Wanita adalah adalah sebaik-baik kejadian dan mulia di sisi Allah SWT. Biarpun ketika zaman Jahiliyah kanak-kanak perempuan dibunuh, namun Islam mengangkat darjat golongan wanita. Bersyukurlah sesiapa yang dilahirkan sebagai insan istimewa ini.
Wanita yang beruntung adalah wanita yang menjaga auratnya, mentaati suami jika dia telah berkahwin, menjaga maruah dan yang paling utama, mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.
Bagi wanita yang sudah berkahwin, suami adalah sumber pahala yang paling mudah untuk dikaut setiap hari. Setiap tanggungjawab yang ditunaikan semuanya berpahala. Beruntung wanita sebenarnya.
Wanita mudah untuk menikmati syurga yang Allah jadikan asalkan dirinya melakukan perkara-perkara yang membawa seseorang wanita kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Ini merupakan lima syarat agar wanita mudah masuk syurga.
Hendaklah melaksanakan kewajipan agama. Dalam sebuah hadis riwayat al-Bazaar, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (yang bermaksud), “Jika seseorang wanita solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga”
Hendaklah seseorang wanita itu mentaati suami. Hal ini disebut dalam banyak hadis, antaranya hadis riwayat at- Tabarani, daripada Abdullah bin Salam bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (yang bermaksud): “Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkanmu jika kamu melihatnya, mentaatimu jika kau menyuruhnya dan dapat menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tidak bersamanya.
Selalu mengingati Allah. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (yang bermaksud): “Hendaklah kamu (para wanita) memperbanyak membaca tasbih, tahlil, taqdis dan hitunglah dengan ruas jari-jari kerana sesungguhnya mereka akan ditanya dan akan dijadikannya boleh berbicara. Janganlah kamu lalai sehingga melupakan rahmat Allah.”
Rajin bersolat malam. Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah رضي الله عنه dan Abu Said رضي الله عنه bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (yang bermaksud): “Sesiapa yang bangun tengah malam, kemudian membangunkan isterinya, lalu mereka melakukan solat berjemaah dua rakaat, maka mereka akan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang banyak mengingati Allah”.
Adalah berbuat baik dan banyak bersedekah. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (yang bermaksud): “Wahai semua wanita, bersedekahlah walaupun dari perhiasan kamu sekalian. Sesungguhnya kamu kelak paling banyak menjadi penghuni neraka”.
Demikianlah kelebihan seorang wanita Islam. Tidak sukar untuk wanita masuk syurga asalkan menjaga kelima-kelima perkara ini. Namun sayangnya, ramai wanita kini tidak pandai menjaga maruah diri, tidak menutup auratnya, menderhakai suami dan sebagainya. Wallahua’lam..
Sumber: bicarasantai.com