Pasangan

Irma Hasmie Pilih Tidak Berkongsi Kemelut Rumah Tangga Di Media Sosial

Share

Baru-baru ini pelakon dan pengacara, Irma Hasmie pilih tidak berkongsi dan memberikan sebarang ulasan lanjut berhubung berita yang mendakwa beliau sedang menghadapi kemelut dalam rumah tangga bersama suaminya, Redza Syah Azmeer.

Irma Hasmie Pilih Tidak Berkongsi

Irma yang kini berusia 42 tahun menegaskan bahawa orang ramai sepatutnya tidak membuat andaian berdasarkan apa sahaja yang dimuat naik dalam media sosial.

Beliau menyatakan bahawa setiap hantaran atau kandungan yang dipaparkan dalam platform media sosial perlu dilihat dengan bijaksana dan tidak boleh dijadikan penilaian sepenuhnya terhadap kehidupan peribadi seseorang.

“Saya minta maaf, kalau boleh tak nak komen langsung mengenai isu ini. Saya pilih tidak terlalu berkongsi soal peribadi.

“Saya pilih sebegitu, jadi saya minta maaf. Kita mudah untuk menilai, jadi saya harapkan apa sahaja hantaran dibuat jangan kaitkan dengan soal peribadi yang difikirkan.

“Kalau orang fikir mengenai itu, sebenarnya tidak. Sebab saya tak sebutkan secara terus-terang. Mungkin hantaran yang dibuat itu saya cakap mengenai perkara lain.

“Saya hanya berkongsi dan jangan menilai apa-apa. Saya baik-baik sahaja sekarang,” katanya.

Tak Nak Keruhkan Keadaan

Tegasnya, dia memilih langkah berkenaan supaya tidak mengeruhkan keadaan dengan persepsi negatif daripada orang ramai.

“Saya tak nak komen apa-apa sebab akan menimbulkan lagi pelbagai persepsi negatif orang ramai.

“Daripada orang tak bercerita, nanti akan jadi buah mulut orang dan banyak berkait dengan perkara lain,” katanya.

Ditanya mengenai komen negatif diterima, Irma berkata, dia enggan ambil peduli, selain menegaskan akan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang hantaran dalam media sosial.

“Saya akan ambil yang baik sahaja. Saya kena jaga sebab yang nak jalani kehidupan ini adalah diri saya.

“Jadi, kenapa nak ambil peduli apa orang kata sebab yang menentukan kehidupan kita adalah Allah. Jangan terlalu ambil kira dengan apa orang nak kata.

“Selepas ini, saya akan sangat berhati-hati dan berfikir dulu sebelum muat naik sebarang hantaran sebab impak bakal diterima tidak boleh dijangka,” katanya.

Terdahulu, nama Irma menjadi bualan ramai susulan satu perkongsian dalam Instagram (IG) yang seakan-akan memberi bayangan mengenai rumah tangganya sedang bergelora.

Dalam perkongsian itu, Irma memuat naik pesanan kepada suami mengenai pengorbanan dilakukan oleh isteri dalam perkahwinan.

Irma dan Redza Syah mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Sumber: Kosmo

Published by
Nadia