Kursus perkahwinan merupakan satu kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Negeri kepada pasangan-pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga. Selain dari Jabatan Agama Negeri, ada juga syarikat-syarikat swasta yang bertauliah menganjurkan kursus ini.
Kursus perkahwinan ini adalah wajib kepada mereka yang belum pernah berkahwin. Ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan tentang alam perkahwinan yang bakal mereka tempuhi nanti. Kursus ini juga bertujuan untuk mengurangkan masalah-masalah yang sering berlaku dalam rumahtangga.
Kenapa Kita Diwajibkan Mengambil Kursus Kahwin
Dalam kursus ini, mereka akan didedahkan tentang apakah tanggungjawab mereka masing-masing sebagai suami atau isteri, proses pendaftaran perkahwinan, cara pengurusan rumahtangga, cara menghadapi masalah dalam rumahtangga, kisah-kisah benar berkaitan alam perkahwinan untuk dijadikan tauladan dan bermacam-macam lagi pengetahuan yang penting berkaitan dengan alam perkahwinan.
Kursus perkahwinan ini amat penting sebagai persediaan kepada setiap pasangan. Islam mewajibkan kita untuk menuntut ilmu. Oleh kerana itu kursus perkahwinan ini amat penting dalam Islam.
Perkahwinan itu bukanlah suatu perkara mudah akan tetapi ianya adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang baru yang penuh dengan tanggungjawab.
Kursus perkahwinan ini boleh dihadiri pada bila-bila masa sebelum berkahwin mengikut kelapangan waktu dan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh tempat kursus yang dipilih. Kursus ini boleh dihadiri bersama pasangan ataupun secara individu. Bagi menyertai kursus ini, setiap individu perlu mengisi borang pendaftaran secara atas talian ataupun secara langsung mengikut negeri masing-masing.
Kursus ini selalunya diadakan selama dua hari berturut-turut tanpa bermalam sama ada pada hari-hari biasa ataupun pada hujung minggu. Bermula pada waktu pagi dan berakhir pada sebelah petang.Manakala pada hari kedua hanya separuh hari. Setelah selesai, setiap peserta akan diberikan sijil menandakan mereka telah menyertai kursus tersebut. Sijil inilah yang akan digunakan untuk memohon surat kebenaran berkahwin nanti.
Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai ataupun kehilangan sijil, mereka tidak akan dibenarkan berkahwin dan dikehendaki untuk memohon semula sijil berkenaan. Sijil kursus ini tiada tarikh luput. Ianya sah digunakan untuk seumur hidup. Bagi mereka yang mempunyai sijil pengajian Islam seperti Sijil Menengah Ugama (SMU) atau mana-mana sijil pengajian agama yang diiktiraf, mereka boleh memohon untuk pengecualian dari menghadiri kursus perkahwinan.
Jabatan Agama di setiap negeri ada menganjurkan kursus ini. Oleh kerana itu, seseorang itu boleh menghadirinya di mana-mana tempat yang mereka mahu mengikut kemudahan masing-masing.
Negeri
Kursus Kahwin (RM)
Link Jabatan Agama Islam
1. Kuala Lumpur
RM120
jawi.gov.my
2. Selangor
RM80
ncr.jais.gov.my
3. Johor
RM120
jainj.johor.gov.my
4. Melaka
RM80
jaim.gov.my
5. Negeri Sembilan
RM100
jheains.ns.gov.my
6. Pulau Pinang
RM80
jaipp.penang.gov.my
7. Kedah
RM80
jaik.gov.my
8. Perlis
RM80
perlis.gov.my
9. Terengganu
RM50
terengganu.gov.my
10. Pahang
RM80
jaip.pahang.gov.my
11. Kelantan
RM70
jaheaik.gov.my
12. Sabah
RM100
jheains.sabah.gov.my
13. Sarawak
RM100
jais.sarawak.gov.my
14. Labuan
RM100
jawi.gov.my
15. Perak
RM80
jaipk.perak.gov.my
16. Putrajaya
RM80
jawi.gov.my
Yuran kursus perkahwinan yang dikenakan adalah berbeza mengikut Jabatan Agama Negeri masing-masing. Yuran yang dikenakan adalah merangkumi:
Ads
Makan dan minum
Buku gerbang perkahwinan
Fail dan alat tulis
Sijil
Tenaga pengajar
Silibus/Modul Kursus Pra Perkahwinan
Bagi setiap kursus perkahwinan yang dianjurkan, penggunaan tujuh Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam adalah wajib. Modul tersebut ialah:
Akidah dan Ibadah
Akhlak dan hubungan dalam keluarga.
Pengurusan kesihatan keluarga.
Perkahwinan dan prosedur perkahwinan.
Pengurusan tekanan dan konflik.
Komunikasi antara suami isteri dan pengurusan kewangan dan masa
Perkhidmatan runding cara dan pembubaran perkahwinan.
Setiap modul ini akan dibahagikan kepada beberapa sesi dan setiap sesi mestilah dihadiri oleh setiap peserta. Jika peserta ada tertinggal mana-mana modul yang ditetapkan, mereka hendaklah mengulangi modul itu semula sebelum mereka layak untuk diberikan sijil perkahwinan.
Peraturan Kursus Kahwin
Kursus perkahwinan mempunyai peraturan-peraturannya yang tersendiri dan para peserta mestilah mematuhinya untuk memastikan mereka layak untuk mendapat sijil perkahwinan. Berikut merupakan peraturan-peraturannya:
Mengisi borang pendaftaran dan membawa salinan kad pengenalan.
Menandatangani kehadiran bagi setiap sesi.
Wajib mengikuti semua sesi selama dua hari dan mematuhi jadual waktu yang ditetapkan.
Berpakaian formal. Setiap negeri mempunyai tatacara ataupun peraturan berpakaian yang ditetapkan.
Peserta lelaki yang berambut panjang hendaklah diikat dengan kemas atau mereka tidak akan dibenarkan menghadiri kursus.
Dilarang merokok sepanjang kursus berlangsung.
Peserta dilarang melakukan perkara sumbang seperti berpasang-pasangan.
Dilarang membawa makanan ataupun membuang sampah merata-rata.
Jika peserta mempunyai sebarang masalah sepanjang kursus, mereka hendaklah melaporkannya kepada pihak urusetia.
Tidak dibenarkan menimbulkan sebarang gangguan seperti bunyi deringan telefon, menjawab telefon dan sebagainya.
Tempat duduk bagi peserta lelaki dan perempuan adalah berasingan sama ada kedudukan kiri dan kanan ataupun depan dan belakang.
Ads
Sebelum memulakan kursus, penganjur akan memberikan taklimat terlebih dahulu berkenaan dengan peraturan kursus, peraturan peserta, jadual kursus, sijil dan kemudahan yang disediakan seperti dewan kuliah, kerusi, meja, tempat solat, tempat makan dan pelbagai lagi kemudahan lain untuk kegunaan para peserta.
Etika Pakaian
Contoh peraturan berpakaian untuk menghadiri kursus perkahwinan di Kuala Lumpur bagi peserta lelaki adalah berbaju kemeja dan berseluar slack Sekiranya mereka ingin memakai t-shirt, t-shirt tersebut mestilah berkolar. Peserta lelaki dilarang sama sekali memakai gelang, subang, rantai dan topi. Ada juga negeri yang mewajibkan pemakaian songkok dan dilarang sama sekali memakai selipar.
Bagi peserta perempuan pula, pakaian yang sesuai adalah berbaju kurung ataupun berjubah. Sekiranya mereka ingin memakai seluar, baju yang dipakai mestilah labuh. Mereka dilarang sama sekali memakai pakaian berlengan pendek, nipis, ketat, berseluar jeans dan berkain belah.
Sebelum memilih mana-mana kursus perkahwinan yang ingin dihadiri, bakal pengantin hendaklah menyelidiki dahulu tentang latar belakang dan keberkesanan sesebuah pusat kursus. Hal ini bagi memastikan mereka dapat menghadiri tempat kursus perkahwinan yang bertauliah dan daripada saluran yang betul.
Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan maklumat dengan bertanya kepada rakan-rakan yang pernah menghadirinya agar mereka dapat menghadiri kursus perkahwinan yang lengkap dan diiktiraf. Sebagai pengetahuan, terdapat dua jenis penganjuran kursus kahwin. Pertama adalah kursus perkahwinan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama negeri itu sendiri seperti di Kelantan dan Terengganu.
Kedua adalah yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat yang dilantik oleh Jabatan Agama negeri. Anjuran daripada syarikat-syarikat ini adalah untuk membantu Jabatan Agama negeri seperti di Kuala Lumpur, Johor dan Perak. Namun syarikat-syarikat ini mestilah mendapatkan permit ataupun kelulusan daripada pihak Jabatan Agama terlebih dahulu mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan.
Ads
Permit ini mestilah diperbaharui dari tahun ke tahun mengikut prestasi masing-masing setelah pemantauan dibuat oleh Jabatan Agama. Penganjuran kursus tanpa permit adalah salah. Di Kuala Lumpur terdapat sekitar 30 syarikat yang menganjurkan kursus ini.
Sekiranya anda mempunyai sebaran keraguan sama ada syarikat yang menganjurkan kursus ini sah ataupun tidak, anda boleh mendapatkan maklumat dengan menghubungi Jabatan Agama Negeri bahagian perkahwinan.
Peserta juga hendaklah menyimpan segala dokumen seperti resit pembayaran yuran, maklumat ataupun nombor hotline penganjur. Sekiranya mereka tidak mengambil berat tentang perkara ini, masalah akan timbul sekiranya sijil kursus hilang ataupun rosak.
Bagi yang menghadiri kursus anjuran Jabatan Agama Negeri, mereka boleh menghubungi Jabatan Agama Negeri untuk mendapatkan sijil kursus yang baru. Maklumat lengkap seperti nombor kad pengenalan, tarikh dan lokasi di mana mereka menghadiri kursus hendaklah diberikan.
Manakala bagi mereka yang menyertai kursus anjuran syarikat-syarikat ataupun anjuran kolej, universiti, persatuan atau pertubuhan, mereka hendaklah menghubungi penganjur masing-masing untuk mendapatkan surat pengesahan kehadiran kursus. Setelah itu, barulah mereka boleh mendapatkan sijil kahwin yang baru di Jabatan Agama Negeri.
Kesimpulannya, kursus perkahwinan ini adalah sangat penting kepada mereka-mereka yang bakal mendirikan rumahtangga. Oleh kerana itu ianya diwajibkan kepada mereka yang belum berkahwin. Dengan menghadiri kursus ini, kita akan mendapat banyak pengetahuan tentang alam perkahwinan untuk kita gunakan sebagai rujukan menghadapi alam rumahtangga.
Perkahwinan ini bukanlah tentang cinta semata-mata dan bukannya untuk kepuasan semata-mata. Akan tetapi ianya adalah tentang perjanjian antara dua insan untuk hidup bersama, perkongsian dua buah keluarga dan tentang penerimaan antara kedua-dua belah pihak.
Justeru itu, restu kedua ibu bapa amatlah penting bagi setiap pasangan yang ingin berkahwin kerana restu mereka akan mempengaruhi perjalanan sesebuah perkahwinan yang bakal dibina. Jangan takut untuk berkahwin walaupun kita belum mempunyai kehidupan yang stabil kerana Allah telah menyatakan bahawa perkahwinan ini merupakan pembuka kepada pintu rezeki.
Allah akan memberikan rezeki kepada kita dengan caranya yang tersendiri. Yang penting, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengubah hidup kita dan yakin dengan Allah kerana DIA merupakan sebaik-baik perancang.
Kepada mereka-mereka yang bakal berkahwin, semoga segala urusan yang dilakukan akan dipermudahkan oleh Allah dan semoga perkahwinan yang bakal dibina akan mendapat keredhaan Allah.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak kedua sering dikatakan mengalah kerana mereka perlu hormat kepada abang dan juga kakak serta adik adik. Anak kedua juga dikatakan unik berbanding yang lain. Mereka juga dikatakan berbeza dan penuh misteri, betul ke?
Oleh kerana anak kedua merupakan anak tengah, jadi secara tidak langsung ia akan bersikap terbuka dan berlapang dada dalam banyak hal. Mungkin juga ini adalah antara fakta yang menarik mengenai anak kedua.
gambar sekadar hiasan
1. Terasing
Anak kedua sering merasa seperti disisihkan oleh keluarganya sendiri. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh ibu bapa yang sering memberikan perhatian yang lebih kepada anak pertama. Maklumlah, kelahiran anak pertama itu yang sering dinanti-nantikan. Jadi, memang itu yang sering mendapat perhatian. Lagipun, anak pertama dikatakan perlu diberi perhatian yang lebih agar lebih terdidik dan terjaga supaya boleh menjadi ikutan adik-adiknya yang lain.
2. Suka berkawan
Mungkin disebabkan anak kedua sering tersisih oleh keluarga, jadi mereka lebih senang menjalinkan hubungan dengan orang lain. Mereka akan berusaha membuat orang lain selesa dengan persahabatan itu agar hubungan mereka terus utuh.
Namun, sifat ini juga ada sisi negatifnya. Anak kedua tidak berani membuat keputusan dalam segala hal, terutama yang melibatkan dirinya. Dia takut jika keputusan itu akan menyusahkan orang lain. Jadi, kalau nak cari pasangan atau sahabat sejati, carilah anak kedua. Sebab…dia pasti akan menjadi pasangan atau teman terbaik yang pernah kamu miliki.
3. Kreatif dan Fleksibel, Suka Kebebasan
Disebabkan selalu bersendirian dan bersemangat dalam melakukan sesuatu membuatkan anak kedua sering berimaginasi dalam mengembangkan bakatnya. Disebabkan itu kita sering lihat anak kedua akan bekerjayang berkaitan dengan seni dan kurang gemar bekerja di bawah tekanan.
Anak kedua juga gemarkan kebebasan dalam pekerjaan, fleksibel, dan tugasan yang mampu membuatkan mereka mengekspresikan diri. Juga pekerjaan yang tidak mengekang dari segi waktu atau peraturan pejabat yang terlalu ketat. Disebabkan ini juga, ada sesetengah anak kedua yang gemar memilih untuk menjadi ‘freelancer’ atau sambilan, ataupun bekerja di tempat-tempat yang mereka sukai.
4. Paling Berbeza
Tidak dapat disangkal lagi, anak kedua biasanya akan selalu berusaha untuk mendapatkan perhatian daripada ibu atau ayahnya. Oleh sebab itu, mereka akan selalu berfikir tentang bagaimana untuk mendapatkan perhatian. Sebab itulah mereka selalu akan melakukan perkara yang berbeza supaya ibu bapa sedar akan kewujudan mereka.
5. Masalah hubungan
Disebabkan anak kedua sering mendambakan perhatian, dia akan sering berasa takut, hubungan dengan keluarga pun tidak berjalan dengan baik. Ini membuatkan mereka sukar untuk membentuk sebuah keluarga dan bermasalah dengan pasangannya.
Mereka gemar menuntut perhatian yang lebih dan mempunyai sikap berprasangka yang sebenarnya mereka sendiri tak inginkan. Lebih teruk lagi, mereka akan sering menyalahkan diri sendiri dalam banyak perkara.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon terkenal, Nora Danish atau nama penuhnya Nora Mohd Danish Hanif, 42, menasihati kepada golongan suami agar tidak culas dalam memenuhi tanggung jawab nafkah terhadap isteri.
Nasihat Nora Danish
Seruan ini dibuat selepas beliau mengamati banyak kes perceraian yang berlaku akibat masalah kewangan, yang sering kali mencetuskan konflik dalam rumah tangga.
Dalam sebuah temu bual podcast, Nora menyatakan, “Peguam saya ada beritahu ramai pasangan bercerai kerana masalah kewangan dan duit.”
Beliau menegaskan bahawa banyak suami mengambil remeh isu nafkah, yang sepatutnya menjadi salah satu aspek terpenting dalam sebuah perkahwinan.
Nora menekankan bahawa walaupun isteri mungkin bekerja dan mampu menyara diri sendiri, tanggung jawab suami dalam memberi nafkah tetap tidak boleh diabaikan.
“Walaupun hanya beri jumlah yang sedikit kepada isteri, itu sebenarnya tetap satu barakah (keberkatan),” tambahnya. Beliau percaya bahawa memberikan nafkah bukan sahaja tentang kewangan, tetapi juga simbol tanggungjawab dan kasih sayang dalam perhubungan.
Nora juga mengingatkan bahawa masih ramai suami yang kurang memahami konsep asas nafkah.
“Kita perlu didik orang di luar sana, terutama lelaki yang bakal bergelar suami, bahawa nafkah adalah perkara penting,” katanya.
Pandang Remeh Isu Ini Boleh Berkait Kes Cerai
Kegagalan dalam memahami tanggung jawab ini boleh mengakibatkan lebih banyak perceraian, yang sudah tentu menyedihkan bagi semua pihak.
Mengenai pengalamannya sendiri, Nora berkongsi bahawa perceraian dengan bekas suami, Nedim Nazri, pada Jun lalu, telah banyak mengajarnya tentang kehidupan dan keimanan.
“Bila jadinya perceraian itu, Allah SWT permudahkan dan semuanya berlaku dalam tempoh singkat meskipun kemelut itu sudah berlanjutan lama,” ujarnya.
Nora menyatakan bahawa melalui dugaan ini, beliau belajar untuk meminta petunjuk daripada Tuhan dan reda dengan ketentuan-Nya.
Pelakon wanita ini turut mengakui bahawa perceraian membawa titik perubahan besar dalam hidupnya. “Bila kita kahwin kerana cinta, cinta itu yang melukakan anda. Bila kahwin kerana Tuhan, walaupun bunyi klise, barulah saya faham jalan menuju ke Allah itu indah,” jelasnya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Buat isteri yang selama ini rasa geli atau kurang gemar jika suami anda simpan janggut tidak kiralah janggut sejemput atau jambang, inilah masanya untuk anda ubah persepsi itu. Bagi yang suka dengan ‘aksesori’ lelaki yang satu ini, sememangnya anda seorang isteri yang beruntung kerana ‘aksesori’ ini banyak kelebihannya!
Selain mendapat pahala berganda kerana ia merupakan sunah Rasulullah SAW, kajian yang diterbitkan dalam “The Journal of Evolutionary Biology” mengatakan wanita lebih cenderung inginkan lelaki yang berjanggut dan melihat lelaki sebegini sebagai rakan kongsi jangka panjang.
Oleh itu, ayuh baca fakta unik ini untuk lebih meyakinkan anda bahawa lelaki yang menyimpan janggut bukan sahaja memberi manfaat buat dirinya sendiri malah turut bermanfaat untuk isterinya.
1. Malaikat tadah air wuduk yang jatuh dari janggut
Ketika zaman Rasulullah SAW ada seorang sahabat yang berjanggut nipis yang sedang mengambil wuduk untuk bersembahyang di masjid. Melihatkannya, Rasulullah SAW tersenyum dan memalingkan mukanya. Sahabat itu menyangka Rasulullah SAW senyum kerana janggutnya yang nipis itu dan memalingkan mukanya kerana tidak suka pada janggutnya itu.
Keesokan harinya, lelaki tersebut datang ke masjid setelah mencukur janggutnya. Apabila terserempak dengan Rasulullah SAW, lelaki itu melemparkan senyuman tetapi Rasulullah SAW tidak memandang langsung kepada lelaki tersebut. Ini membuatkan dia bertambah hairan lalu mengajukan pertanyaan kepada Baginda.
“Wahai Rasulullah, mengapa hari ini kamu tidak senyum kepadaku seperti sebelum ini?” Jawab Baginda, “Sebelum ini aku nampak malaikat berebut-rebut untuk menadah air wuduk yang jatuh dari janggutmu tetapi apabila kamu mencukur janggutmu tidak ada lagi malaikat yang menunggu dijanggutmu wahai sahabat.”
2. Kurangkan tanda penuaan dan awet muda
Seorang ahli dermatologi dari London bernama Dr. Nick Lowe mengatakan bahawa janggut membantu melindungi kulit agar tetap sihat, mengurangkan tanda-tanda penuaan sekali gus membuatkan lelaki awet muda. Ini kerana pendedahan terhadap sinaran matahari yang sedikit membuatkan lelaki yang menyimpan janggut kelihatan lebih muda berbanding mereka yang tidak mempunyai janggut.
3. Buatkan wajah sentiasa hangat
Rambut merupakan penebat yang membuatkan lelaki kekal hangat, begitu juga dengan janggut kerana ia merupakan sebahagian daripada rambut yang ada pada wajah. Carol Walker, Konsultan Trichologist dari Birmingham Trichology Centre mengatakan janggut dapat menahan udara sejuk sekali gus menaikkan suhu leher terutamanya jika berada pada cuaca yang sejuk. Ini kerana janggut mempunyai kelebihan dalam menyerap dan menyimpan haba di dalam badan.
4. Beri perlindungan daripada sinaran ultra violet
Hasil kajian dari University of Southern Queensland menerusi jurnal bertajuk “Radiation Protection Dosimetry” mendapati bahagian wajah yang tertutup dengan janggut rata-ratanya sepertiga lebih rendah terdedah dengan sinaran ultra violet yang membahayakan sekali gus memberi perlindungan terhadap sinar ultra violet matahari 90 hingga 95 peratus. Bahkan kajian yang dijalankan di Australia juga membuktikan perkara yang sama.
5. Kurangkan gejala asma dan alahan
Jika anda mengalami alahan debunga atau debu dan gejala asma, janggut sebenarnya membantu sebagai penapis bagi mengelakkan kuman sampai ke permukaan wajah. Lebih besar janggut yang anda simpan, maka lebih banyak bahan pencemaran yang dapat ditapis setiap hari.
6. Melembapkan kulit wajah
Kulit wajah terbina dengan ejen pelembap tersendiri yang dikenali sebagai ‘sebaceous glands’. Ia bertindak untuk mengeluarkan minyak semula jadi yang menjadikan kulit kekal lembap. Dengan menyimpan janggut yang tebal, ia akan membantu melindungi kulit wajah anda daripada terkena angin yang boleh menyebabkan kulit menjadi kering.
7. Elak masalah jerawat
Menyimpan janggut juga boleh membantu melindungi kelenjar sebum daripada dijangkiti oleh bakteria jerawat, vulgaris, sekali gus mencegah terjadinya masalah jerawat dan bintik hitam.
8. Sensasi ciuman yang berbeza
Wanita lebih menikmati ciuman dengan lelaki berjanggut berbanding lelaki yang wajahnya mulus tanpa janggut. Ini kerana janggut akan membuatkan pasangan rasa geli sekali gus menambahkan keintiman saat mencium suami.
9. Pahala buat isteri
Sebaik sahaja isteri celik mata dari tidur, rebutlah peluang pahala dengan merenung wajah suami dan kemudian usap lembut janggut suami dari dagu hingga ke penghujungnya.
10. Galak kesuburan wanita
Kajian oleh para saintis dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat berjudul “The Amazing Fact of Human Body” mendapati janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang amat diperlukan bagi kesuburan wanita. Ia membantu menstabilkan kitaran haid selain menggalakkan pertumbuhan telur wanita dengan cara sentuhan dan belaian pada janggut atau jambang suami.
11. Calon ayah yang baik
Kajian dari University of New South Wales dalam jurnal bertajuk “Evolution and Human Behaviour” mengatakan bahawa wanita berpendapat lelaki yang memiliki janggut adalah lebih menarik serta dilihat sebagai calon pasangan dan ayah yang baik.
12. Sesuai dijadikan pasangan romantik
Hasil kajian yang dijalankan ke atas wanita Britain berusia 18 hingga 44 tahun mendapati tarikan yang dimiliki oleh selebriti terkenal seperti George Clooney, Brad Pitt dan David Beckham adalah disebabkan oleh wajah mereka yang berjambang. Mereka juga menyifatkan lelaki berjanggut paling sesuai dijadikan pasangan romantik.
* Ingat ya suami! Walaupun banyak kelebihan, pastikan janggut atau jambang anda sentiasa dibersihkan dan dirapi selalu agar ia tidak menyebarkan bakteria dan kuman untuk diri anda mahupun orang lain terutamanya isteri.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!