Ini Sebabnya Mengapa Perempuan Kena Tahu Memasak

Share

Mungkin kedengarannya agak klise namun itulah hakikat sebenar seorang wanita. Sekurang-kurangnya jika tidak mahir beraksi di dapur sekali pun, cukuplah sekadar mempunyai asas memasak. Tidak perlu menjadi chef yang boleh memasak serba-serbi hidangan. Tahu masak ayam masak kicap pun itu sudah dikira hebat.

Seringkali kita terdengar kata-kata berbaur sindiran seperti “perempuan, belajar tinggi-tinggi pun nanti masuk dapur jugak.” Ayat tersebut seolah-olah ditujukan kepada wanita berpendidikan tinggi atau berkerjaya supaya tidak lupa akan tanggungjawab memasak untuk seisi keluarga.

Ada yang menganggap pemikiran sebegitu tidak lagi relevan pada zaman sekarang memandangkan wanita masa kini juga keluar mencari rezeki bagi membantu meringankan beban suami.

Mungkin ada yang terfikir, restoran dan warung makanan ‘bersepah-sepah’ jadi tak perlu risau hendak fikir pasal masak memasak. Ya! Benar tetapi tak kan lah setiap hari hendak makan di luar sahaja. Tentu jemu juga. Jadi tidak ada salahnya jika luangkan sedikit masa untuk memasak hidangan buat keluarga tercinta.

Ini beberapa alasan mengapa perempuan kena tahu memasak. Kena tahu memasak ya bukan pandai memasak.

Terjaga Kebersihan & Nutrisi Makanan

Banyak kelebihan sebenarnya apabila kita tahu memasak. Bukan sahaja terjaga kebersihan penyediaan makanan  tetapi dalam masa yang sama dapat memelihara daripada segi khasiat dan nutrisi dalam makanan yang disediakan.

Alasan tidak tahu memasak tidak boleh diterima kerana banyak wadah yang boleh dijadikan panduan untuk kita belajar memasak. Mulakan dengan hidangan yang ringkas dan mudah. Apabila sudah mahir sedikit, bolehlah up grade

dengan masakan yang lebih hedat. Pokok pangkalnya kenalah anda inisiatif untuk belajar memasak.

Cuba pikat suami, anak-anak serta mertua anda dengan belajar memasak masakan kesukaan mereka. Mungkin pada awalnya rasanya agak kurang enak, tapi jika anda tidak berputus asa, anda mungkin akan menjadi sehebat Chef Anis yang jelita itu. Memang pakej. Sudahlah cantik, pandai memasak pula. Tentu suami dan ibu mertua sayang.

Pengikat Kasih Sayang Suami

Percaya tak bahawa seorang isteri mampu menawan hati suaminya dengan masakan air tangannya? Setiap suapan suami ke dalam mulutnya hasil masakan isteri tercinta akan lebih menyuburkan kasih sayang antara satu sama lain.

Jika tidak mahir memasak, belajarlah sedikit demi sedikit nescaya anda akan nampak hasilnya. Masakan air tangan isteri juga akan membuatkan suami sering terbayang-bayangkan diri anda. Jadi jika mahu hidup suami anda dibayangi diri anda maka rajin-rajinlah memasak ya!

Pikat Hati Ibu Mertua

Ibu mertua mana yang tidak gembira apabila mendapat menantu yang mahir memasak di dapur. Tentunya anda juga rasa ‘kembang’ apabila masakan anda sering dipuji oleh ibu mertua bukan? Sebenarnya tiada yang mustahil untuk dicapai asalkan kita ada usaha untuk melakukan sesuatu perkara. Sebenarnya memasak bukanlah sesuatu yang remeh jika kena dengan caranya. Luangkan masa hujung minggu untuk menyediakan bahan-bahan masakan. Jadi apabila pulang dari kerja, bolehlah anda memasak dengan cepat dek kerana semua bahan telah siap disediakan. Tinggal hendak memasak sahaja.

 

 

Published by
Hasliza