Jodoh adalah misteri yang ditentukan tuhan. Ia melibatkan adanya kesamaan antara dua insan yang punya ikatan emosi, spiritual dan fizikal untuk hidup bahagia bersama. Walaupun mungkin anda tidak dapat mengungkapkan misteri itu, namun sekurang-kurangnya anda mampu melihat tanda-tanda bahawa dia pilihan tepat untuk anda.
Oleh itu, perlu untuk anda ketahui tanda-tandanya sebelum anda memastikan dia jodoh anda. Apabila masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan benarlah dia insan yang ditakdirkan untuk hidup bersama anda, jangan sesekali pula anda melepaskan.
“Jangan takut untuk jatuh cinta. Percayalah, ada seseorang yang akan hadir dalam hidupmu, mengubah segalanya dan membuatmu tertawa bahagia…”
1. Terima anda seadanya
Apapun anda sebelum ini atau apa yang pernah anda lakukan dahulu, dia langsung tak ambil kisah kerana yang penting siapa anda sekarang. Dia sedar bahawa setiap manusia ada kelemahan dan keburukan masing-masing. Malah siapalah dia yang ingin menghukum anda atas kelemahan anda itu.
2. Bersahaja di depan anda
Dia tidak berpura-pura menjadi orang lain, bahkan selesa menjadi dirinya sendiri dan bersikap bersahaja di depan anda. Jika anda amati tingkah laku, cara pertuturan, caranya makan dan sebagainya yang menunjukkan sikapnya yang dibuat-buat atau pelik, sah dia berlakon di hadapan anda. Tapi jika dia tampil bersahaja maka benarlah dia calon hidup anda yang tepat.
Ads
3. Rasa senang apabila bersamanya
Bukan hanya dirinya, malah apabila berada di sampingnya anda tidak akan rasa jemu. Ini menandakan yang anda miliki kesamaan dengannya. Apabila ada daya tarikan antara anda berdua secara automatiknya akan muncul perasaan tenang, gembira dan rasa tidak tertekan apabila bersama. Malah kehadirannya dalam hidup anda menjadi pengubat ketika anda senang mahupun susah.
4. Sentiasa jujur dengan anda
Kejujuran merupakan kunci utama dalam membina sebuah hubungan. Selagi kejujuran bertakhta di hati, kebahagiaan akan menjadi milik anda berdua. Dengan adanya sikap jujur, hubungan yang terjalin antara anda berdua akan menjadi lebih ikhlas. Namun jika anda miliki pasangan yang tidak jujur maka akan wujud kecurangan dalam hubungan. Sebaiknya gabungkan sikap jujur dan kesetiaan bagi menghangatkan lagi sebuah percintaan yang sejati.
5. Memahami diri anda
Dia hendaklah sentiasa memahami diri pasangannya dan berada bersama anda dalam apa jua keadaan sama ada susah atau senang. Apabila anda hadapi kesulitan, dia berusaha untuk menghulurkan bantuan dan menjadi penawar pada kesulitan yang anda hadapi. Bukan itu sahaja, dia juga sanggup mengharungi ranjau duri yang anda berdua hadapi dalam hubungan.
Ads
6. Tidak malu tampilkan kelemahannya
Tiada manusia yang sempurna di dunia ini jadi tidak hairanlah jika kita punya kelemahan tertentu. Apabila dia ditakdirkan untuk menjadi pasangan anda, dia tidak akan pernah menutup kelemahan yang dimilikinya serta bersedia memberitahu anda mengenainya. Memang benar, bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan otang yang dicintai. Namun yang baiknya apabila anda berdua tahu kelemahan masing-masing, maka dari situ anda berdua boleh berusaha untuk membaiki kelemahan tersebut menjadi lebih baik.
7. Saling mempercayai antara satu sama lain
Dalam sesebuah hubungan, penting anda dan pasangan miliki sikap saling mempercayai antara satu sama lain. Ia penting bagi mengelakkan timbul rasa ragu-ragu antara anda dan pasangan. Malah apabila ada sikap percaya, hubungan yang dibina akan menjadi lebih tulus. Apabila anda berdua saling mempercayai, pastikan anda berdua akan rasa selamat memberitahu apa jua rahsia kerana anda berdua tahu rahsia itu akan tersimpan kemas dalam diri masing-masing. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran.
8. Dia menginspirasikan anda menjadi lebih baik
Kehadirannya dalam hidup anda membuatkan anda sentiasa rasa bersemangat. Sokongan positif yang sentiasa didorongkan kepada anda membuatkan anda ingin menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Hubungan yang saling menyokong antara satu sama lain ini bakal menjadikan hubungan anda berdua lebih berjaya di masa akan datang.
Ads
9. Orang sekeliling menerimanya dengan tangan terbuka
Apabila keluarga terutamanya orang tua dan kawan-kawan anda boleh menerima kehadirannya, itu petanda dia jodoh anda. Sudah tentu kehadirannya disenangi oleh orang penting yang ada di sekeliling anda. Penerimaan keluarga dan kawan-kawan anda itu sebagai bukti bahawa mereka yakin dia boleh memberikan kebahagiaan kepada anda hingga akhir hayat.
10. Dapat membayangkan masa depan bersamanya
Apabila anda sudah boleh membayangkan masa depan anda untuk hidup bersama dengannya, memang dialah jodoh anda. Biasanya kalau sesebuah hubungan itu dijalin secara serius, pasangan anda tidak ragu-ragu untuk membincangkan tentang masa depan misalnya tentang tarikh untuk berjumpa orang tua anda, merisik, bertunang dan berkahwin.
11. Dengarkan kata hati
Dengarlah kata hati anda saat anda ingin membuat keputusan untuk hidup bersama seseorang. Manusia dikurniakan Allah dengan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangan. Dengan deria ini anda akan saling mengetahui perasaan, membaca fikiran dan dapat menduga reaksi serta tindak balas pada situasi tertentu. Apabila ada keyakinan dengan pilihan anda, berdoa dan berserahlah pada ketentuan Ilahi agar jodoh yang ditakdirkan ini tepat untuk anda.
12. Lakukan solat Istikharah dan bertawakal
Jodoh dan pertemuan merupakan ketentuan Allah SWT. Jika dia pilihan anda, buatlah keputusan dengan sebaiknya. Namun jika dia bukan jodoh anda, tolaklah dia dengan sebaiknya. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepada-Nya. Teruskan berdoa dan lakukan solat Istikharah agar anda diberi petunjuk untuk membuat keputusan yang sebaiknya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Meskipun anda menyayangi pasangan itu masih belum cukup untuk mengukuhkan hubungan kerana anda masih perlu untuk terus memupuk rasa cinta agar hubungan menjadi lebih mesra dan kukuh. Ini penting bagi menjamin hubungan yang harmoni dan berpanjangan.
Pelbagai cara boleh anda lakukan untuk membuatkan rasa cinta bertambah. Nilai-nilai murni yang disemai dalam hubungan cinta akan menjadikan hubungan antara pasangan lebih erat sekali gus membawa kebahagiaan yang berkekalan.
Jom kita lihat lima cara berkesan untuk ‘ikat’ rasa cinta antara pasangan!
1. SENTIASA BERKOMUNIKASI
Salah satu cara yang paling berkesan untuk meningkatkan kualiti hubungan adalah dengan komunikasi yang baik. Kini ramai orang yang kurang berkomunikasi dengan pasangan atas pelbagai alasan sehingga boleh menyebabkan hubungan terjejas.
Sebenarnya, komunikasi dengan pasangan sangat mudah. Anda hanya perlu memberikan perhatian kepada pasangan dan sentiasa berkomunikasi tidak kira sama ada pasangan berada dekat ataupun jauh daripada anda. Salah satu cara yang sangat mudah untuk dilakukan adalah sms ataupun membuat panggilan telefon.
2. SELESAIKAN MASALAH DENGAN TENANG
Masalah memang selalu datang dalam perhubungan. Oleh itu, anda harus tenang dan santai dalam menghadapi dan menangani masalah tersebut. Kadangkala, pasangan boleh membuatkan kesabaran anda berkurangan kerana terlalu sibuk dengan hal yang tidak penting seperti melakukan hobi yang digemari ataupun bertemu dengan rakan-rakannya hingga kadang-kadang mengabaikan anda. Akan tetapi jika anda melihat perkara ini dengan tenang, maka hubungan anda akan menjadi lebih kuat.
3. BERI PERHATIAN YANG LEBIH
Sesebuah hubungan yang dijalin tanpa perhatian yang secukupnya memang sukar untuk memupuk rasa cinta yang mendalam. Oleh itu, anda harus memberi perhatian yang lebih buat pasangan. Perlu diingatkan agar anda tidak terlalu berlebihan, khuatir pasangan menjadi rimas dan bosan. Dengan adanya perhatian daripada pasangan akan membuat seseorang merasa dirinya dihargai dan disayangi.
4. ELAK SIFAT MARAH YANG BERLEBIHAN
Anda pasti sedar jika marah dengan berlebihan akan mengganggu dan menjejaskan hubungan. Anda harus kawal rasa amarah supaya hubungan yang dijalin tidak terputus di tengah jalan. Jika anda sedang marah, sebaiknya berbincang dengan baik dan tanpa ada ungkapan yang boleh membuatkan hati pasangan terluka. Sekiranya anda rasa anda adalah orang yang suka berkata secara spontan, lebih baik anda menghantar mesej buat pasangan agar dia lebih mengerti.
5. JANGAN JEMU MEMUJI PASANGAN
Apakah anda pernah memberikan pujian kepada pasangan? Anda harus memahami bahawa pujian mampu menimbulkan lebih rasa sayang dan cinta. Selalulah memuji pasangan agar dia merasakan anda betul-betul menyayangi dirinya. Sebagai contoh, berikan pujian apabila pasangan anda memakai baju baharu ataupun membuat stail potongan rambut baharu. Cara ini dapat mengukuhkan rasa cinta dalam sesebuah hubungan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kewangan adalah salah satu hal penting yang perlu dibahas secara mendalam bersama pasangan untuk pengelolaan kewangan yang efektif. Bukan menjadi perkara yang luar biasa jika pasangan bertengkar ketika masalah kewangan mulai muncul dalam rumah tangga yang baharu sahaja dibina.
Semak beberapa kesalahan yang umumnya dilakukan oleh pasangan yang baharu berkahwin sebagai panduan bagi anda dan pasangan mengatur masalah kewangan.
1. Rahsiakan situasi kewangan dengan pasangan
Merahsiakan keadaan kewangan peribadi daripada pasangan bahkan setelah berkahwin ialah kesalahan besar yang umum dilakukan oleh pasangan baharu berkahwin. Terapkanlah sistem keterbukaan dalam rumah tangga anda, khususnya mengenai keadaan kewangan masing-masing. Beritahukan pasangan anda mulai dari gaji bulan, jumlah hutang, jumlah tabungan, hutang kad kredit dan lain-lain. Selain belajar untuk jujur dan menaruh kepercayaan kepada pasangan, adanya transparansi kewangan juga akan membantu anda untuk menentukan cara terbaik untuk mengatur kewangan selepas berkahwin.
2. Elak berbicara dengan pasangan tentang kewangan
Kesalahan lain yang dilakukan oleh pasangan newlyweds adalah menghindari perbincangan mengenai kewangan kerana menganggap hal tersebut tidak menarik dan tidak perlu untuk dibicarakan. Ada banyak topik kewangan yang dapat anda bincangkan bersama pasangan sewaktu sedang santai mahupun dalam bicara yang lebih serius. Bagaimana sudut pandang pasangan dalam mengelola kewangan, bagaimana dia mengatur kewangan peribadinya selama ini, dan bagaimana pemikiran satu sama lain mengenai rancangan kewangan jangka panjang dalam membina rumah tangga. Dengan berdiskusi hal-hal tersebut, anda dapat mengenal sifat dan karakter pasangan dalam masalah kewangan.
3. Perbezaan latar belakang pasangan
Perkahwinan adalah tentang menyatukan dua orang yang berasal daripada latar belakang yang berbeza, sehingga adanya perbezaan antara anda dan pasangan dalam cara mengendalikan wang adalah hal yang wajar yang harus anda sedari. Misalnya ternyata pasangan anda adalah orang yang mudah meminjamkan wang kepada orang lain tanpa pemikiran yang panjang terlebih dahulu, apalagi jika peminjam tersebut ialah teman-teman atau keluarganya sendiri. Jangan terus marah, tapi cubalah fahami pemikirannya dan cari satu solusi, seperti menetapkan peraturan tentang sejauh mana batasan anda dan pasangan dapat menggunakan wang.
4. Tidak membantu untuk kekal dengan bajet yang ditetapkan
Katakan anda dan pasangan sudah membicarakan masalah kewangan secara selalu, hal selanjutnya yang perlu anda berdua lakukan adalah menentukan anggaran dan mematuhinya. Kebiasaan yang boros boleh menjadi punca pertengkaran banyak pasangan. Oleh itu, tetapkan anggaran perbelanjaan rumah tangga anda untuk setiap bulan, dan ingatkan satu sama lain agar tidak membuat pengeluaran yang lebih besar daripada anggaran tersebut. Jika ada suatu keperluan yang memerlukan dana yang besar, maka anda atau pasangan perlu menekan pengeluaran pada aspek lain agar tidak terjadi over budget. Cara lain untuk menghindari over budget adalah menetapkan keutamaan pengeluaran. Apakah membeli tiket percutian adalah keperluan yang mendesak? Atau membayar wang sekolah anak yang lebih penting? Dan fikirkan apakah suatu pengeluaran boleh ditunda sampai tiga bulan berikutnya?
5. Fikir terlalu awal untuk bincang soal anak
Kerana kehadiran seorang anak belum dinantikan dalam waktu yang dekat ini, banyak pasangan yang mengabaikan perancangan kewangan untuk anak-anak mereka nanti. Namun jika anak-anak tetap ada dalam rancangan di masa depan anda berdua, maka tidak ada kata terlalu awal untuk membincangkannya, kerana kehadiran anak-anak memberikan pengaruh yang besar bagi kewangan rumah tangga anda.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tarikh majlis semakin dekat dan perasaan anda semakin gementar untuk menempuh hari besar anda. Anda perlukan sesuatu yang mampu menaikkan keyakinan anda. Di bawah disenaraikan beberapa persediaan yang boleh anda lakukan dalam minggu-minggu terakhir sebelum majlis yang mampu memberi kelegaan kepada anda dan seterusnya meningkatkan keyakinan anda, selain membantu melancarkan lagi perjalanan majlis anda.
1. Menyemak Ramalan Cuaca
Walaupun mungkin anda telah pun memeriksa ramalan cuaca lama dahulu semasa ingin memilih tarikh yang bersesuaian, ada kemungkinan ramalan itu telah berubah atau dikemaskini sesuai dengan perkembangan terbaru yang diterima oleh pakar kaji cuaca tersebut. Makanya, dengan memeriksa ramalan kaji cuaca yang terkini mampu memberikan anda persediaan yang lebih baik dan membuatkan anda lebih yakin.
2. Spa & Saloon
Manjakanlah diri anda dan pasangan dengan rawatan Spa ataupun salon yang bersesuaian. Kemaskan rambut dan yang mana bersesuaian. Mungkin juga professional shave untuk pengantin lelaki agar anda nampak lebih segak dan bergaya di hari majlis nanti. Namun, elakkan untuk lakukan apa – apa rawatan muka pada tempoh ini. Rawatan muka seharusnya dilakukan lebih awal kerana sekiranya anda lakukan rawatan muka di minggu – minggu akhir ini, siapa tahu mungkin anda mendapat alahan disebabkan produk tidak sesuai dengan kulit muka anda dan sebagainya.
3. Kekemasan Diri
Kekemasan diri adalah tanggungjawab kita sendiri. Jika ada bulu hidung yang dah ‘melebihi paras’ tu, cabutlah. Potong kuku, facial hair yang tidak dikehendaki dan jangan lupa tidur dengan cukup untuk elakkan muka sembam. Jika ada modal lebih, tidak salah sekiranya anda laburkan sedikit untuk lakukan rawatan pemutihan gigi atau rawatan gigi lain.
4. Memberi Taklimat Ringkas Kepada Keluarga
Ambil sedikit masa untuk kumpulkan keluarga untuk anda berikan taklimat ringkas berkenaan perjalanan majlis yang telah anda rancang. Kebiasannya, ini dilakukan ketika semua ahli keluarga telahpun berkumpul bagi meraikan majlis anda yang akan tiba satu atau dua hari lagi.
5. Berdoa dan Bertawakal
Akhir sekali, banyakkan doa dan bertawakal kepada tuhan agar majlis anda berjalan lancar sepertimana yang telah dirancang dan sentiasa redha dengan perkara luar kawalan yang mungkin akan mencacatkan majlis anda.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!