Cukup hebat bila isteri boleh buat banyak kerja dalam satu masa, walau cuma suri rumah kadang masih lagi rajin buat kerja part time di rumah.
Malah ada yang sanggup jadi pengasuh walau penat jaga anak sendiri. Uruskan rumah tangga tak mudah tetapi tetap kena buat. Yang bekerja pun, balik rumah sambung uruskan rumah tangga. Penat lelah letak belakang, begitulah hakikat sebuah hidup seorang wanita.
Jadi para suami kena pandai tolong apa yang patut, mungkin letih keluar mencari rezeki tetapi sesekali kalau ada peluang, mungkin boleh ringankan beban si isteri jaga anak-anak.
Menjadi isteri dan ibu bukannya tugasan yang mudah. Namun ini satu tanggungjawab yang perlu wanita laksanakan dengan baik. Lumrah bagi wanita, ingin menjaga keluarga dengan sebaik mungkin dan menyiapkan semuanya demi anak dan suami. Namun kudratnya tak sekuat lelaki, emosinya sangat rapuh.
Kesan terhadap fizikal, mental dan emosi seorang wanita yang bergelar isteri dan juga ibu dalam mengimbangi antara kerjaya, pembelajaran anak, layanan terhadap suami dan menguruskan kerja-kerja rumah.
Wanita itu multi-tasking, boleh berfikir 2, 3 perkara dalam masa yang sama, wanita juga boleh melakukan 2,3 perkara dalam masa yang sama.
Jika kita sebagai suami nampak mood isteri sudah tidak keruan, jika kita nampak dia sudah mula marah-marah, jika kita nampak dia sudah mula tinggi suara, jika kita nampak dia duduk diam macam sedang berfikir tanpa buat apa-apa, termenung, mengelamun, bermimpi disiang hari, maka dia sebenarnya sedang menghantar isyarat bantuan.
Dia perlukan pertolongan, bebanan yang dipikulnya perlu diringankan. Dia sudah penat dengan multi-task yang dia perlu handle. Kalau dia fokus kepada anak-anak, nanti suami balik tak ada apa nak makan.
Kalau dia fokus kepada kerja-kerja rumah, nanti kerja-kerja sekolah anak tak sempat disiapkan. Kalau dia ambil pendekatan buat setakat yang mampu, maka dia tak puas hati bila masih ada perkara yang tertunda, tak sempat dibuatnya.
Bila fizikal sudah penat, emosi sudah sarat, mental juga sudah tentu tenat. Jadi suami perlu ambil langkah membuat apa yang isteri selalu buat. Ambil alih daripada isteri sepenuhnya. Pasti rumah tangga akan lebih harmoni dan tenang bila suami sudi bantu apa yang isteri tak sempat buat.
Kredit: Firdaus Shakirin