di dalam Islam.
Dengan mengiklankan pertunangan, sedikit sebanyak boleh mengelakkan dari berlakunya perkara tersebut. Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya:Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan.
Riwayat Muslim (1412)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah (wafat 676H) mengatakan bahawa hadis di atas secara zahirnya menunjukkan haramnya meminang atas pinangan orang lain sekiranya pinangan itu telah diterima dan tidak mendapat keizinan dari orang yang meminang tersebut.
Jika berlaku perkahwinan, maka sah perkahwinan tersebut namun perbuatan meminang atas pinangan orang lain itu adalah berdosa.
Tiada masalah untuk seseorang itu menghebahkan pertunagannya. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkannya serta menyambutnya seolah-olah seperti berlangsungnya majlis perkahwinan kerana pertunangan itu adalah perjanjian menuju perkahwinan dan boleh sahaja sesuatu pertunangan itu dibatalkan.
Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan itu adalah lebih dituntut dan boleh juga sekiranya seseorang itu untuk merahsiakan pertunangannya untuk aman dari berlakunya hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbulnya fitnah. Wallahu a’lam.
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berkahwin juga membawa anda dan pasangan harus berkongsi tanggungjawab bersama dalam soal kewangan. Dengan rasa cinta di dada, mungkin segalanya anda terima.
Namun, tidak salah jika mengambil langkah berjaga-jaga untuk masa depan bersama yang lebih bahagia dan bebas beban kewangan.
Saranan kami, sebelum anda mengikat tali perkahwinan, tanyakan dahulu pada pasangan 10 soalan yang rasanya mampu mengubah perspektif kewangan anda nanti. Anda juga boleh merancang kewangan yang stabil untuk jangka masa panjang.
Yang penting, anda berdua harus bersikap terbuka ya!
1. Ada membuat pinjaman?
Jika ada, berapa banyak? Berapa lama tempoh pinjaman? Dengan mengenal pasti beban pinjaman yang anda berdua ada, anda boleh merancang pelan kewangan yang lebih efektif. Pinjaman ini termasuklah pinjaman peribadi, kereta, rumah, PTPTN dan sebagainya. Mulakan proses perbincangan dengan mengenal pasti cara terbaik untuk melangsaikan semua pinjaman, sama ada berkongsi bayar atau membayar sendiri.
2. Adakah sebarang pelaburan?
Jika ada, bagaimana cara anda berdua mengendalikannya apabila sudah berkahwin kelak. Adakah akan dijadikan pelaburan bersama dan apakah prosedur yang harus dilakukan? Bagaimana pula dengan keuntungan pelaburan? Walaupun dalam Islam, ia merupakan harta sepencarian, namun tidak salah jika perkara ini ditentukan terlebih dahulu supaya tidak ada ungkit mengungkit di kemudian hari. Apatah lagi, jika anda dan pasangan mempunyai sebarang masalah nanti.
3. Di mana kita nak tinggal?
Soalan ini nampak ringkas tetapi sangat penting untuk merancang kewangan anda. Jika anda sepakat untuk tinggal sendiri dengan pasangan, mungkin bajet bulanan tidak terlalu tinggi dan boleh dikongsi bersama. Namun, jika anda berdua akan tinggal bersama keluarga, berapakah sumbangan kewangan yang akan dikeluarkan bagi membantu keluarga seperti bayaran bil, belian barangan runcit dan sebagainya. Jika pasangan anda merupakan penyumbang tunggal, ini akan lebih membebankan dan perlu diberi perhatian serius. Secara amnya, jumlah bajet bulanan isi rumah yang perlu anda berdua keluarkan tidak harus melebihi 25 peratus daripada pendapatan bulanan.
4. Bagaimana cara kita kendalikan duit?
Anda dan pasangan perlu faham maksud ‘berkongsi’ dari segi jumlah pendapatan atau pembayaran bil yang ada. Cara yang terbaik adalah mewujudkan akaun bersama (walaupun jarang dipraktikkan di negara kita). Alternatif lain pula ialah mempunyai tiga akaun iaitu satu akaun bersama dan dua akaun individu. Akaun bersama untuk simpanan dan pembayaran bil/hutang yang dikongsi. Akaun individu pula tertakluk kepada hak peribadi masing-masing.
5. Bagaimana pula dengan insuran?
Semua insuran yang anda dan pasangan punyai seperti insuran nyawa, kereta, rumah dan apa sahaja perlu dikaji semula dan digabungkan untuk memastikan anda berdua mendapat manfaat dan faedah yang diperlukan untuk kehidupan selepas berkahwin.
6. Bagaimana pula dengan harta?
Walaupun Islam menetapkan akan harta sepencarian, tidak salah jika perkara ini ditetapkan sebelum berkahwin untuk kepentingan bersama.
7. Adakah bajet tertentu?
Mempunyai bajet bagi setiap perkara adalah satu perkara yang sangat bagus untuk diamalkan. Perancangan bajet yang baik terutamanya untuk majlis perkahwinan mampu mengelakkan anda dan pasangan daripada beban hutang selepas berkahwin. Selain itu, ia juga membantu anda untuk berjimat dan menyimpan untuk masa depan bersama.
8. Bagaimana pula selepas bersara?
Walaupun perkara ini masih jauh tetapi tidak salah sekiranya ditimbulkan dalam perancangan kewangan ini. Anda dan pasangan perlu merancang sama ada masih mahu bekerja atau menikmati sahaja persaraan tersebut. Ini membantu untuk anda menetapkan jumlah simpanan yang perlu ada sehingga saat anda bersara untuk menampung kehidupan, bil kesihatan dan sebagainya.
9. Status cukai?
Selalunya selepas berkahwin, akaun cukai anda dan pasangan akan digabungkan. Namun, tetapkan siapa yang perlu membayar cukai supaya anda dan pasangan mempunyai kelebihan dalam hal ini.
10. Perlukah perjanjian sebelum kahwin?
Perjanjian ini tidak diamalkan oleh pasangan Melayu. Perjanjian ini selalunya dilakukan oleh pasangan Barat untuk mengelakkan bebanan hutang kepada mana-mana pihak andai satu pihak mempunyai beban hutang/liabiliti melebihi pihak yang satu lagi terutamanya bagi pasangan yang kaya. Namun, perjanjian ini boleh dijadikan garis panduan untuk masa depan kewangan yang lebih sihat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!