#1 Isi Borang Kebenaran Berkahwin Secara Atas Talian: Layari [www.sppim.gov.my] dan klik menu “Benar Nikah Online” pada bahagian kanan laman sesawang tersebut.

#2 Daftar Sebagai Pendaftar Baharu: Daftar sebagai pemohon baru sebelum memohon. Langkah ini hanya perlu dilakukan seorang sama ada bakal pengantin lelaki atau perempuan. Permohonan kebenaran berkahwin boleh dibuat dalam masa 3 bulan sebelum tarikh nikah dan hendaklah dibuat jika:-

  • Kedua-dua pemohon dari negeri yang menggunakan SPPIM iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan(Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).
  • Salah seorang pasangan dari negeri yang menggunakan SPPIM;
  • Kedua-dua bakal mempelai dari negeri yang tidak menggunakan SPPIM tetapi mahu buat akad nikah di negeri SPPIM.

#3 Hantar Borang: Pastikan borang online dah dicetak dan ditandatangan oleh imam masjid kariah dan ada cop untuk mengesahkan borang kebenaran nikah tu. Jangan lupa bawa sekali beberapa dokumen penting lain ke Pejabat Agama berserta borang online yang dah dicetak dan disahkan tadi. Perlu bayar RM15 seorang dan RM30 jika keduanya berasal dari negeri yang sama.

#4 Borang Kebenaran Untuk Bakal Pengantin Perempuan: Lepas seminggu, pihak lelaki boleh tuntut borang kebenaran tersebut dan beri pula pada pihak perempuan untuk isi (ini untuk pihak perempuan yang dari lain daerah). Kalau berasal dari daerah yang sama, boleh hantar terus kepada imam masjid kariah untuk pengesahan majlis akad nikah.

#5 Pasangan Berbeza Daerah: Jika pihak lelaki berasal dari negeri lain, pihak perempuan perlu bawa borang lelaki yang dah disahkan ke Pejabat Agama daerahnya dalam tempoh sebulan sebelum nikah.

Lepas seminggu boleh tuntut semula borang kebenaran nikah tu dan beri pada imam masjid kariah untuk akad nikah.

#6 Akad Nikah: Selepas selesai nikah, kadi atau imam akan beri surat perakuan nikah sementara. Pasangan WAJIB SEMAK kembali nama dan segala maklumat peribadi yang tertulis dalam surat perakuan nikah sementara tu sebab maklumat ni akan digunakan untuk buat sijil nikah nanti. BUAT sijil nikah di Pejabat Agama di daerah PEREMPUAN okay?

#7 Mohon Sijil Nikah: Bawa surat nikah sementara(asal dan fotostat), IC suami isteri dan IC wali. Lepas sebulan boleh tuntut.

#8 Mohon Kad Nikah: Bila dah dapat sijil boleh terus buat kad. Kena bayar RM40 untuk yuran proses kad nikah tersebut untuk dua orang (suami isteri). Sebelum pergi boleh semak dokumen apa yang perlu dibawa bersama semasa mohon kad nikah berkenaan.

Buat masa ni permohonan kebenaran berkahwin secara atas talian cuma ditawarkan untuk pasangan yang berada di negeri SPPIM iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan). Bagi negeri yang lainnya perlu ke Pejabat Agama Daerah terdekat untuk buat permohonan kebenaran berkahwin secara manual.