Janganlah melampau-melampau ketika bergaduh.
Disini saya ingin menyenaraikan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh suami isteri dalam kehidupan rumah tangga mereka, yang dinyatakan oleh Ustaz Dato Kazim Elias dalam bukunya, Duhai Wanita Permaisuri Hati
Ingat, ada lapan perkara apabila suami isteri bertengkar, jangan sesekali menyebutnya!
1. JANGAN MENYEBUT DAN MELIBATKAN IBU BAPANYA
Kita hanya bergaduh dengannya dan bukan dengan ibu bapanya.
Maka jangan sesekali menyebut sesuatu yang boleh menghina ibu bapanya. Ucapan seperti. “Menyesal aku terima pinangan mak ayah hang dulu..” atau “Mak dengan anak serupa sahaja perangainya..” adalah antara ucapan yang sangat ditegah.
Ucapan-ucapan seperti itu adalah suatu penghinaan terhadap pasangan kita dan ibu bapanya.
Melibatkan ibu bapa dalam pergaduhan akan menyebabkan pasangan yang dihina ibu bapanya itu akan menjadi bertambah berang dan perkara yang lebih buruk mungkin terjadi.
2. JANGAN SESEKALI MENGUNGKIT SETIAP PEMBERIAN YANG KITA BERIKAN.
Pasangan suami isteri yang diikat dengan ikatan pernikahan yang sah dan suci ini biasanya sudah bersatu hati untuk saling bekerjasama dan bantu-membantu dalam mengukuhkan rumah tangga yang dibina.
Antaranya dengan menunjukkan kasih sayang dan memberikan barangan bersifat material kepada pasangan.
Ada masanya kita belanja pasangan kita sepasang baju, memberi bunga atau apa-apa sahaja yang menggembirakan hatinya.
Jadi jangan ungkit terhadap apa yang kita pernah berikan kepada pasangan.
Jangan sesekali katakan padanya, “saya belikan abang baju yang mahal dulu, itu pun tak reti nak jaga..”atau “Tak kenang budi, orang dah tolong banyak pun dia membebel lagi..”
Perbuatan itu hanya akan mengguris perasaannya dan menunjukkan ketidakikhlasan kita ketika memberikannya dahulu.
Perbuatan mengungkit juga hanya akan merugikan pahala kita.
3. JANGAN SEBUT KITA INGIN MENINGGALKANNYA.
Gaduh-gaduh pun, janganlah sesekali kita berkata kepadanya bahawa inilah kali terakhir kita berjumpa dengannya dan selepas ini kita tidak mahu menemuinya lagi.
Jangan cakap seperti itu.
Ini seolah-olah kita sudah tidak mahukan pasangan kita lagi.
Terguris hati pasangan jika mendengar kata-kata seperti, “kalau abang tahu sayang buat macam tu lagi, sayang tak akan jumpa abang lagi..” atau “Perangai awak ni buat saya nak kawin lagi sorang dengan orang lain tau tak?!..”.
Jangan perbesarkan pergaduhan kita dengan kata-kata seperti ini.
4. JANGAN BERTENGKAR DEPAN ANAK-ANAK
Kalau pun kita tengah bergaduh, janganlah bertengkar dihadapan anak-anak.
Bimbang ia akan menjadi contoh yang tidak baik kepada mereka.
Ada suami yang mencengkam rambut isteri dihadapan anak-anak. Kemudian kepala isteri digoncang-goncang dan didera dengan pelbagai tindakan lagi.
Jangan lakukan ini dihadapan anak-anak. Tapi tidak bermakna kita boleh lakukan secara sembunyi-sembunyi pula.
Tindakan ini akan dilihat oleh anak-anak sehingga boleh membentuk persepsi dalam minda mereka bahawa semua lelaki itu jahat. Atau bila perempuan buat salah maka lelaki boleh berkasar dengannya.
Bahkan, ia juga boleh mengganggu emosi anak-anak sehingga menyebabkan mereka fobia untuk berumahtangga kelak.
5. JANGAN MENGANGKAT TANGAN ATAU MEMEGANG SEBARANG OBJEK
Jangan sesekali kita mengangkat tangan untuk tujuan memukul isteri kita.
Begitu juga dilarang menggunakan apa-apa objek untuk memukul, ia akan menambah keretakan rumahtangga, malah boleh menjadi kes dera tanpa kita sedar.
Jika seorang suami suka mendera isteri, itu bermaksud dia bukanlah pasangan yang baik. Bahkan dia bukanlah pasangan yang kuat, kerana orang yang kuat adalah orang yang mampu manahan sabar.
Sebagai ketua keluarga, kita kena pandai mengawal keadaan, bukannya menyumbang kepada hubungan yang makin teruk.
6. JANGAN SEBUT KEKURANGAN PASANGAN
Janganlah kita menghina isteri atau suami untuk apa tujuan sekalipun ketika bergaduh.
Lebih-lebih lagi yang dihina itu adalah bahagiaan anggota tubuh badannya. Ini perkara sensitif buat pasangan.
Sewaktu kita bersetuju bernikah dengannya, bermaksud kita juga setuju untuk menerima kekurangan yang ada pada dirinya.
Walaupun kekurangan itu wujud selepas perkahwinan, kita harus menerima isteri seadaanya.
Sentiasa ingatkan diri untuk mengawal lidah sewaktu bergaduh.
Bak kata orang tua-tua, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
7. JANGAN TINGGIKAN SUARA SEHINGGA RAMAI ORANG DENGAR
Ketika bergaduh, jangan sesekali meninggikan suara dengan tujuan menengkingnya sehingga ramai yang boleh mendengar.
Perbuatan itu hanya akan memalukan dan menjatuhkan maruahnya dihadapan semua orang. Lebih-lebih lagi ditempat awam.
Jagalah maruah pasangan kita. Maruah dia, maruah kita juga. Ia ibarat membuka pekung dan kelemahan kita dalam hidup berumah tangga.
Pasangan yang ditengking itu pasti akan terasa dengan kita. Bahkan akan menjatuhkan dirinya daripada kita.
8. JANGAN BERGADUH DALAM TEMPOH YANG LAMA
Jangan memanjang-manjangkan pergaduhan.
Jangan lama-lama bertengkar, cukuplah hanya untuk sementara waktu.
Sudah habis bergaduh, berdamailah. Kadang-kadang kita perlu buat tidak tahu sahaja yang kita baru bergaduh.
Pujuklah pasangan kita dengan kata-kata yang menyejukkan jiwa.
Memanjangkan pergaduhan tidak dapat mengubah keadaan. Sebaliknya dengan bertenang dan berdamai itu lebih baik untuk membaiki hubungan atau masalah yang menimpa pasangan.
Maka, jangan kita sengaja merosakkan rumah tangga yang dibina dengan perbuatan yang melampau ketika bergaduh.
Jangan juga kita hanya bergaduh semata-mata untuk mahukan perhatian daripada pasangan.
Penutup: Wujudkan rumahtangga yang harmoni
Walaupun perkara ini adalah asam garam kehidupan rumah tangga, hendaklah kita mengawal emosi dan amarah kita.
Jika kita mahukan anak yang sihat akhlak dan rohaninya, maka perkara ini sebenarnya bermula daripada kita sendiri, ibu bapa.
Kerana anak-anak belajar dari pemerhatian kelakuan ibu bapa mereka.
SUMBER : tudungsicomel.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI