Apa hukumnya sesetengah AJK dan orang ramai mengambil banyak-banyak dan bawa balik makanan yang disedekahkan orang untuk Jemaah masjid, dan menafikan hak orang yang datang kemudian?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Dalam masyarakat kita, seringkali kita lihat fenomena memberi sedekah dengan meletakkan barang sedekah itu di masjid atau surau. Budaya baik ini telah memberikan manfaat yang banyak kepada orang ramai. Antara barang yang sering disedekah orang ialah barang makanan. Pemberi sedekah akan meletakkan barang sedekahnya itu di sudut masjid dan memaklumkan niat sedekahnya kepada ahli-ahli jawatankuasa masjid. Umum mengetahui bahawa orang fakir dan miskin adalah layah untuk menerima sedekah seperti mana firman Allah ﷻ:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin,”
(Surah al-Taubah: 90)
Adapun bagi orang kaya, atau orang yang tidak memiliki keperluan mengambil sedekah sunat itu, maka kami telah menjawabnya dalam Al-Kafi #1397 : Hukum Memberi Sedekah Kepada Orang Kaya. Kesimpulannya, diharuskan mereka mengambilnya jika mereka tidak meminta-minta atau berebut-rebut mendapatkannya. Ertinya, jika mereka mengambil sedekah maka sedekah itu menjadi haknya untuk dimakan. Ini dikuatkan dengan kaedah fiqh yang menyebut:
كُلُّ مَنْ سَبَقَ إِلَى مُبَاحٍ فَهُوَ أَحَقُّ بِهِ
Maksudnya: “Setiap orang yang mendahului pada perkara-perkara harus, maka dia yang paling berhak terhadap perkara tersebut”
Rujuk al-Bayan fi al-Mazhab al-Syafie (7/508)
Sheikh Abdul Muhsin al-Zamil Hafizahullah mengatakan: “Kaedah ini meliputi banyak perkara…antaranya ialah yang mendahului orang lain di tempat-tempat awam” Rujuk Syarah Qawaid as-Sa’diyyah (1/179-180)
Kaedah ini diasaskan daripada hadis-hadis yang semakna dengannya seperti juga hadis yang diriwayatkan oleh Asmar bin Mudharris RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ سَبَقَ إِلَى مَا لَمْ يَسْبِقْهُ إِلَيْهِ مُسْلِمٌ فَهُوَ لَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mendahului pada perkara-perkara yang tidak didahului oleh orang Islam yang lain, maka dia berhak untuknya”
Riwayat al-Baihaqi (11779) dalam Sunan al-Kubra
Para ulama Syafieyyah meletakkan hadis ini dalam bab ihya’ al-mawat (menghidupkan tanah), hak penggunaan air, hak mengambil barang dan anak pungut dan lain-lain. Kami juga telah membahaskannya dalam Bayan Linnas Siri Ke-180: Fiqh Jalan Raya Sempena Hari Raya berkenaan isu memotong trafik dengan cara yang salah.
Namun jika mereka meminta-minta sedekah, maka hukumnya adalah haram. Maka orang kaya itu sebenarnya disunatkan agar menjauhkan diri daripada mengambil sedekah dan dimakruhkan ke atas mereka untuk mendedahkan diri untuk mendapatkannya.
Bahkan jika mereka meminta sedekah dengan menzahirkan dirinya sebagai seorang fakir, maka hukumnya adalah haram. Kata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdab (6/239): “Tidak dihalalkan ke atas orang kaya untuk mengambil sedekah sunat dalam keadaan dia menzahirkan dirinya sebagai seorang fakir.”
Ini berdasarkan dalil riwayat daripada bahawa Rasulullah ﷺ:
أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الصُّفَّةِ مَاتَ فَوُجِدَ لَهُ دِينَارَانِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَيَّتَانِ مِنْ نَارٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki daripada Ahli Suffah telah meninggal dunia lalu ditemui baginya dua dinar emas, lalu Nabi ﷺ bersabda: “Dua logam panas dari Neraka.”
Riwayat Ahmad (22275)
Bahkan ini selari dengan firman Allah ﷻ:
يَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ ۖ هَٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ
Maksudnya: “(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”
(Surah al-Taubah: 35)
Kemudian, Imam al-Nawawi juga menyebut pendapat ulama Syafieyyah seperti al-Mawardi bahawa diharamkan ke atas orang kaya untuk meminta sedekah. Bahkan, di sisi Imam al-Ghazali pula mengatakan haram ke atas orang yang mampu bekerja untuk meminta sedekah. Adapun permintaan sedekah daripada orang yang mempunyai hajat keperluan sedangkan dia tidak mampu bekerja yang boleh menghilangkan hajat itu adalah diharuskan dan tidak makruh.
Berkata Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Tolibin (3/343):
“Adapun jika seseorang meminta sedekah, maka berkata pengarang al-Hawi (yakni al-Mawardi) dan selainnya: Jika dia seorang yang memerlukan, maka tidak haram meminta, tetapi jika dia seorang kaya (yakni cukup) dengan harta atau pekerjaan, maka meminta itu adalah haram, dan apa yang diambil juga haram ke atasnya. Di sisi kami (Syafieyyah) adalah wajh (pendapat ashab) yang lemah seperti mana yang disebut oleh pengarang al-Kitab (al-Syirazi) dan selainnya, dan selainya dalam bab al-Nafaqah: Tidak diharamkan.”
Berkata Syeikh Taqiuddin al-Hisni dalam Kifayah al-Akhyar (ms. 196): “dan barangsiapa yang memiliki pekerjaan yang baik maka haram ke atasnya untuk meminta sedekah dan apa sahaja yang diterima daripada sedekah yang diminta adalah haram.”
Berdasarkan kenyataan dan fakta diatas, kami menyimpulkan bahawa hukum mengambil sedekah secara berlebihan terikat dengan situasi-situasi berikut:
Kami berpendapat masalah di atas berlaku atas sebab salah faham sahaja dan tidak wajar diperbesarkan. Ini kerana perbuatan seseorang yang mengambil lebih barang makanan yang disedekahkan orang boleh ditakwilkan dengan alasan-alasan seperti keperluan mendesak, ambil bagi pihak orang dan khuatir berlakunya pembaziran. Namun begitu sekiranya sudah dianggap mengambil hak orang lain seperti hak orang fakir miskin seumpamanya, maka perkara ini wajib dielakkan khususnya jika melibatk ahli jawatankuasa masjid seumpamanya. Jalan yang terbaik dalam isu ini ialah mengadakan perjumpaan dengan pihak yang bermasalah untuk mendengar penjelasan dan menasihati mereka dengan penuh harmoni dan keikhlasan. InsyaAllah suatu yang baik pasti akan terbit daripada amalan Syura dan keikhlasan. Wallahua’lam.
SUMBER : https://muftiwp.gov.my/