Hubungan Jarak Jauh, Anda Boleh Cuba Tips Ini Untuk Merasa Dekat Sentiasa

Share

Langit tidak selalu cerah berpanjangan lebih-lebih lagi semasa anda sedang dilamun cinta. Baru saja kahwin, anda dan pasangan terpaksa menghadapi satu cabaran apabila si dia terpaksa di tukarkan ke tempat kerja  sementara waktu. Jadi, anda dan pasangan akan menghadapi situasi hubungan jarak jauh. Namun, adakah ia mudah? Jangan risau anda boleh lihat tips yang kami telah sediakan ini.

Selalu berkomunikasi

Komunikasi merupakan perkara yang paling penting dan kunci utama sebuah perhubungan. Jika duduk berjauhan, pastikan anda selalu berkomunikasi dengan pasangan anda. Tetapi janganlah terlalu melekat nak bercakap di telefon 24 jam sampai pasangan nak pergi buang air pun tidak boleh. Dia juga perlukan masa untuk dirinya.

Buat aktiviti bersama-sama

Walaupun anda berada di dua lokasi berbeza, namun anda masih boleh melakukan aktiviti bersama-sama. Contohnya anda boleh bermain game online, menonton Youtube, menyanyi karaoke Smule walaupun suara tak sedap ataupun beriadah di luar sambil membuat panggilan video. Selain itu, anda juga boleh membeli-belah secara online bersama-sama dan belikan hadiah istimewa untuk dihantar kepada pasangan. Dengan teknologi, tak susah sangat dah untuk menjadi lebih kreatif dalam perhubungan.

Luaskan topik perbualan

Berikan cadangan pada pasangan untuk membuat perkara yang lebih kurang sama. Sebagai contoh, anda berdua suka menonton rancangan Korea. Cadangkanlah pasangan untuk menonton sesuatu rancangan menarik yang pasti digemari, kemudian anda berdua akan punya lebih banyak topik untuk dibincangkan.

Ketahui bila anda berdua dapat bertemu

Apabila hidup berjauhan, anda perlu ada sasaran dan perancangan. Ketahui bila pasangan akan pulang, sama ada dalam masa 1 bulan atau 6 bulan. Bila anda ada sasaran, anda akan sentiasa berasa teruja mempunyai sesuatu yang amat ‘dialu-alukan’ kedatangannya. Pejam, celik, sedar tak sedar dah bertemu kembali.

Sentiasa jujur

Jujurlah mengenai perasaan sebenar anda. Luahkan segala perasaan takut, curiga, cemburu, simpati dan sebagainya. Sekiranya anda menyembunyikan perasaan sebenar, lama-kelamaan ia akan memakan diri sendiri. Jangan sesekali cuba mengendalikan masalah sendirian. Kongsilah dengan pasangan dan anda akan berasa amat lega kerana mendapat sokongan padu daripadanya. Sekiranya ada masalah dalam perhubungan, cuba atasi segera sebelum lebih melarat. Jangan sampai masing-masing tidak berhubungan secara berpanjangan. Takut ada yang gigit jari nanti.

 

Published by
NanyRahman