Saya memohon dan merayu kepada mufti untuk menyelesaikan kekusutan yang lama membekam di jiwa saya. Saya telah pun bernikah dengan gadis pilihan saya, Alhamdulillah kami telah dikurniakan dua orang anak. Pernikahan kami bahagia seperti pasangan lain. Namun begitu, ibu saya tidak menyukai isteri saya dan berkali-kali minta saya ceraikan. Ibu saya kali mengatakan beliau tidak halalkan syurga untuk saya selagi saya tidak menceraikan isteri saya.
Apakah wajib saya mentaati ibu saya dalam hal ini?
JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.
Penceraian adalah suatu perkara yang merungsingkan di negara ini. Kes penceraian meningkat naik saban tahun seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat. Kebanyakan alasan yang dikemukan adalah sangat tidak boleh diterima. Maka, perlu kita teliti persoalan ini, agar kita memahami dengan baik syariat Islam yang berkaitan dengan penceraian.
Untuk memahami isu ini, perlu untuk kita fahami dengan jelas hukum-hakam berkaitan dengan talak. Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala. Hukum talak ini sangat jelas seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma:
Maksudnya: Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”
Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197)
Namun begitu, seperti hukum pernikahan yang mempunyai hukum umum dan khusus, begitulah juga dalam masalah talak. Para fuqaha’ tetap membezakan secara khusus mengikut hal-hal berikut (rujuk al-Mu’tamad (), Nihayah al-Muhtaj():
Ads
Wajib Talak wajib dijatuhkan sekiranya telah berlalu tempoh ila’. Rujuk perbahasan ila’ dalam artikel kami sebelum ini yang bertajuk: “Al-Kafi #834: Hukum Berkaitan Men-Ila’ Isteri” Talak juga wajib dijatuhkan apabila pertelingkahan di antara suami isteri telah sampai ke suatu tahap yang paling serius. Kemudian wakil suami dan isteri melihat tidak ada penyelesaian lain melainkan penceraian.
al-Nadb atau Sunat Sunat di sini tidak membawa maksud sesuatu yang disandarkan kepada Nabi SAW, tetapi asalnya di dalam bahasa arab al-Nadb iaitu sesuatu yang diperintahkan oleh Allah namun tidak ditekankan kemestian untuk melakukannya. Sekiranya melakukan hal tersebut, akan mendapat pahala, sekiranya tidak melakukan, tidak mendapat dosa. Antara sebab yang menjadikan al-Nadb atau sunat untuk menjatuhkan talak adalah apabila isteri tidak lagi menjalankan tugasdengan baik sebagai seorang isteri, dan bertingkah-laku yang buruk. Hukumnya sunat sahaja kerana wanita yang benar-benar solehah itu umpama gagak putih, sangat sukar ditemui. Selain itu, sunat untuk menceraikan apabila suami tidak mampu memberikan hak isteri. Dalam hal ibu bapa yang minta untuk anak menceraikan isterinya telahpun disebutkan sebahagian ulama’ mazhab al-Syafie antaranya oleh Imam al-Ramli menyatakan bahawa (rujuk al-Mu’tamad (4/139-142) Nihayah al-Muhtaj (6/423):
Maksudnya: (antara perkara yang sunat menjatuhkan talak) diperintahkan kepadanya salah seorang daripada orang tuanya (suami), perintah yang tidak keterlaluan seperti kemahuan ibu bapa yang tidak munasabah dari ibu-bapa.
Makruh Perbincangan hukum makruh ini sama seperti perbincangan hukum talak secara umum yang telah disebutkan. Selain itu, sekiranya isteri tidak memerlukan lagi untuk ditanggung oleh suami seperti mampu untuk tanggung menanggung dirinya sendiri, maka termasuk di dalam hukum makruh menceraikan. Mana-mana alasan yang remeh-temeh hingga membawa kepada penceraian adalah makruh.
Harus Menjadi harus untuk menjatuhkan talak di atas sebab-sebab munasabah dari sudut pandang syarak. Namun begitu, lebih diutamakan sekiranya suami tidak menjatuhkan berdasarkan hadis yang disebutkan di atas.
Haram Talak haram dijatuhkan ketika isteri sedang haidh kecuali isteri yang belum disetubuhi, atau talak isteri yang sedang haidh dengan gantian berupa bayaran dan sebagainya maka tidak dikira haram. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya:Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya,
Surah al-Talaq: 1
Maka jelaslah idah itu tidak boleh dimulakan ketika haidh, maka hukumnya adalah haram sekiranya mentalakkan ketika tempoh haidh. Selain itu, turut haram orang yang menceraikan isteri sesudah menyetubuhinya dan merasakan isterinya akan hamil. Begitu juga talak dengan menzalimi wanita tersebut.
Ads
Dalam merungkai persoalan berkaitan tanggungjawab anak dengan ibu bapa, kami telah jawab melalui persoalan sebelum ini, melalui sebuah artikel yang kami tajukkan dengan: Al-Kafi #1114: Ibu Halang Nikahi Gadis Pantai Timur.
Dalam artikel ini telah kami bahaskan persoalan berkaitan adab seorang anak dengan ibu bapa yang mana kami nyatakan seperti berikut:
Yang terakhir, perkara yang perlu dirai’kan di dalam persoalan ini ialah adab seorang anak dengan ibu. Kami mengajak untuk kita hayati suatu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa
Ads
Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026)
Maka, seperti yang disebutkan dalam hadith di atas, selamanya seorang anak itu wajib mentaati kedua ibu bapa bagi mencapai keredhaan mereka. Namun ketaatan kepada ibu bapa itu juga mempunyai had dan batasnya seperti mana yang disebutkan dalam hadith yang lain, melalui riwayat Saidina Ali RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Tiada ketaatan dalam hal maksiat, sesungguhnya ketaatan itu dalam perkara yang maaruf (kebaikan)
Riwayat al-Bukhari (7257) Muslim (1840)
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan perbincangan di atas, kami menjawab soalan yang ditanya bahawa adalah tidak wajib untuk mentalakkan isteri apabila disuruh oleh ibu bapa sebagaimana yang diterangkan.
Sebagai umat Islam, kita perlu sering memandang sesuatu dengan mengasingkan hukum dan tanggungjawab. Mentaati dan berbuat baik kepada ibu adalah kewajipan seorang anak, maka terangkanlah dengan baik dan teruskan bersabar dengan mereka di samping mempertahankan rumah tangga yang dibina.
Jangan pula kerana tidak wajib mengikut permintaan mereka dalam menceraikan isteri dek kerana Allah SWT tidak suka akan penceraian, kita melakukan pula perkara yang haram lain, iaitu derhaka kepada mereka. Banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan rumah tangga.
Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kefahaman yang baik dalam memahami syariat-Nya seterusnya mengamalkan di dalam kehidupan. Amin.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Pertunangan adalah janji bagi kedua belah pihak iaitu bakal suami dan isteri dalam mengikat tali perkahwinan dan selalunya ia melibatkan waktu-waktu yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Antara persoalan yang selalu timbul di dalam pertunangan ini, adakah dibenarkan syarak untuk mengiklankan atau dihebahkan pertunangan tersebut sepertimana diiklankan majlis perkahwinan atau pun tidak.
Sebahagian ulama’ melihat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah suatu yang digalakkan. Ini kerana terdapat sebuah hadis daripada Ummu Salamah R.Anha yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة
Maksudnya:Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.
Riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus (1/1/27)
Disebabkan itu, sebahagian al-Malikiyyah berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Ini sepertimana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar al-Khalil yang mana al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:
Maksudnya: Adapun al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan diantara orang yang bertunang dan ahli yang ditunangnya.
Adapun sebahagian pendapat yang lain menyatakan bahawa tiada masalah iaitu dibolehkan untuk mengiklan serta menghebahkan perihal pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Hadis Ummu Salamah R.Anha yang disebutkan sebelum ini, di nilai dhaif (lemah) oleh sebahagian muhaddis.
Ini kerana terdapat perawi yang majhul (tidak dikenali) di dalam sanad hadis tersebut dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah juga tidak memberikan apa-apa komentar di dalam Mukhtasarnya (ringkasannya) terhadap Musnad al-Firdaus tersebut.
Al-Syeikh ‘Atiyyah al-Saqr Rahimahullah (wafat 1427H), mantan Ketua Lajnah al-Ifta’ al-Azhar di dalam satu soal jawab agama yang dikendalikan oleh beliau juga berpendapat bahawa tidak mengapa untuk menghebahkan pertunangan dan menurut beliau tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian.
Menurut al-Syeikh lagi, jika sahih sekalipun, yang dimaksudkan melaluinya adalah larangan untuk berlebih-lebihan dalam menghebahkan pertunangan.
Kesimpulan
Kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa perlunya agar pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan atas pinangan yang mana ianya jelas dilarang di dalam Islam.
Dengan mengiklankan pertunangan, sedikit sebanyak boleh mengelakkan dari berlakunya perkara tersebut. Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya:Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan.
Riwayat Muslim (1412)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah (wafat 676H) mengatakan bahawa hadis di atas secara zahirnya menunjukkan haramnya meminang atas pinangan orang lain sekiranya pinangan itu telah diterima dan tidak mendapat keizinan dari orang yang meminang tersebut.
Jika berlaku perkahwinan, maka sah perkahwinan tersebut namun perbuatan meminang atas pinangan orang lain itu adalah berdosa.
Tiada masalah untuk seseorang itu menghebahkan pertunagannya. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkannya serta menyambutnya seolah-olah seperti berlangsungnya majlis perkahwinan kerana pertunangan itu adalah perjanjian menuju perkahwinan dan boleh sahaja sesuatu pertunangan itu dibatalkan.
Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan itu adalah lebih dituntut dan boleh juga sekiranya seseorang itu untuk merahsiakan pertunangannya untuk aman dari berlakunya hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbulnya fitnah. Wallahu a’lam.
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidak ada orang yang tidak pernah bertengkar sepanjang hidupnya. Demikian juga kehidupan berumah tangga, tidak ada pasangan suami isteri yang tidak pernah bertengkar sepanjang usia pekahwinan mereka. Perkahwinan yang tiada pertengkaran adalah perkahwinan tanpa emosi.
Pertengkaran mendatangkan kebaikan dan keburukan. Berikut adalah panduan ringkas bagaimana untuk menghadapi pertengkaran dalam rumah tangga.
Sedarlah bahawa pertengkaran berlaku sebagai usaha untuk menyatukan selera, tujuan dan keperluan dalam kehidupan berumah tangga. Tujuannya adalah agar sesuatu yang tidak baik itu hilang dari pasangannya dalam apa jua aspek. Oleh itu usah takut berbincang. Mengelakkan perbincangan kerana khuatir akan berlaku pertengkara hanya akan menimbulkan masalah lebih besar pada masa akan datang.
Berusahalah sedaya upaya agar pertengkaran kecil tidak melarat menjadi besar dengan cara menyelesaikan masalah yang timbul sebaik mungkin. Pertengkaran kecil itu akhirnya akan menjadikan suami isteri merasa lebih akrab berbanding sebelumnya.
Jika seorang suami berasa marah terhadap orang lain yang ditemuinya di luar rumah, janganlah sesekali membawa rasa marah itu pulang ke rumah dan dihamburkan kepada isteri. Bersabarlah kerana Islam menyuruh kita bersabar.
Sekiranya pertengkaran itu tidak dapat dielakkan lagi kerana salah cara menyampaikan atau sukar untuk menerima hakikat yang terjadi, usahakanlah agar pertengkaran itu tidak membawa bencana. Perhatikan keadaan persekitaran agar tiada pihak lain terlibat dalam urusan tersebut.
Dalam pertengkaran, usahlah ungkit kelemahan pasangan sehingga seolah-olah kita saja yang baik. Dan usahlah bertengkar hanya untuk mencari kemenangan. Tetapi usahakanlah untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
Pertengkaran yang bersangkutan dengan sesuatu topik, usahlah dikaitkan dengan topik-topik lain yang tiada kena-mengena. Jika masalah-masalah lain dimasukkan juga, ia akan menjadi satu pertengkaran besar yang boleh membawa bencana.
Jangan menggunakan kekasaran semasa bergaduh. Misalnya memukul, melempar barang dan sebagainya. Cara ini tidak akan menyelesaikan masalah tetapi akan menimbulkan masalah yang lebih besar.
Gunakan bahasa yang sesuai agar kata-kata kita tidak menyakiti hati pasangan. Jika hati sakit, masalah tidak akan selesai. Sebaliknya kata-kata yang lembut akan melunakkan hati pasangan.
Jika bertengkar, usah biasakan membawa diri menyendiri dan menjauhi pasangan. Berusahalah cari jalan penyelesaian dan cuba cipta suasana yang boleh merapatkan kembali hubungan.
Jangan biarkan pihak ketiga masuk campur dalam pertengkaran. Kehadiran pihak ketiga yang hanya memihak kepada sebelah pihak akan menambah nyalaan api pertengkaran.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melihat pada kesan-kesan HIV inilah kerajaan Malaysia mengambil langkah selamat dengan mewajibkan pasangan Islam menjalani Ujian Saringan HIV bagi menjaga kemaslahatan anda dan pasangan di kemudian hari. Hal ini kerana, semua sudah tahu bahawa virus HIV ini boleh merebak kepada orang lain melalui beberapa cara. Antaranya adalah melalui persetubuhan, perkongsian jarum suntikan, penerimaan darah yang dijangkiti virus HIV dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, selain daripada melengkapkan prosedur permohonan perkahwinan ujian ini turut bertujuan membolehkan seseorang itu mengetahui status HIV masing-masing sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Jika terdapat sesuatu yang meragukan tindakan segara boleh diambil bagi mengelakkan kesan buruk berlaku.
5 Langkah Ujian Saringan HIV Yang Perlu Anda Buat
1. Kenal Pasti Klinik Kesihatan/Hospital Terdekat
Untuk makluman anda, Ujian Saringan HIV hanya boleh dilakukan di Klinik Kesihatan ataupun hospital kerajaan sahaja. Dan yang paling penting anda perlu menjalani ujian ini di negeri atau mengikut mukim masing-masing.
Sekiranya anda bekerja atau bermastautin di negeri lain terdapat beberapa tambahan prosedur yang perlu anda patuhi bagi membolehkan ujian ini diambil. Bagi memudahkan kerja anda dan pasangan, sila cari dan daftar dengan klinik kesihatan terdekat terlebih dahulu. Dan ambillah kesempatan ini untuk bertanya samada klinik tersebut ada menawarkan servis ujian HIV atau tidak. Jika perlu setkan tarikh temujanji.
2. Dokumen Yang Perlu Dibawa Ke Klinik/Hospital
Dokumen yang perlu dibawa semasa ujian ini diambil adalah kad pengenalan sahaja dan bayaran perkhidmatan yang dikenakan pula hanyalah RM1.
Murah je kan bila berurusan dengan pusat perubatan kerajaan Malaysia ni. Satu lagi, sekiranya anda berkahwin dengan warga asing sila pastikan pasangan anda membawa passport ke klinik untuk menjalani ujian saringan ini.
3. Lengkapkan Borang Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan
Apabila selesai daftar dan membuat pembayaran di kaunter, anda boleh mula melengkapkan borang Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan yang telah disediakan oleh pihak klinik.
Sekiranya anda menjalani ujian saringan ini di negeri lain sila muat turun borang ujian HIV (yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing). Apabila selesai anda akan diminta tunggu sebentar sementara nama anda dipanggil untuk menjalani ujian saringan tersebut.
4. Ujian Saringan HIV
Doktor atau MA akan menjalankan ujian saringan ini dengan menggunakan kaedah Rapid Kit Test. Darah akan diambil di hujung jari anda dengan menggunakan jarum lancet. Selepas itu anda akan diminta untuk tunggu sebentar kerana keputusan ujian ini kebiasaannya siap dalam masa 15 hingga 30 minit bergantung pada jenis kit yang digunakan oleh pihak klinik.
5. Keputusan Ujian Saringan HIV
Keputusan ujian saringan ini akan diberikan oleh pihak klinik pada hari yang sama. Keputusan boleh dilihat pada kit yang digunakan. Sekiranya terdapat single line pada kit ia bermaksud negative atau anda atau pasangan anda bebas daripada dijangkiti virus HIV.
Tetapi sekiranya keluar double line ia bermakna positif (reactive). Keputusan ini akan diberikan kepada anda untuk diserahkan kepada Jabatan Agama Daerah masing-masing untuk langkah-langkah selanjutnya.
Gambar hiasan : Tangkap Pictures
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!