Gaya Solekan Dan Dandanan Minimalis Untuk Majlis Resepsi

Share

Cetuskan solekan dan dandanan menawan di hari bahagia dengan sentuhan minimalis dan moden. Magis solekan ini mampu membawa keserian berpanjangan buat ratu sehari. Hadirkan gaya ringkas namun anda tetap tampil anggun di majlis meraikan cinta.

  1. Gincu berona merah nyata menyerlahkan hasil solekan ini. Tambah mempesona apabila dipadankan dengan sapuan rona keemasan pada kelopak mata yang memberi kesan anggun dan elegan.

TIP: Calitan gincu berona nude juga sesuai buat solekan ini. Oleskan sedikit pengilat bibir agar tampak lebih mungil.

  1. Ringkas namun tetap menawan! Gaya rambut ini menghasilkan kesan romantis buat ratu sehari. Alunan dandanan yang gemeresik tampak seri dengan suntikan kuntuman ros berona pastel.

TIP: Anda masih tampak cantik jika memadankan dengan layah ringkas dan minimalis. Paling penting, jangan memakai tiara buat gaya dandanan ini.

 

  1. Biaskan aura seri semula jadi anda dengan solekan segar ini! Sapuan pembayang mata berona tanah menjadikan solekan lebih natural dan bersahaja. Tampil seimbang dengan kening yang sedikit gelap.

TIP: Layangkan pemerah pipi berona merah jambu lembut agar solekan tampak lebih manis. Letakkan penggaris mata berona hitam agar solekan mata kelihatan lebih galak.

  1. Gaya dandanan tocang ini pasti membuatkan penampilan ratu sehari lebih sempurna. Gaya sedikit longgar diberikan pada dandanan ini untuk memberi kesan yang lebih moden. Kehadiran bunga kecil melengkapkan dandanan anggun ini.

TIP: Untuk kesan yang lebih memukau, padankan headpiece yang ringkas dan minimalis bersama subang dan rantai bagi melengkapkan keseluruhan gaya.

 

SOLEKAN & DANDANAN : VEE MUHAMAD MODEL : TANYA BUSANA: COSRY

Published by
Putri Adila