Hubungan

Hanya Pasangan Yang Kuat Sahaja Mampu Lalui Perkahwinan PJJ

Share

Pernikahan sememangnya perkara yang indah. Setiap pasangan suami isteri mengharapkan keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah.

Menjadi peneman dan penenang serta penyejuk mata setiap pasangan. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Rum, ayat 21:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya (sakinah), dan dijadikan-Nya di antaramu mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Setiap insan sememangnya mengimpikan pernikahan yang bahagia. Serba serbi indah, disulam kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Walaubagaimanapun, kerana tuntutan kerja dan mungkin pelbagai asbab lain, terjadinya pernikahan jarak jauh.

Namun, berjauhan dengan pasangan yang dicintai bukanlah perkara mudah yang boleh dilalui oleh semua pasangan suami isteri.

Keadaan ini sudah tentu memerlukan ketekalan hati dan kepercayaan serta Mujahadah yang kuat, supaya dapat memelihara ikatan pernikahan yang suci tanpa sebarang anasir-anasir yang boleh merosakkan kepercayaan pasangan.

Melayari pernikahan jarak jauh ini juga merupakan ujian yang harus diterima oleh setiap pasangan yang melaluinya dengan redha serta terus berusaha untuk mendekatkan jarak dengan pasangannya.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-I’mran, ayat 200:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa, setiap ujian yang menimpa seseorang hambaNya, mengikut kemampuan diri seseorang individu dan Allah SWT tidak akan menimpakan ujian yang melebihi kemampuan hambaNya.

Supaya kasih sayang dan kecintaan sentiasa subur dalam diri setiap pasangan suami isteri. Antaranya pasangan suami isteri harus:

1. Berfikiran Positif

Pasangan yang berjauhan harus sentiasa bersikap positif dan percaya terhadap pasangan masing-masing. Kepercayaan ini  merupakan kunci utama kebahagian dalam rumah tangga.

Suami isteri ini yang berperanan sebagai pemudik pelayaran sudah tentu tahu kemana arah pernikahan yang dibina. Ibnu Qayyim menyatakan bahawa berfikir merupakan satu proses memahami sesuatu perkara yang baik atau sebaliknya supaya dapat kita mengambil manfaat daripada keduanya.

Kita juga seharusnya mengarahkan pemikiran kita berlandaskan kepada keimanan (positif) dan bukan kepada kesesatan (negatif). Kerana berfikir positif merupakan kunci menuju kebahagiaan (Al-Hajjaji, 1988).

Dalam konteks rumah tangga, suami isteri yang berjauhan haruslah sentiasa berfikiran positif terhadap pasangan masing-masing. Hal ini akan melahirkan rasa tenang dan membuahkan rasa kecintaan yang tidak berbelah bahagi. S

Selari dengan pandangan Imam al-Ghazali yang menyatakan bahawa, berfikir secara positif dapat mengubah asal kecenderungan yang negatif (Mohammad, 2014).

Ini jelas menunjukkan bahawa, berfikiran positif sangat penting dalam kehidupan ‘PJJ”.

sekadar gambar hiasan

2. Elakkan Cemburu Buta

Benar, cemburu itu tanda sayang, tetapi cemburu yang bagaimana seharusnya dipersembahkan terhadap pasangan masing-masing.

Hakikatnya, cemburu merupakan fitrah setiap manusia, namun fitrah itu harus dijaga supaya tidak mencadi fitnah kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Dalam rumah tangga, cemburu harus berpada-pada agar keharmoniannya terjaga dan terpelihara. Elakkan daripada menimbulkan perkara-perkara yang dapat membangkitkan perasaan cemburu pasangan.

3. Sentiasa Berkomunikasi

Dunia tanpa sempadan dengan pelbagai kemudahan teknologi yang telah diperkenalkan dapat menjadi penghubung pasangan suami isteri yang berjauhan.

Calling, video call, whatsApps dan sebagainya dapat mendekatkan lagi pasangan suami isteri. Jadikan jarak yang jauh itu sebagai peluang untuk pasangan lebih mencintai dan merindui.

4. Luahkan Perasaan Cinta dan Rindu

Bagi pasangan yang berjauhan, ekspresi perasaan cinta merupakan antara keperluan utama yang dapat menyuburkan perasaan kasih dan sayang dalam diri pasangan anda.

Seharusnya, anda lebih mengenali pasangan anda dan anda lebih tahu, penggunaan ayat-ayat cinta yang bagaimana boleh membuatkan pasangan anda jatuh cinta berkali-kali kepada anda.

5. Kesetiaan dan kejujuran

Kesetiaan merupakan resepi utama kebahagiaan dalam rumah tangga. Setiap pasangan yang melalui pernikahan jarak jauh atau sebaliknya, mengharapkan pasangan yang setia.

Selain itu, kejujuran juga penting dan setiap pasangan harus sentiasa bersikap jujur dengan pasangan masing-masing. Kejujuran juga dapat menggelak berlakunya pergaduhan akibat daripada sikap ketidak jujuran anda.

Kesimpulannya, perkahwinan merupakan Sunnah yang sangat dituntut dalam Islam. Justeru itu, berusahalah untuk menjadi yang terbaik kepada pasangan anda.

Perkahwinan juga merupakan madrasah cinta yang seharusnya membuatkan suami isteri untuk saling memperbaiki diri.

Suami isteri seharusnya berusaha melakukan perkara-perkara yang terbaik kepada pasangan dan keluarga. Semoga terus bercinta hingga ke syurga.

Artikel ini ditulis oleh Noradilah binti Abdul Wahab (pena biru).

Sumber : IluvIslam

Published by
Kim