Saat pengantin berarak menuju ke mahligai cinta, pastinya mempelai diiringi oleh pengapit yang ditugaskan untuk menjaga dan memastikan pengantin sentiasa tampak terjaga dan sempurna.
Peranan pengapit di majlis perkahwinan amat penting dan tidak boleh diambil remeh. Ini kerana pemilihan pengapit yang salah dan tidak tepat boleh menyebabkan majlis persandingan terjejas dan tidak berjalan dengan lancar.
Entri kali ini berkongsikan tip penting buat pengapit raja sehari.
BUSANA PENGAPIT
Busana pengapit lelaki dan perempuan haruslah tidak lari rona dan perlu senada. Selain itu, pastikan rona yang dipilih match dengan rona busana pengantin. Jangan sesekali memakai busana yang sarat dan melebihi pengantin itu sendiri. Cukup sekadar menyarungkan pakaian ringkas seperti kurung moden, kebaya mahupun dress ringkas untuk dijadikan pilihan.
DATANG AWAL KE LOKASI
Pastikan anda tiba awak ke lokasi ataupun rumah pengantin. Datang sekurang-kurangnya 1 jam awal sebelum majlis berlangsung. Sebaiknya tinggal berhampiran rumah mahupun lokasi perkahwinan agar memudahkan urusan anda dengan pengantin.
TAHU TUGAS PENGAPIT
Sebelum anda bersetuju untuk menjdai pengapit, pastikan anda mengetahui tugas-tugas seorang pengapit. Tugas pengapit bukan sahaja mengiringi mempelai ke atas pelamin, namun anda perlu menjaga pengantin dari semua aspek seperti mengurangkan gementar pengantin, Menarik kerusi ketika sesi makan beradap, kipas mereka semasa bersanding, mengelap peluh dan sebagainya. Ibaratnya anda perlu melayan mereka seperti raja dan permaisuri untuk satu hari.
BAWA SPONGE MAKEUP
Hal ini amat penting bagi pengapit untuk membawa sponge makeup untuk mengelap peluh mempelai. Perkara ini mungkin nampak remeh, namun perlu dititikberatkan agar penampilan mempelai sentiasa terjaga. Jagan sesekali menggunakan tisu kerana mungkin akan menyebabkan solekan mempelai terjejas. Anda boleh meminta sponge tersebut daripada jurusolek yang menatarias pengantin.
SENTIASA SENYUM
Pastikan anda sentiasa melemparkan senyuman manis ketika menjadi pengapit. Berikan senyuman seikhlas mungkin kerana selain pengantin, tetamu juga akan melihat anda ketika mengiringi pengantin ketika bersanding.
Harus diingatkan, jangan tinggalkan pengantin sebaik sahaja pengantin bersanding. Tugas anda adalah sehingga selesai majlis, Sekiranya pengantin mempunyai sesi bergambar outdoor, sebaiknya anda ikut sekali agar dapat membantu pengantin dan jurugambar melancarkan sesi fotografi tersebut.
JAGA PENAMPILAN ANDA
Anda harus tampak kemas dan mengikuti tema majlis perkahwinan yang telah ditetapkan. Pastikan penampilan anda tampak cantik dan sempurna.
Bagi lelaki,Jangan sesekali memakai selipar atau pun seluar jeans ketika menjadi pengapit. Untuk wanita pula, elakkan berpakaian yang seksi dan menjolok mata. Khuatir tetamu akan memberi perhatian lebih kepada anda.