SOALAN
Saya memohon dan merayu kepada mufti untuk menyelesaikan kekusutan yang lama membekam di jiwa saya. Saya telah pun bernikah dengan gadis pilihan saya, Alhamdulillah kami telah dikurniakan dua orang anak. Pernikahan kami bahagia seperti pasangan lain. Namun begitu, ibu saya tidak menyukai isteri saya dan berkali-kali minta saya ceraikan. Ibu saya kali mengatakan beliau tidak halalkan syurga untuk saya selagi saya tidak menceraikan isteri saya.
Apakah wajib saya mentaati ibu saya dalam hal ini?
JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.
Penceraian adalah suatu perkara yang merungsingkan di negara ini. Kes penceraian meningkat naik saban tahun seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat. Kebanyakan alasan yang dikemukan adalah sangat tidak boleh diterima. Maka, perlu kita teliti persoalan ini, agar kita memahami dengan baik syariat Islam yang berkaitan dengan penceraian.
Untuk memahami isu ini, perlu untuk kita fahami dengan jelas hukum-hakam berkaitan dengan talak. Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala. Hukum talak ini sangat jelas seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma:
أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ
Maksudnya: Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”
Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197)
Namun begitu, seperti hukum pernikahan yang mempunyai hukum umum dan khusus, begitulah juga dalam masalah talak. Para fuqaha’ tetap membezakan secara khusus mengikut hal-hal berikut (rujuk al-Mu’tamad (), Nihayah al-Muhtaj():
أَوْ يَأْمُرُهُ بِهِ أَحَدُ وَالِدَيْهِ: أَيْ مِنْ غَيْرِ نَحْوِ تَعَنُّتٍ كَمَا هُوَ شَأْنُ الْحَمْقَى مِنْ الْآبَاءِ وَالْأُمَّهَاتِ
Maksudnya: (antara perkara yang sunat menjatuhkan talak) diperintahkan kepadanya salah seorang daripada orang tuanya (suami), perintah yang tidak keterlaluan seperti kemahuan ibu bapa yang tidak munasabah dari ibu-bapa.
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ
Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya,
Surah al-Talaq: 1
Maka jelaslah idah itu tidak boleh dimulakan ketika haidh, maka hukumnya adalah haram sekiranya mentalakkan ketika tempoh haidh. Selain itu, turut haram orang yang menceraikan isteri sesudah menyetubuhinya dan merasakan isterinya akan hamil. Begitu juga talak dengan menzalimi wanita tersebut.
Dalam merungkai persoalan berkaitan tanggungjawab anak dengan ibu bapa, kami telah jawab melalui persoalan sebelum ini, melalui sebuah artikel yang kami tajukkan dengan: Al-Kafi #1114: Ibu Halang Nikahi Gadis Pantai Timur.
Dalam artikel ini telah kami bahaskan persoalan berkaitan adab seorang anak dengan ibu bapa yang mana kami nyatakan seperti berikut:
Yang terakhir, perkara yang perlu dirai’kan di dalam persoalan ini ialah adab seorang anak dengan ibu. Kami mengajak untuk kita hayati suatu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ, وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ
Maksudnya: Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa
Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026)
Maka, seperti yang disebutkan dalam hadith di atas, selamanya seorang anak itu wajib mentaati kedua ibu bapa bagi mencapai keredhaan mereka. Namun ketaatan kepada ibu bapa itu juga mempunyai had dan batasnya seperti mana yang disebutkan dalam hadith yang lain, melalui riwayat Saidina Ali RA bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Tiada ketaatan dalam hal maksiat, sesungguhnya ketaatan itu dalam perkara yang maaruf (kebaikan)
Riwayat al-Bukhari (7257) Muslim (1840)
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan perbincangan di atas, kami menjawab soalan yang ditanya bahawa adalah tidak wajib untuk mentalakkan isteri apabila disuruh oleh ibu bapa sebagaimana yang diterangkan.
Sebagai umat Islam, kita perlu sering memandang sesuatu dengan mengasingkan hukum dan tanggungjawab. Mentaati dan berbuat baik kepada ibu adalah kewajipan seorang anak, maka terangkanlah dengan baik dan teruskan bersabar dengan mereka di samping mempertahankan rumah tangga yang dibina.
Jangan pula kerana tidak wajib mengikut permintaan mereka dalam menceraikan isteri dek kerana Allah SWT tidak suka akan penceraian, kita melakukan pula perkara yang haram lain, iaitu derhaka kepada mereka. Banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan rumah tangga.
Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kefahaman yang baik dalam memahami syariat-Nya seterusnya mengamalkan di dalam kehidupan. Amin.