Perasaan cinta perlu sentiasa dipupuk agar rumah tangga yang dibina sentiasa mekar mewangi. Jangan biarkan rasa cinta dan sayang kian memudar kerana kesibukan tugas seharian hingga merenggangkan hubungan suami isteri. Benar rasa cinta itu penting dalam hubungan rumah tangga, tapi hanya mengucapkan “I love you” sahaja tidak mencukupi.
Perbaiki hubungan sekiranya terdapat masalah dalam hubungan rumah tangga dan jangan biarkan ia terus dingin. Amalkan rutin harian yang boleh menghangatkan kembali hubungan mesra anda berdua seperti saat pertama kali jatuh cinta. Jom kita lihat antara amalan Rasulullah SAW yang boleh dipraktikkan oleh pasangan suami isteri agar hubungan rumah tangga lebih bahagia hingga ke syurga!
1. SUKA MEMUJI
Tidak dinafikan kita semua suka dipuji. Bagaimana marah pun seseorang itu tetapi jika dipuji, pasti hatinya akan sejuk serta-merta. Nabi gemar memuji isterinya dan baginda juga suka menggunakan bahasa-bahasa yang romantis apabila berkomunikasi dengan isterinya.
Contohnya nama panggilan yang sering digunakan oleh nabi terhadap isterinya Aisyah r.a adalah “Aish” yang bermaksud ‘Hidup’ atau “Humairah” yang bermaksud ‘Yang berpipi kemerah-merahan’.
2. MELUANGKAN MASA DENGAN PASANGAN
Hanya berdua okay? Kalau dah beranak-pinak tu mintalah tolong sesiapa jagakan anak sebentar. Bawa pasangan pergi bersiar-siar, ambil angin, kongsi kegembiraan dan rasakan nikmat bahagia itu bersama. Jangan jadikan anak-anak sebagai alasan untuk tidak mempunyai waktu bersama pasangan.
Menurut riwayat lain pula, dikatakan bahawa Aisyah pernah memberitahu: “Tiba-tiba muncul beberapa orang berkulit hitam dan membuat pertunjukan di hadapan baginda Rasul s.a.w pada hari raya. Lalu baginda Rasul s.a.w mengajak aku pergi menonton pertunjukkan itu. Maka aku dibiarkan baginda Rasul menonton dari atas bahunya sehingga aku merasa puas”.
3. SUKA MEMBERI HADIAH
Hal ini mesti kaum hawa paling gembira untuk tahu. Ya, sebagai seorang suami anda harus peka dan tahu mengambil hati isteri. Jangan asyik bagi alasan “I tak tahu jadi lelaki romantik”. Jika tak tahu, sila belajar. Jangan asyik isteri saja yang perlu jaga anda secara keseluruhan.
Cukuplah dia telah mengandung dan melahirkan zuriat untuk anda, cukuplah dia dah menjaga makan dan minum anda selama mana anda telah berkahwin dengannya selama ini. Cukuplah dia telah melayan anda meskipun sedang penat tanpa menghiraukan kebajikan diri sendiri kerana suami pun turut memainkan peranan penting dalam membina kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga. Barulah wujud keadilan!
4. AMALKAN SENTUHAN
Sudah sah sebagai suami isteri, jadi tiada apa yang bisa menghalang anda dari ‘melebih-lebih’ dengan pasangan. Rajin-rajinkanlah mengucup atau memeluk atau bersentuhan dengan cara apa pun bersama pasangan. Nabi s.a.w bersabda,
“Sesungguhnya seorang suami melihat isterinya (dengan kasih sayang) dan isterinya pun melihatnya (dengan kasih sayang pula), maka Allah s.w.t melihat kedua-duanya dengan pandangan kasih sayang. Dan apabila suami memegang telapak tangan isterinya, maka dosa-dosa mereka keluar dari celah jari-jari tangan mereka”.
(Riwayat Rafi’I dari Abu Sa’id)
5. MEMBANTU PASANGAN
Bukankah sebelum berkahwin anda telah berjanji dengan pasangan bahawa anda sanggup bersusah dan bersenang dengannya? Jadi apabila salah seorang dari anda susah, pasangan yang satunya harus tampil membantu. Tidak kisah remeh mana sekalipun kesusahan itu, anda mesti bantu untuk ringankan beban pasangan. Diriwayatkan juga daripada Aisyah r.a, katanya:
Aku pernah melihat baginda Rasul s.a.w menaungi aku dari terik matahari dengan kain serban baginda sendiri, kerana pada ketika itu aku sedang asyik menonton orang-orang Habsyah sedang membuat pertunjukan di masjid, akhirnya aku merasa jemu melihat permainan tersebut.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI