Inilah 6 Punca Kewangan Keluarga Boleh Merosot, Cepat Tangani Kalau Tak Nak Timbul Masalah!

Share

Selepas mendirikan rumah tangga, pasti setiap pasangan akan berdepan dengan kehidupan yang berbeza dari sebelumnya. Status sebagai suami dan isteri perlu dibawa dengan sebaiknya bagi memastikan rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan sejahtera.

Namun dalam mengharungi alam perkahwinan, cabaran yang paling besar ialah kewangan keluarga. Sesetengah pasangan berkahwin perlu berjuang habis-habisan dalam menangani perbelanjaan keluarga. Ramai yang tidak sedar bahawa masalah ini boleh menyebabkan kepada punca kemerosotan kewangan keluarga.

Oleh itu, anda harus sedar apakah punca atau penyebab kepada masalah ini. Perkara ini juga boleh dielak dari mula lagi iaitu sebelum anda berkahwin. Ini penting untuk anda lebih berwaspada tentang kewangan keluarga selepas berkahwin. Jom kita lihat 6 punca kepada permasalahan ini!

1. KOMUNIKASI

Sikap tolak ansur perlu diberikan perhatian kala berbincang perihal kewangan. Anda perlu bijak menangani masalah dengan berbekalkan rasa toleransi dan saling menghormati. Walaupun anda berdua tidak dibebani hutang, pergaduhan berkaitan wang akan sentiasa terjadi kerana isu wang adalah isu paling sensitif.

2. BEBANAN HUTANG

Daripada pinjaman pendidikan hingga ke kereta, ditambah pula dengan bayaran balik kad kredit. Kebanyakan pasangan melangkah ke alam perkahwinan dengan hutang yang bertimbun namun tetap berkeras mahu mengikat tanggungjawab berpasangan. Lebih teruk lagi jika hanya seorang sahaja yang menanggung hutang yang banyak. Tiap kali isu kewangan timbul, marah akan menguasai akal.

3. KUASA PERINTAH

Si dia bekerja, anda pula tidak atau mungkin anda bergaji tinggi berbanding pasangan anda. Kuasa memerintah selalunya akan berpihak kepada yang banyak menyumbang kepada keluarga. Hal ini akan membawa kepada ‘kecenderungan’ sebelah pihak dalam menentukan perbelanjaan sendiri tanpa berbincang dengan pasangan terlebih dahulu. Ini bakal merenggangkan hubungan.

4. CAHAYA MATA

Buat perancangan keluarga kerana kestabilan dan kegembiraan anak-anak terletak pada anda berdua. Jika masih mencari-cari sumber kewangan yang kukuh cuba lewatkan sedikit rancangan menimang anak. Perbelanjaan anak-anak perlu diambil kira sejak bayi hinggalah ke universiti. Keruntuhan rumah tangga kerana tidak mampu membiayai anak adalah suatu yang amat menyedihkan.

5. PERBELANJAAN KELUARGA BESAR

Kebiasaannya isu ini sukar dibendung kerana tidak melibatkan pasangan itu sendiri. Bila kebanyakan wang disalurkan kepada ibu bapa yang mahu menukar kereta, sewa rumah adik-beradik atau saudara mara yang inginkan pertolongan kewangan, wang keluarga akan berkurangan. Bila sebelah pihak terpaksa menanggungnya, timbullah isu tidak puas hati dan hubungan mulai retak.

6. PENGAGIHAN KEWANGAN

Ironinya, pasangan akan memutuskan tanggungan bil atau isi rumah bersama-sama. Si suami selalunya menguruskan bil-bil manakala si isteri menguruskan hal anak-anak. Peruntukan ini dibuat secara adil dan saksama namun dalam keadaan tertentu, salah seorang akan merasakan bahawa tanggungan yang dipikul berat dan tidak adil walaupun pada mulanya telah bersetuju dengan pelan ini. Dalam tidak sedar proses ini menimbulkan kebencian dan bakal menghapuskan banyak nilai kewangan perkahwinan.

Published by
Fadhli Ismail