Walaupun hidup serumah dan tidur sekatil, sebenarnya bukan semua yang dirasai oleh isteri dapat difahami oleh suami. Dalam diam, begitu banyak perjuangan dan pengorbanan seorang wanita bergelar isteri dihadapi dari hari ke hari. Mungkin rasa bersalah untuk meluahkannya, atau mungkin juga tidak mahu membebankan suami.
Lelaki bernama Muhammad Ahmad atau Encik Matt ini bersetuju dengan apa yang Ustaz Ebit Lew katakan. Isteri dah banyak kali ‘mati’ untuk kita (suami). Secara zahirnya mereka sedang melahirkan anak untuk kita, tetapi hakikatnya mereka ‘sedang mati’ untuk kita.
Saya selalu pesan kepada adik dan kawan-kawan lelaki. Hargai isteri walau apa pun terjadi. Jangan kerana sedikit kelemahan mereka, kita melihat kelebihan yang ada pada perempuan lain. Kadang-kadang belum tentu perempuan lain dapat bahagiakan kita sebagaimana isteri kitalakukan sekarang.
Mereka tiada sesiapa lagi setelah berkahwin dengan kita. Segala suka duka semuanya diharungi bersama kita. Ada mak ayah menangis setelah anak sah menjadi isteri orang. Mereka gembira dalam masa yang sama, mereka risau dan harap agar kita jaga anak mereka dengan baik.
Tiba-tiba hari ini, kita dengar suami pukul isteri, curang dengan isteri. Mula tidak sayang isteri, mula ada perempuan lain. Kenapa ada lagi lelaki sanggup ceraikan isteri dan tinggalkan mereka sebatang kara bersama anak-anak semata-mata masalah yang kecil.
Kita sepatutnya sebagai suami lindungi mereka, bimbing mereka, jaga amanah yang diberikan oleh mak ayah mereka. Sebelum kahwin, semua syarat kita boleh terima. Kenapa setelah kahwin kita lupa segala syarat yang diberikan?
Sebelum kita pukul isteri, tampar isteri. Cuba minta kawan tampar ibu kita. Apa kita rasa? Kalau tak koma, mungkin mati kawan tu. Sebab itulah saya pesan kepada remaja sekarang, suka perempuan niat kerana Allah. Jika kita letak hukum Allah dalam cinta kita kepada perempuan, kita akan hargai mereka sampai mati.
CINTA perlukan pengorbanan. Sahabat Nabi S.A.W sanggup putus jari, putus tangan, kaki, kepala untuk dapat CINTA Allah. Khadijah r.ha asalnya orang yang sangat kaya, sanggup KORBAN kekayaan demi Allah dan Rasul. Begitulah juga jika kita cinta pasangan kerana Allah. Pimpin keluarga untuk ikut kehendak Allah. Dalam hubungan ketepikan KEHENDAK kita, berusaha tunaikan KEHENDAK pasangan.
Suami isteri setiap hari puji pasangan, ucap terima kasih, sayang, rindu kepada pasangan. Luangkan masa untuk dengar setiap keluhan, masalah pasangan. Jadi pendengar yang setia setiap perkongsian.
Tuan puan. Banyak bagi masa untuk berdoa. Mengadu segalanya kepada Allah, tiada sesiapa pun dapat selesaikan masalah kita kecuali Allah. Tiada siapa pun dapat tenangkan hati kita kecuali Allah. tiada sesiapa pun dapat bahagiakan kita kecuali Allah.