Dengan harga rumah yang semakin melonjak naik dengan kos sara hidup yang juga semakin meningkat, membantutkan hasrat ramai dalam kalangan kita untuk memiliki rumah sendiri. Bagi golongan yang bergaji kecil dan tambahan lagi baru memulakan kehidupan berdua sudah pasti menginginkan rumah sendiri yang mampu memberikan lebih privasi dan keselesaan, disamping kehidupan yang lebih terjamin.
Mari lihat perkongsian saudara Amir Syahir ini di laman facebooknya mengenai tip memiliki rumah sendiri ini. Semoga bermanfaat buat semua.
Melalui Belanjawan 2019, Bank Negara akan menyediakan dana RM1 bilion untuk membiayai pembelian rumah pertama bagi golongan berpendapatan bulanan tidak lebih RM2,300.
Dana ini tersedia di Ambank, CIMB Bank, Maybank, RHB bank dan Bank Simpanan Nasional melalui kadar pembiayaan terkurang serendah 3.5 peratus.
Dana tersebut akan disediakan bermula 1 Januari tahun depan untuk pembelian rumah mampu milik berharga sehingga RM150,000.
***
Best woo dapat rate 3.5% tu. Ansuran bulanan murah. Kerajaan dah tolong kau, kau pulak kena tolong diri sendiri. Kena jaga penyata gaji elok-elok supaya mudah lulus pembiayaan perumahan.
Nak beli rumah kena ada kewangan yang kukuh kerana komitmen ansuran bulanan sehingga 30-35 tahun. Jadi, kau kena buktikan kepada pihak bank kau mampu untuk bayar ansuran bulanan setiap bulan.
1. Jangan bazirkan duit pada perkara yang tidak penting. Kumpul duit untuk beli rumah. Kalau subsale, kau kena ada sekurang-kurangnya 10% – 15% dari harga rumah.
2. Jangan beli kereta lebih 20% daripada pendapatan. Ansuran bulanan kereta yang tinggi akan merugikan kelayakan pembiayaan perumahan kau. DSR barai nanti.
3. Jangan buat pembiayaan peribadi. Kau akan dilabel individu berisiko nanti.
4. Jangan biarkan laporan CCRIS rosak. Jaga CCRIS sebaik-baiknya. Kau ada hutang bayarlah tepat pada masanya dengan jumlah yang cukup. Ramai tak lepas beli rumah sebab ada CCRIS PTPTN.
5. Jangan buat ASB Financing di tahun yang sama dengan tahun ingin membeli rumah. ASBF masuk dalam CCRIS juga. Masuk perkiraan DSR. Lepas dapat dividen baru boleh dikira sebagai pendapatan.
6. Jangan tak ambil tahu mengenai NDI. Net Disposable Income (NDI) ni kos sara hidup kau untuk makan minum dan meneruskan kehidupan. Ada bank akan tolak RM1000 sebagai NDI. Jadi simpanan yang padu amatlah penting.
7. Jangan tak sediakan dokumen penting dan dokumen sokongan yang lengkap. Dah cukup deposit rumah, terus sediakan dokumen yang diperlukan untuk memohon pembiayaan perumahan.
8. Jangan mohon pembiayaan perumahan lebih daripada kelayakan. Semak dulu kelayakan pembiayaan perumahan kau sebelum membeli rumah. Rugi masa dan tenaga kau je nanti.
9. Jangan bayar deposit rumah kepada akaun peribadi ejen hartanah. Bayar kepada akaun agensi mereka. Tanya dulu sama ada deposit rumah akan dipulangkan balik atau tidak jika pembiayaan perumahan kau ditolak oleh pihak bank.
10. Jangan guna kad kredit sehingga limit. DSR untuk kad kredit biasanya dikira berdasarkan 5% baki terkini penggunaan kad kredit. Seelok-eloknya bayar dulu tunggakan hutang kad kredit baru mohon pembiayaan perumahan.
Yang penting kau jangan memilih nak rumah atas tanah saja, nak rumah yang baru je, yang ada kolam renang bagai. Jangan nak berharap harga rumah akan jatuh la ye.
Baiki kewangan kau terlebih dahulu sebelum membeli hartanah. Bank nak berurusan dengan orang yang betul-betul berkemampuan sahaja.
Masa muda ni jangan duk sibuk kumpul fridge magnet negara yang kau travel tu. Kawan kau yang lain duk ikat perut kumpul duit deposit rumah. Kau pula dah masuk umur 30 baru nak simpan duit untuk beli rumah. Lepas tu bising rumah semua dah mahal. Kah!
Belanjawan dah disediakan jadi mari lah kita berusaha yang terbaik untuk mendapatkan kehidupan yang baik untuk masa hadapan. Jangan hanya membuang masa muda anda. Usia dan masa tidak akan berulang kembali.
Selamat beramal dan mencuba!
Sumber : Pakar Hartanah Amir Syahir