Ini 12 Bahasa Tubuh Anda Kena Faham Kalau Tak Nak Beli Hadiah Mahal Untuk Pasangan!

Share

Ada ketikanya kesibukan membuatkan kita sering terlupa untuk mengungkapkan rasa cinta terhadap pasangan. Kesibukan ini jika dibiarkan berlarutan boleh menjauhkan hubungan lantas menghambarkan rumah tangga.

Tidak perlu barang-barang mahal atau melakukan perkara yang rumit untuk membuktikan yang anda cintakan pasangan kerana dengan bahasa tubuh sahaja sudah cukup untuk anda mengungkapkan rasa cinta anda itu.

1. Berikan senyuman manis

Senyuman mampu menyempurnakan rasa bahagia dalam diri anda dan pasangan. Oleh itu berikan senyuman paling manis kepada pasangan bagi mengungkapkan perasaan cinta yang mendalam anda terhadap dirinya.

2. Ungkapkan sesuatu yang tidak terduga

Saat melakukan sesuatu yang tidak dirancang bersama pasangan, cuba ungkapkan kata-kata cinta terhadapnya. Misalnya saat isteri mencuci pinggan, apa kata suami ungkapkan rasa cinta dengan merangkul pinggang isteri dari belakang sambil mengatakan ‘I love you’ kepadanya.

3. Ada di sisinya ketika sakit

Seseorang yang sakit pasti memerlukan belaian dan perhatian yang secukupnya daripada pasangan. Apabila pasangan sakit, ambillah cuti untuk menemaninya. Walaupun mungkin dia tidur sepanjang hari, tapi sekurang-kurangnya dia akan berasa tenang apabila melihat anda berada di sampingnya ketika dia terjaga. Cara ini akan memberi semangat untuknya kembali sihat.

4. Luahkan perasaan dengan mata

Pandangan merupakan cara lain untuk berbahasa dan mengungkapkan perasaan. Tataplah matanya sedalam-dalamnya dengan penuh rasa cinta saat berbicara dengannya agar pasangan tahu bagaimana perasaan cinta anda terhadapnya.

5. Lakukan perkara yang digemarinya

Buktikan rasa cinta anda terhadap pasangan dengan menyokong setiap aktiviti dan minatnya. Lakukan bersama-sama perkara yang digemarinya walaupun mungkin anda kurang gemar dengan aktivitinya kerana sokongan yang anda berikan itu mampu membakar semangatnya.

6. Berikan pelukan hangat

Memeluk antara satu sama lain memberi banyak manfaat dalam rumah tangga. Ia mampu mengembalikan kenangan cinta anda berdua selain memberi hubungan yang lebih akrab sebagai tanda anda berdua saling menyayangi.

7. Berikan ciuman pagi

Sebaik sahaja bangun tidur, berikan ciuman penuh mesra kepada pasangan. Ciuman pagi sebelum memulakan hari merupakan cara untuk anda mengungkapkan rasa cinta. Mungkin dengan ciuman pagi ini boleh dilanjutkan pula dengan hubungan intim sebelum anda berdua memulakan kerja.

8. Sentiasa berikan pujian

Jangan kedekut untuk memberikan pujian atau ungkapan terima kasih kepada pasangan. Pujian bukan hanya untuk menyanjung hatinya tetapi juga sebagai tanda yang anda mengambil berat dengan perubahan dirinya, memberi pasangan lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik dan membuatkan dia percaya anda memang mencintainya.

9. Hadiahkan bunga

Bunga sering dianggap sebagai bahasa cinta untuk menterjemahkan perasaan. Pasangan akan rasa sangat berharga menerima bunga pemberian anda, apatah lagi jika anda menghadiahkannya dengan bunga kegemarannya.

10. Hulurkan bantuan tanpa disuruh

Buat kejutan yang anda menyayangi pasangan dengan menyiapkan kerjanya secara diam. Misalnya suami membuat kejutan membersihkan rumah atau masak hidangan kegemarannya ketika isteri belum pulang dari rumah. Pasti kejutan ini membuatkan isteri rasa terharu.

11. Genggam erat tangannya

Genggamlah tangan pasangan ketika jalan bersama sebagai tanda anda berdua saling memerlukan. Ataupun genggam tangan pasangan secara senyap-senyap ketika anda berdua sedang sibuk menonton tv. Pastinya sikap spontan ini menimbulkan momen romantis untuk anda berdua menikmati waktu bersama.

12. ‘Culik’ dan beri kejutan buat pasangan

Apa kata buat kerja ‘gila’ dengan ‘menculik’ pasangan dan bawa dia ke suatu tempat yang indah tanpa perlu anda dan pasangan merancangnya terlebih dahulu. Misalnya membawa pasangan ke spa untuk pasangan mendapat rawatan tubuh atau bercuti ke tempat menarik yang berdekatan.

Published by
Anis Nor