Amalan berinai memang tidak asing lagi bagi kita semua. Ia kebiasaannya dilakukan pada majlis perkahwinan dan telah menjadi adat yang hampir tidak dapat dipisahkan. Memakai inai menampakkan seri kepada pengantin. Persoalannya adakah ia dibenarkan dalam syarak? Jika dibenarkan apakah syaratnya? Bolehkan memakai inai bercorak? Persoalan ini hanya terlintas bagi orang-orang yang menitik beratkan soal hukum. Kadang kala kita terlepas pandang perkara yang nampak remeh disebabkan oleh ianya sebahagian daripada adat turun-temurun.
Inai (hinnaa) bukanlah tatu (syimaah). Inai diekstrak dari tumbuhan sedangkan tatu menggunakan teknik tertentu untuk menanam warna di bawah lapisan kulit. Tatu diharamkan dalam Islam secara mutlak sama ada ianya bercorak haiwan atau selainnya, tetapi inai dibenarkan. Namun, jika menggunakan inai untuk melukis objek yang hidup (bernyawa), maka ini adalah haram. Haram di sini adalah hukum tentang lukisannya, bukan inainya. Masalah melukis/mengukir (taswir) bentuk haiwan adalah haram menurut pendapat yang terkuat [An-Nabhani, Syakhsiyyah Islamiyyah]. Jadi, memakai inai sama ada di jari sahaja atau di mana-mana bahagian badan adalah mubah (harus) dengan syarat ia bukan gambar objek bernyawa dan tidak menggambarkan bentuk hadharah kuffar seperti lambang salib, dewa hindu, budha dan lain-lain. Adapun dalil tentang kebolehan berinai adalah sabda Rasulullah,
Bahawa seorang wanita telah menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW dengan sebuah kitab untuk berbai’ah maka Baginda menggenggam tangannya lalu berkatalah wanita tersebut; Ya Rasulullah! Saya telah menghulurkan tangan saya kepada anda dengan sebuah kitab tetapi anda tidak pun mengambilnya. Baginda bersabda, ‘Sesungguhnya aku tidak ketahui adakah ianya tangan lelaki ataukah tangan wanita.’ Wanita itu berkata, ‘Bahkan tangan wanita’. Rasulullah SAW lalu bersabda, ‘Jika anda wanita tentulah anda mengubah (mencelup) kuku-kuku anda dengan inai” [HR An-Nasaei, Abu Daud]