Persiapan Rohani Sebelum Berangkat Umrah. Dengan rendah hati, saya ingin kongsikan persediaan-persediaan rohani untuk bakal-bakal tetamu Allah yang mungkin seperti saya juga, yang masih merasakan diri dan jiwa masih jauh dari Allah dan Rasulullah SAW, beberapa bulan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Apa yang saya ingin kongsikan ini adalah daripada tips-tips yang diberikan oleh sahabat-sahabat yang telah menjadi tetamu di Baitullah.
InsyaAllah… semoga bermanfaat.
1. Perbaiki kualiti solat & Mencintai Masjid
Mulai dengan jaga solat 5 waktu dan kerap hadir ke masjid. Latih diri solat awal waktu, berjemaah dengan hadir ke masjid atau surau.
Boleh berlatih dengan mulakan dengan berjemaah Maghrib dan Isyak dahulu (balik kerja) kemudian upgrade kepada Zohor dan Asar berjemaah (jika ada peluang) serta Subuh berjemaah (ini yang paling mencabar).
2. Biasakan solat-solat sunat & Berdoa
Mulakan berlatih perbanyakkan solat-solat sunat Qobliyah dan Baa’diyah.
Juga biasakan solat Taubat, Dhuha, solat hajat dan solat Tahajjud jika mampu. Juga biasakan diri banyak berdoa dengan yakin di antara azan dan iqamah serta selepas solat.
Apabila kita berada di Madinah dan Mekah nanti, perkara utama dan yang paling banyak untuk kita lakukan ialah berulang-alik ke masjid untuk solat 5 waktu. Di sanalah nanti peluang untuk kita merebut ganjaran pahala 1,000 kali ganda solat di Masjidil Nabawi dan 100,000 kali ganda di Masjidil Haram.
Apabila sudah biasa dengan amalan solat awal waktu dan solat-solat sunat, insyaAllah, ia menjadi perkara yang paling dekat dan paling dicintai di hati kita untuk bangun awal sebelum Subuh, dan diikuti datang awal ke Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram setiap kali masuk waktu solat dan melakukan solat-solat sunat serta berdoa mohon kebaikan daripada Allah.
Ads
3. Belajar Bersabar dan Redha
Mulakan berlatih bersabar dan redha dengan setiap apa yang berlaku dalam aktiviti harian kita. Didik hati bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin Allah, merupakan ujian dari Allah dan Rasulullah SAW pun menyuruh kita menjadi orang yang sabar dan menahan kemarahan.
Apabila hati dah mula biasa bersabar, insyaAllah, bila sampai di Tanah Suci nanti, segala macam dugaan seperti kelewatan imigresen, masalah hotel, masalah makanan, masalah bas atau sikap-sikap jemaah lain serta kerenah pasangan pun dapat kita hadapi dengan baik.
4. Belajar Jaga Tutur Kata
Mulakan latih diri bercakap perkara yang baik-baik sahaja sama ada dalam perbualan atau media sosial. Elakkan bercakap hal-hal buruk, hal orang lain atau bergurau menyebut seolah-olah akan jadi perkara tidak elok seperti “Jauh berjalan macam ni, boleh patah kaki…!”
Setiap tutur kita adalah doa. Dan di Tanah Haram, insyaAllah… akan dimakbulkan segera apa yang kita tuturkan atau detikkan dalam hati sama ada yang baik atau yang buruk.
Apabila sudah biasa mendidik lidah kita, insyaAllah, hanya perkataaan-perkataan baik sahaja yang akan keluar dalam bicara kita di sana.
Ads
Kenapa kat Tanah Haram tak boleh cakap mulut lepas?
Contohnya :
“Tak sedap, baik takyah makan!”, boleh hilang terus selera makan hingga balik.
“Hilang pulak selipar ni nanti…”, betul hilang seliparnya.
“Nanti korang pulak sesat, baru korang tau..!”, sampai dua tiga orang lepas tu sesat pulak.
Allah nak tunjuk dan nak fahamkan kita bahawa setiap perkataan yang kita lafazkan itu ialah DOA. Jika sebut perkataan baik-baik, maka kebaikan la kita dapat.Jika sebut yang buruk-buruk, yang buruk la kita dapat.Maka, peliharalah tutur kata dan gurau senda kita. Semoga Allah sentiasa ampunkan kekhilafan kita.
5. Belajar Berbaik Sangka
Didik hati untuk berbaik sangka dengan orang lain terutamanya dengan orang minta derma, minta sedekah atau mohon bantuan.Di Tanah Haram nanti kita akan bertemu dengan macam-macam peminta sedekah. Bila hati sudah dididik berbaik sangka, jika kita menolak untuk tidak memberi sedekah pun, kita akan tolak dengan baik dan dengan senyuman.
6. Banyakkan Membaca Sirah Nabi dan Bersalawat
Timbulkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan banyak membaca sirah-sirah nabi, kisah-kisah pengorbanan nabi berdakwah menyebarkan agama Islam.
Ads
Di Masjidil Nabawi nanti, itulah peluang terbaik kita untuk berziarah makam Rasulullah SAW setiap hari selepas solat dan memberi salam kepada baginda Rasulullah SAW.Apabila hati sudah ditanam dengan kecintaan yang tinggi kepada baginda, insyaAllah…akan menitis air mata bila berziarah ke makam baginda.
7. Rendahkan hati, rasa diri banyak dosa
Kedatangan kita ke Baitullah adalah atas jemputan Allah. Kita ini hamba yang banyak berdosa. Namun, atas kasih sayang Allah, kita masih dijemputnya untuk ke sana.
Inilah peluang terbaik kita bertawaf depan Kaabah, solat taubat, solat sunat dan mohon keampunan kepada Allah, banyakkan berdoa, membersihkan diri untuk menjadi hamba-Nya dan umat nabi Muhammad yang lebih baik.
Semoga persiapan rohani kita dari awal sebelum berangkat ke Tanah Suci akan menjadikan kita benar-benar hamba-Nya yang berserah sepenuhnya kepada Allah sepanjang berada di Tanah Suci.
Tiada lain yang kita harapkan, hanyalah umrah yang mabrur serta dapat kita istiqamah dalam perkara ibadah-ibadah dan akhlak baik kita apabila kembali ke tanah air, insyaAllah…
Dan kepada sahabat-sahabat yang masih belum berpeluang ke sana, lakukanlah juga persiapan rohani seperti di atas.Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, amalan dan istiqamah kita boleh menjadi asbab untuk kita dijemput ke Baitullah.Sesungguhnya Allah itu maha kaya , dia boleh jemput kita dengan pelbagai cara dan jalan yang tidak disangka-sangka.
“Allah tidak memanggil orang-orang yang mampu, tapi Allah memampukan orang-orang yang terpanggil”.
Sumber : Hairulnizam Mat Erol
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Saat memilih bakal suami yang boleh membawa kebahagiaan dalam rumah tangga, tentu sahaja wanita ingin mencari seorang lelaki yang boleh memenuhi ciri-ciri yang diidamkan, selain membimbingnya menjadi seorang isteri dan peneman hidup yang sempurna. Dalam banyak-banyak kriteria, pastikan anda jangan tersalah pilih!
Pemilihan bakal suami penting agar hubungan rumah tangga yang bakal dibina tidak terjejas. Jika tersalah pilih, bimbang bakal suami dengan ciri-ciri ini boleh membuatkan suasana rumah tangga anda tidak tenteram, selain anda sering ‘makan hati’.
Selesai sahaja akad nikah, maka bermulalah tanggungjawab yang besar di bahu seorang lelaki dan wanita kerana detik ini anda berdua akan berkongsi hidup. Jika tidak mahu menyukarkan kehidupan rumah tangga, pastikan anda jauhi 10 ciri-ciri bakal suami ini.
1. Lelaki Yang Tidak Beriman
Paling penting setiap wanita tentu impikan seorang bakal suami yang cukup solat dalam sehari, boleh menjadi imam dalam solatnya, seorang yang beriman dan sempurna agamanya. Ciri-ciri ini penting agar bakal suami tersebut boleh menjadi seorang ketua keluarga yang boleh membimbing isteri dan keluarganya ke jalan yang diredai.
2. Lelaki Yang Tidak Serius
Dalam menjalinkan hubungan pasti setiap pasangan ingin mengakhirinya dengan sebuah ikatan yang halal. Jika bakal suami yang anda cintai sering mengelak pertanyaan anda untuk mengakhiri hubungan ini ke satu ikatan yang halal padahal anda berdua sudah lama bercinta dan susah bersedia, sebaiknya anda segera angkat kaki. Terang-terang dia jenis lelaki yang tidak mahu ada komitmen yang lebih serius dan hanya ingin mempermainkan cinta anda.
3. Lelaki Yang Pemalas
Elakkan diri anda daripada menjalinkan hubungan dengan jenis lelaki yang tidak tahu menguruskan dirinya, tidak bercukur, tidak menggosok pakaian ketika anda berdua bertemu janji, rambut dan badan berbau, sering ponteng kuliah ataupun kerja, kenderaannya yang kotor dan sebagainya. Bimbang jika berkahwin nanti segala tanggungjawab diserahkan bulat-bulat kepada anda seorang dalam menguruskan rumah tangga dan dirinya kerana menganggap semua kerja tersebut merupakan tugas seorang isteri sahaja.
4. Lelaki Kaki Pukul
Ada sebahagian wanita yang masih berhubungan dengan teman lelakinya yang kaki pukul gara-gara cinta dan sayang terhadap teman lelakinya. Ingatlah wahai wanita, jika sebelum berkahwin pun teman lelaki anda sudah bertindak memukul anda, bagaimana pula setelah berkahwin nanti. Jangan kerana sayang ataupun takut ditinggalkan lelaki sebegini, anda sanggup diperlakukan sedemikian rupa. Takut apabila sudah berkahwin nanti, saban minggu anda bakal menjadi pelanggan tetap hospital kerana dipukul teruk oleh suami.
5. Lelaki Yang Tiada Toleransi
Lelaki sebegini hanya menganggap dirinya sahaja yang betul. Baginya pandangan dan idea orang lain semuanya salah. Sebenarnya dalam menjalinkan hubungan haruslah ada toleransi antara kedua-dua pasangan agar hubungan yang dibina berjalan dengan lancar. Mana ada wanita yang tahan jika dia sering dimarahi teman lelakinya gara-gara pendapat yang dilontarkannya dianggap salah dan berlainan daripada pandangan teman lelaki anda. Silap hari bulan, setiap kali berjumpa pasti anda berdua bercakaran pendapat.
6. Lelaki Panas Baran
Ciri lelaki yang satu ini juga harus anda elak dalam memilih bakal suami. Lelaki yang panas baran tentu sahaja mudah mengamuk apabila berlaku sesuatu perkara. Ternyata ciri-ciri ini tidak sesuai untuk dijadikan bakal suami kerana bimbang apabila berkahwin nanti apa sahaja yang isterinya lakukan boleh mendatangkan kemarahannya tanpa dia siasat terlebih dahulu. Malah ciri panas baran ini jika tidak dikawal boleh membawa kepada aksi memukul.
7. Lelaki Yang Suka Membangga Diri
Elakkan bakal bakal suami jika dia seorang yang sombong dan sering membanggakan dirinya apabila bercakap dengan anda ataupun apabila bercakap dengan rakan-rakannya. Lebih parah jika dia seorang yang kaya, kacak, mempunyai karier yang bagus, gaji yang lumayan dan kereta yang mewah, lagi berlagaklah jadinya. Jika hubungan ini diteruskan takut di kemudian hari nanti rumah tangga yang anda bina tidak harmoni.
8. Lelaki Yang Kedekut
Jika saat menjalinkan hubungan pun bakal suami anda itu berkira dalam membelanjakan sesuatu atau sering menyuruh anda membayarkan untuknya, sah dia seorang yang kedekut. Untuk menjadi seorang suami mana boleh ada ciri-ciri kedekut. Ini kerana apabila sudah berkahwin nanti menjadi tanggungjawab suami sebagai ketua keluarga untuk menyediakan nafkah secukupnya kepada isteri dan anak-anaknya.
9. Lelaki Yang King Control
Lelaki yang king control selalunya seorang yang kuat cemburu. Apa sahaja yang anda hendak lakukan, haruslah memberitahunya dan mendapat keizinannya terlebih dahulu. Diri anda seolah-olah dikawal sepenuhnya oleh lelaki sebegini kerana menganggap anda miliknya. Malah dia akan menghubungi anda setiap masa untuk mengetahui anda berada di mana dan dengan siapa anda ketika itu. Kalau beginilah bakal suami anda, larikan diri sebelum terlambat.
10. Lelaki Yang Penakut
Ciri yang ini juga jangan dipandang ringan. Lelaki yang penakut dan tidak berani untuk mempertahankan anda, buat apa ingin anda jadikan calon suami. Sebagai bakal suami, lelaki haruslah berani kerana dia bakal menjadi pelindung dan harapan kepada isteri dan anak-anaknya nanti jika berlaku sesuatu perkara.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terdapat sebilangan isteri yang diminta untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah apabila disuruh suami. Suami membuat keputusan tersebut apabila kesukaran mencari pengasuh anak.
Namun, ada cabaran yang perlu anda tahu apabila menjadi suri rumah ini iaitu menjaga dan mendidik anak-anak yang kian membesar. Mari kita teliti apakah lagi cabaran lain yang harus ditempuhi jika memilih menjadi suri rumah.
1.Jam kerja yang lebih lama berbanding kerja di pejabat
Menjadi ibu atau bapa yang tidak bekerja memerlukan perhatian 24/7 setiap hari. Malah anda juga tidak mempunyai sebarang cuti tahunan, cuti sakit, dan tidak ada gaji mahupun bonus, tapi anda hanya diberikan wang nafkah dari suami dan wang perbelanjaan dapur setiap hari.
2. Penat dengan tugas rumah yang tidak pernah habis
Ramai orang menggangap suri rumah tangga tidak banyak kerja dan hanya melayan anak-anak saja. Lebih sadis, bila ada yang kata boleh goyang kaki setiap hari. Selain jaga anak, suri rumah tangga juga perlu melakukan kerja rumah seperti memasak, membasuh, membersihkan rumah, seterika pakaian anak-anak yang bersekolah dan pakaian kerja suami.
3. Tidak boleh menikmati hidangan dengan rasa selesa
Apabila bersama anak kecil di rumah kemudian dia melihat ibunya makan atau minum, mesti mereka cuba mengganggu. Kadang-kadang, ibu terpaksa makan sorok-sorok supaya tidak dikacau oleh anak.
4. Mengurangkan kehidupan sosial
Oleh kerana terpaksa memberi tumpuan kepada tugas menjadi suri rumah tangga maka anda terpaksa mengorbankan masa untuk bersosial bersama rakan-rakan anda. Namun anda selamat sebab sekarang ada Facebook, Instagram, Twitter dan Whatsapp yang memudahkan pergaulan kalian dengan teman lain.
5. Sukar menyesuaikan diri apabila bekerja kembali
Tidak mudah untuk kembali bekerja dan sedikit sukar untuk menyesuaikan diri di tempat kerja baru kerana anda perlu seimbangkan antara masa bekerja dan keluarga. Selain perlu meneliti semula kemahiran kerja yang sudah ditinggalkan dalam tempoh masa yang sangat lama kerana menjadi suri rumah tangga buat seketika cuma.
Sumber : The asian parent
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap pasangan tentu saja ingin menjalin hubungan cinta yang penuh dengan kebahagiaan, harmoni dan juga sejahtera buat selamanya. Namun alam percintaan tidak seindah yang disangka. Kadangkala ia dilanda ombak dan badai demi menguji keutuhan sesebuah hubungan itu.
Dalam hubungan cinta, sikap saling hormat-menghormati perlu ada bagi membentuk hubungan yang lebih erat. Jangan biarkan sengketa dalam perhubungan membuatkan hubungan yang dibina musnah begitu saja.
Oleh itu, jom kita lihat 7 tip berguna dan berkesan bagi membuatkan hubungan cinta kekal harmoni dan sejahtera!
1. TERIMA PERBEZAAN PASANGAN
Kadangaka, kita merasa sukar untuk menerima semua kekurangan dan perbezaan yang dimiliki oleh pasangan. Namun, cubalah anda belajar untuk menerima perbezaan tersebut dan jadikan ia sebagai satu kelebihan. Jika anda memandang satu kekurangan atau perbezaan itu sebagai satu kelebihan, pasti anda akan menerima pasangan anda seadaanya.
2. SENTIASA BERKOMUNIKASI
Komunikasi amat penting dalam sesebuah hubungan. Sekiranya ada perselisihan faham, bawalah berbincang dan selesaikannya dengan baik. Jangan sesekali biarkan perasaan yang terpendam di dalam hati terbuku dan dibelenggu kerana ia boleh merosakkan hubungan cinta anda. Oleh sebab itulah komunikasi amat penting dalam membentuk hubungan yang harmoni dan sejahtera.
3. JANGAN SUKA SALAHKAN PASANGAN
Jika terdapat salah faham antara anda dan pasangan, jangan cepat melatah dengan menyalahkan pasangan anda. Biasanya, tindakan menyalahkan pasangan dilandasi dengan rasa emosi tanpa berfikir panjang. Jika anda dan si dia sedang bertengkar, cubalah selesaikan masalah anda secara baik tanpa melibatkan emosi yang melampau.
4. DIAM KETIKA BEREMOSI
Pertengakaran seringkali melibatkan emosi yang tidak stabil. Mulalah kata-kata kasar terpacul dari bibir. Jika anda berada dalam keadaan ini, anda harus sedar bahawa emosi tidak boleh menyelesaikan masalah. Sebaiknya, kawal amarah dan emosi anda dengan mengingati momen-momen ketika anda sedang hangat bercinta. Contohnya saat pertama si dia mengatakan kata-kata “aku cinta padamu”.
5. SALING MENJAGA PERASAAN
Hindari setiap perkataan yang boleh menyinggung perasaan pasangan anda, terutama ucapan-ucapan sensitif. Untuk mengetahui perkara-perkara yang dapat menyinggung perasaan kekasih atau pasangan, anda boleh belajar dari sikap pasangan ketika anda sedang berbicara.
Masalah ini lama kelamaan akan membuatkan anda faham dengan sendirinya tentang apa saja perkara yang disukai pasangan dan sebaliknya. Dengan cara begitu, pasangan akan merasa diperhatikan dan hubungan senantiasa akan tercipta dengan romantis dan harmoni.
6. SERING IMBAU KENANGAN INDAH BERSAMA
Mengenang kembali kenangan indah yang pernah anda lalui bersama adalah sebuah trik jitu untuk membuat hubungan tetap harmoni dan sejahtera. Dengan mengenang atau mengingat segala bentuk kejadian indah masa lalu maka secara tidak langsung perasaan cinta akan kembali mekar. Perkara ini boleh menambah rasa cinta anda terhadap pasangan.
7. JANGAN PAMERKAN MASALAH ANDA KEPADA KHALAYAK
Jangan sesekali mempamerkan atau mendedahkan masalah anda kepada umum kerana ini boleh menjejaskan lagi hubungan cinta anda dan pasangan. Sekiranya ada masalah, cuba selesaikan perkara tersebut tanpa melibatkan orang lain. Media sosial seperti facebook, twitter dan instagram pada masa ini sering menjadi platform pasangan bagi meluahkan perasaan yang terpendam dalam hati dan sanubari. Perkara ini akan memburukkan lagi keadaan dan membuka peluang kepda orang lain untuk mengambil kesempatan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!