Ibu mana yang tidak sedih apabila anak lelaki kesayangan menjadi suami dan ketua untuk keluarganya sendiri. Selama ini itulah anak lelaki yang dimanja, yang memanjakan dan banyak meluangkan masa dengan si ibu. Namun, mereka sendiri perlu membina sebuah keluarga, keluar dari kepompong kasih sayang ibu.
Tapi itu tak bermakna tugas seorang anak lelaki terhadap ibu dan ayahnya cukup setakat itu. Percaya atau tidak, anda perlu menjaga hati ibu agar tidak terluka atau mungkin mencemburui kasih sayang anda yang telah beralih sedikit kepada isteri.
Contohnya, kalau anda pilih BARANG NI untuk isteri, belikanlah juga untuk ibu. Kan adil tu!
PANDANGAN KAUNSELOR
Hidup berumah tangga hakikatnya penuh dengan cabaran dan dugaan. Mustahil kalau sesebuah rumah tangga itu tidak diuji. Ujian, cabaran dan dugaan, itulah sebenarnya mengajar kita untuk menjadi seorang yang matang.
Apatah lagi apabila kita membina kehidupan dengan insan yang hanya dikenali dalam beberapa tahun atau mungkin bulan, pasti banyak kelemahannya tidak diketahui. Inilah yang harus kita hadapi dan terima seadanya.
Yang pasti, dalam fasa mengenali hati budi masing-masing terutama dalam tempoh tiga bulan pada awal perkahwinan, adakala membuatkan kita menjadi goyah. Akan ada sahaja nilai-nilai atau perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai dan prinsip diri selama ini.
Di sinilah menuntut seseorang untuk banyak bersabar dan berfikiran terbuka. Bukan mudah untuk mengajak orang lain menerima apa yang kita mahu. Lebih-lebih lagi pada awal perkahwinan, masing-masing punya ego yang mahu dipertahan.
Apatah lagi apabila melibatkan soal keluarga. Cara didikan keluarga yang berbeza pastinya membuatkan kita kekok dengan nilai-nilai yang mereka terap.
Lantas dalam situasi sebegini, cubalah sedaya upaya untuk bersifat empati terhadap pasangan. Pasangan yang saling memahami apa yang dirasakan oleh pasangannya, akan dapat mengelak berlakunya ketegangan dalam rumah tangga. Berbincang dan berkomunikasilah dengan baik agar masing-masing dapat bertindak dengan matang.
Apa pun, sebaik sahaja lafaz akad nikah disahkan, masing-masing harus tahu peranan masing-masing. Mengutamakan keluarga itu tidak salah, namun dalam masa yang sama, perlulah bersifat adil kepada pasangan.
Kalau perlu, bawalah berbincang secara baik dengan si ibu agar dia juga boleh memahami keperluan anak dan menantunya. Berdiam diri tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan akan mengakibatkan satu keadaan yang lebih teruk.
Tidak dinafikan, ikatan antara anak dengan ibu cukup kuat. Berilah masa, untuk si ibu memahami bahawa si anak juga sudah menjadi kepunyaan orang lain. Sememangnya si anak menjadi hak si ibu selama-lamanya, namun dalam masa yang sama, berilah ruang untuk si anak membina kehidupan mereka sendiri.
Hadirkan diri saat diperlukan. Bertolak ansur dalam semua perkara, agar perasaan hormat dan sayang antara satu sama lain tidak akan luntur.
***JOM SERTAI CHANEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.