Hubungan

Hidup Bermula Umur 40an, Kurangkan 8 Perkara Ini Untuk Kekal Bahagia

Share

Kata orang, hidup bermula umur 40an, jadi masa ini anda perlu kuatkan mental dan fizikal untuk berdepan dengan ujian yang kadang menyinggah.

Baik dari sudut kekeluargaan atau persahabatan dan pekerjaan, semuanya saling berkait.

Seperti ayat yang sering diungkap, “Life Begins at 40”, perlu anda sedar kita akan mula mengalami banyak perubahan fizikal, mental, fisiologi, dan sosial.

Hidup Bermula Umur 40an, Kurangkan 8 Perkara Ini Untuk Kekal Bahagia

Ini seperti yang dikongsikan oleh Siti Suryani Yaakop yang merasakan semakin berusia membuatkan seakan badannya terasa berbeza daripada sebelum mencapai usia 40 tahun. Menangani masalah tersebut, turut dikongsikan beberapa perkara yang perlu dikurangkan olehnya.

Ini perkongsiannya dan semoga bermanfaat untuk semua.

Hari tu ada borak dengan suami. Saya kata kenapa semenjak masuk 40 ni, badan saya ni macam auto habis bateri.

Kawan-kawan yang nak masuk 40 pun mula kata benda yang sama. Cepat rasa penat. Kadang pula sensitif ya amat.

Memang begitu agaknya. Orang kata krisis pertengahan usia. Pemula pada usia yang nak masuk matang dan empuk macam orang selalu cerita. Untuk kekal matang dan empuk tu banyak benda kita kena KURANGKAN pada pandangan saya.

  1. Kurangkan makan.

Oleh sebab badan kita ni dah menua. Begitu juga organ di dalamnya. Keperluan badan pun dah makin berbeza. Makan sekarang sekadar cukup nak bagi tenaga. Tak boleh dah lagi nak disumbat selagi ada.

  1. Kurangkan berkawan.

Bukanlah semua kena tinggalkan. Mana baik kita simpan. Mana toksik kita maafkan. Lepas tu lupakan. Kemudian alihlah perhatian. Waktu begini kena cari kawan yang selalu ingat mengingatkan. Bahawa dunia ini bukanlah tempat berkekalan. Dan sering nasihat kita untuk terus sediakan bekalan.

  1. Kurangkan membeli.

Saya perasan umur begini kita mula mengerti. Mungumpul barang tu dah tak perlu lagi. Semakin banyak barang semakin semak kita tengok sana sini. Lagi pula kita dah tahu barang tak pakai akan jadi beban di sana nanti. Berapa banyak rupanya dulu wang kita terbazir atas nama hobi. Dan sebab kita minat nak kumpul koleksi.

  1. Kurangkan bercakap.

Benda ni senang saja untuk suami. Untuk saya memang kena berlatih lagi. Kata Ustaz kalau nak kurangkan bercakap banyakkan berzikir di mulut dan hati. Bila semakin banyak ia terisi, semakin kurang rasa nak bercakap perkara yang tak mendatangkan erti.

  1. Kurangkan komplen.

Selama ni saya selalu perhati. Ada dua jenis orang saya pernah temui. Satu yang hidupnya suka sangat memuji-muji. Semua orang dan semua benda sentiasa memberi erti. Orang begini saya lihat sentiasa disayangi. Tapi ada juga yang gemar komplen tak henti-henti. Seakan semua benda tak beri kebaikan buat diri. Orang begini pula selalu orang lain hindari. Apa kita nak jadi nanti. Pandai-pandailah pilih sendiri.

  1. Kurangkan ekspektasi.

Nak rasa apa ni adalah atas pilihan kita. Ikhlaskan semuanya walau balasannya kadang tak seberapa. Tak pun kadang memang langsung tak ada. Kita baik sebanyak mana pun sentiasa ada yang tak suka. Selagi banyak mengharap balas atas segala usaha, semakin sakit jadinya hati saat diuji rasa. Tapi begitulah kaedahnya. Lillahitaala tu tak semudah berkata-kata.

  1. Kurangkan kerja.

Dulu kita ingat kerja ni lah yang bagi rezeki. Lagi banyak kerja lagi banyak duit kita nanti. Lalu kita kerja dan kerja tak berhenti-henti. Tak perasan satu masa anak dah besar dan pasangan dah tak sekuat dulu lagi. Tapi sekarang dah mula pandai bahagi-bahagi. Kita tahu bila nak kerja dan bila nak luang masa berkualiti. Kita nak menang dua-dua tak nak ada satu yang kita rugi.

  1. Kurangkan anxiety.

Nak hilangkan anxiety boleh cuba ikut pesan Ustaz Wadi. Yang dah lepas belajar lupa apa yang jadi. Yang akan datang jangan fikir begitu teliti. Jadi manusia kita cuma usaha sepenuh hati. Apa saja yang datang kemudian nanti itulah kita punya rezeki. Baik atau buruk sentiasa jadi rahsia yang sering menguji.

Begitulah kehidupan, ada fasa-fasa tertentu yang akan kita lalui. Namun terpulang pada diri kita macam mana nak sambut dan raikan perubahan yang datang menyinggah.

Published by
Nadia