Manusia memerlukan pasangan untuk hidup saling melengkapi. Hadirnya cinta dan perasaan menjadikan hidup seseorang lelaki dan wanita itu sempurna.
Namun, kadang-kala cinta itu bisa menjadikan manusia buta. Bukan buta kerana memandang rupa atau harta tapi buta memandang cinta yang tulus suci.
Kerap kali kita mendengar orang berkata ‘cinta itu buta’ tapi benarkah cinta itu buta?
Atau manusia yang terlalu taksub dengan cinta sehingga perkara buruk yang berlaku di sekeliling pun dikatanya baik sehingga boleh menolak keluarga demi cinta.
Pertama kali berasa nikmat cinta
Cinta sememangnya indah. Penyatuan dua hati menjadi satu antara lelaki dan perempuan menjadikan hidup kita sempurna. Saat pertemuan dengan jantung hati sememangnya tidak dapat dilupakan. Dari mata turun ke hati. Itulah perasaan yang melanda jika baru pertama kali berasa nikmat cinta.
Cinta hadir tanpa diundang dan kita sebagai manusia tidak mampu menolak rasa cinta itu. Lebih-lebih lagi jika itu ialah cinta pertama kita. Mungkin kita berasa cinta itu buta kerana cinta itu tidak mengenal rupa, tidak mengenal harta, tidak mengenal sesiapa. Saat itulah semuanya indah sehinggakan sanggup melarikan diri daripada keluarga demi buah hati tersayang.
Terburu-buru
‘Lautan berapi sanggup ku renangi demi cintaku padamu’. Itulah antara kata-kata manis yang sering diucapkan oleh pasangan ketika saat bercinta. Pada kebiasaannya, kata-kata ini sering diucapkan oleh lelaki. Lantas, si gadis pula pertaruhkan sepenuh kepercayaan pada lelaki tersebut walaupun pada hakikatnya baru beberapa bulan berkenalan.
Sikap terburu-buru itulah yang menjadikan pasangan pada masa kini mudah terpedaya akan kata-kata manis yang diberikan. Saat itulah yang dikatakan cinta itu buta walhal kita sebagai manusia yang buta memandang cinta.
Tidak cukup kenal pasangan
Sesudah mendirikan rumah tangga, barulah kita mengenal sepenuhnya segala tindak-tanduk pasangan. Daripada sekecil-kecil masalah hinggalah sebesar-besar masalah, semuanya tidak kena di mata dan hati masing-masing. Saat itu, semuanya sudah terlambat kerana ikatan perkahwinan sudah pun dibina.
Mengapa perkara ini boleh berlaku? Semuanya kerana tidak mengenali dengan sepenuhnya diri pasangan. Oleh itu, kenali dan dalamilah sikap pasangan masing-masing sebelum mendirikan rumah tangga. Sangat penting supaya kita boleh bersedia jika berlaku sebarang kemungkinan pada masa akan datang.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI