Pernah dengar cinta tiga segi? Cinta orang ketiga? Istilah ini sama sahaja.
Siapa yang pernah melaluinya sudah tentu dapat merasakan betapa sakitnya jiwa bila cinta ‘dibahagi’ tiga tanpa disedari.
Hati kadang-kadang terlalu naif pada godaan bernama cinta. Tanpa boleh dicegah, tahu-tahu sahaja kita mungkin sudah terjebak dalam hubungan segi tiga. Ya, cinta segi memang sungguh menyakitkan!
Jatuh cinta bukanlah satu agenda yang boleh dirancang. Ia datang secara semula jadi dalam diri seseorang individu. Berbicara soal hati, cinta mungkin tidak boleh dilahirkan secara luahan manik-manik kata, tetapi ia boleh terpancar melalui pandangan mata dan perbuatan.
Tidak ada orang yang mahu memegang watak sebagai orang ketiga mahupun menjadi mangsa dalam drama tiga penjuru ini. Namun, jika terjadi juga, mungkin terselit hikmah yang tersembunyi.
**************************************************************************
Izzati, seorang gadis berusia 25 tahun, terpanggil untuk berkongsi kisahnya. Bukan kerana ingin membuka aib sendiri tetapi sekadar untuk berkongsi rasa. Mungkin pengalaman cinta yang dilalui oleh Izzati boleh dijadikan panduan terutama buat mereka yang sedang bercinta. Moga paparan dan perkongsian ini menjadi panduan dan teladan.
Andai kita tidak berjodoh,
Itu petanda yang kita tidak serasi,
Andai kasih kandas di tengah jalan,
Itu petanda ada kasih yang lebih baik buat kita berdua.
Usahlah kita menyalahkan takdir
Usahlah kita berduka lara
Kerna..semuanya telah tertulis yang kita bukan ditakdirkan bersama.
***************************************************************************
Aku telah ditunangkan dengan Azmi atas pilihan keluarga. Sungguh pun kami diperkenalkan oleh keluarga masing-masing, namun jujur aku akui yang aku sudah mula jatuh hati dengan Azmi sejak pertama kali kami bertentang mata. Begitu juga dengan Azmi. Dia seorang lelaki yang baik. Aku senang bersamanya kerana dia sentiasa menghormati aku sebagai seorang wanita yang belum menjadi haknya.
Kami jarang berjumpa kerana Azmi sibuk dengan kerjaya sebagai seorang jurutera manakala aku pula ketika itu baru sahaja menamatkan pengajian ijazah pertamaku. Dalam masa yang sama juga aku sedang berkira-kira untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Ya! Memang itulah hajatku kerana aku mahu menjadi seorang pensyarah.
Syukur… permohonanku untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana telah diterima. Aku berasa sangat gembira. Ku kongsikan bersama kejayaanku ini bersama tunangku Azmi kerana dia juga sudah menjadi sebahagian daripada hidupku. Walaupun terpancar tanda bangga pada diri Azmi kerana tunangannya berjaya merealisasikan impian untuk berjaya dalam pelajaran, namun terselit rasa sedih kerana terpaksa berpisah jauh denganku.
Baca Juga : Cinta Saja Tak Cukup Kalau Nak Kahwin
Aku memahami gejolak yang melanda jiwa Azmi, tetapi aku perlu meneruskan cita-citaku. Demi cita-citaku untuk menjadi seorang pensyarah, aku perlu kuat menepis apa-apa jua ‘anasir’ yang boleh mematahkan semangatku untuk berjuang. Pada keluarga, ku beritahu yang aku hanya akan menamatkan zaman daraku apabila aku telah berjaya menggenggam ijazah sarjanaku.
Cinta Tak Kenal Siapa
Hidup berjauhan membuatkan aku semakin tabah melalui cabaran kehidupan sebagai seorang pelajar. Hari-hariku dilalui dengan penuh kesibukan menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan tesis. Terkadang rasa lelah jua dengan kesibukan yang terpaksa ku depani tetapi demi mengejar cita-citaku yang satu, semua ‘penyakit-penyakit’ itu ku lontar jauh-jauh.
Dalam kesibukan melalui kehidupan sebagai seorang pelajar, rupa-rupanya aku diintai oleh seorang jejaka tampan. Walau pun kami tidak sekelas, namun aku mula perasan yang si dia selalu mengambil peluang mencuri-curi pandang.
Suatu hari, hendak dijadikan cerita, aku telah diragut ketika ingin melintas jalan untuk menaiki teksi. Ketika itu aku keluar sendirian. Mujur si dia ada sewaktu insiden itu berlaku jika tidak, apalah nasibku agaknya.
Dialah yang membantu aku membuat laporan polis selain menemankan aku pulang ke asramaku. Dokumen-dokumen penting semuanya hilang dan dia jugalah yang banyak membantu aku menyelesaikan segala urusan-urusan memperbaharui dokumen-dokumen penting itu. Bermula dari situ, hubunganku dengan si jejaka bernama Farid semakin rapat.
Aku sendiri tidak pasti mengapa aku rasa sungguh bahagia apabila bersama Farid berbanding tunangku sendiri. Timbul juga rasa bersalah dalam diriku tatkala aku keluar bersama dengan Farid, tetapi aku tidak berjaya menepis rasa cintaku pada Farid yang mula berputik tanpa sedar. Berkali-kali juga untuk aku menolak rasa cinta pada Farid, tetapi aku tewas.
Maafkan Kekhilafanku
Setelah Farid menyuarakan isi hatinya padaku, aku jadi serba-salah. Aku tahu, aku berdosa kerana menduakan tunanganku, tetapi aku tidak berdaya. Aku terpaksa berterus-terang dengan Farid yang aku sebenarnya telah bertunang. Memang Farid agak terkejut dengan pengakuanku pada awalnya tetapi dia juga sepertiku, tidak mampu untuk menidakkan rasa cinta yang hadir dalam diri masing-masing.
Sejak itu, hubunganku dengan Azmi semakin dingin. Segala panggilan telefon dan Whatsapp yang dihantarnya langsung tidak ku balas. Aku terpaksa kejam pada dirinya kerana tidak mahu dia terus mengharap cintaku. Aku berhak untuk memilih jalan hidupku. Mungkin juga kerana perkenalan singkat antara aku dan Azmi dan kemudiannya kami hidup berjauhan membuatkan kasih kami semakin layu.
Walau pun kedua-dua keluarga agak terkejut dengan permintaanku untuk memutuskan pertunangan kami, namun akhirnya mereka akur. Mereka sedar yang soal perasaan tidak boleh dipaksa-paksa. Bagi diri Azmi pula, dia tenang menerima pengakuan jujur dariku walau pun aku tahu dia benar-benar terluka.
Jika kau terbaca coretan ini Azmi, inginku memohon maaf sekali lagi kerana terpaksa menguburkan cinta kita. Tidak terdetik di hatiku untuk mempermainkan perasaanmu. Redalah dengan apa yang terjadi. Sesungguhnya aku bukan untukmu dan kamu bukan untukku. Telah tersurat di halaman takdir yang kita tidak akan hidup bersama.
Aku bukanlah mahu menyokong kisah cinta orang ketiga tetapi bagi diriku, semua yang terjadi dengan izin dan kehendak-NYA. Usahlah meratapi kasih yang tidak kesampaian. Belajarlah untuk menerima kenyataan kerana Allah telah mengatur segalanya untuk kita. Ada orang lain yang lebih baik untuk kita. Maka, redalah dengan ketentuan daripada-NYA.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI